Ford daftar paten sistem lindungi pemandu daripada jadi keldai dadah
Satu perkara yang sangat membimbangkan kita semasa menggunakan kereta sewa atau menyewakan kereta kepada pihak ketiga ialah risiko untuk menjadi keldai dadah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Seiring dengan perkembangan semasa, Ford mahu memanfaatkan teknologi canggih yang dimuatkan pada kenderaan moden untuk memastikan anda bukanlah insan berikutnya yang akan ke tali gantung.
Paten sistem pengesanan barangan yang tidak diketahui ini telah didaftarkan oleh Ford pada Mac 2023, dan diterbitkan kepada umum pada 19 September lepas.
Menurut Ford, sistem ini akan menggunakan pelbagai unit penderia serta kamera untuk mengesan aktiviti yang mencurigakan, memeriksa berat kenderaan serta mengimbas frekuensi radio GPS yang tidak dikenali.
Ia kemudiannya akan mengaktifkan sistem kamera untuk merakam sebarang pergerakan yang mencurigakan, dan menyimpannya sebagai bukti.
Selain itu, sistem ini juga akan mengesan sebarang perubahan pola dan corak pemanduan yang terhasil akibat penambahan berat beban yang tidak diketahui.
Buat masa ini, ia hanya sekadar sebuah paten, namun tidak mustahil satu hari nanti sistem ini bakal direalisasikan untuk membanteras isu keldai dadah.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.