fbpx

Foxconn, Sharp bergabung bangunkan konsep LDK+, minivan EV yang boleh diubah jadi rumah bergerak

Sharp LDK+ Concept 07

Gergasi elektronik Jepun Sharp bekerjasama dengan syarikat Foxconn untuk membangunkan EV konsep baharu yang dinamakan sebagai Sharp LDK+.

Dengan rupa bentuk yang diinspirasikan daripada van komersial rekaan cab-over, Sharp LDK+ disifatkan sebagai sebuah rumah bergerak yang padat dengan pelbagai teknologi terkini.

Kemasan luaran berwarna perak serta bentuk berpetak memungkinkan LDK+ disalah anggap sebagai sebuah perkakasan rumah yang canggih, ditambah pula dengan kehadiran logo jenama Sharp di hadapan.

Sharp LDK+ menampilkan pintu sisi jenis gelangsar dengan bukaan yang agak besar, mendedahkan ruang kabin yang boleh disesuaikan mengikut keperluan.

Terdapat bangku belakang yang boleh dipusingkan sebanyak 180 darjah yang boleh mengubah ruang tersebut menjadi bilik santai yang lebih selesa.

Tingkap sisi pula mempunyai teknologi tirai kristal cecair untuk tujuan privasi, ditambah pula dengan sistem AI yang dapat mengawal aspek pencahayaan dan suhu bergantung kepada keperluan pengguna.

Tidak cukup dengan itu, sebuah skrin paparan bersaiz 65 inci dipasangkan pada pintu tailgate belakang yang boleh digunakan untuk tayangan filem atau membuat sidang panggilan dengan ahli keluarga tersayang.

Ruang yang sama juga boleh diubah menjadi tempat permainan kanak-kanak, atau pejabat peribadi untuk kerja-kerja luar waktu rasmi.

Sharp LDK+ menggunakan platform EV yang dibina oleh Foxconn, di mana pek bateri yang tidak diketahui kapasitinya itu boleh dijadikan sebagai sumber kuasa sandaran untuk kegunaan rumah semasa kecemasan.

Untuk memudahkan urusan di luar grid, van ini turut menyokong pengecasan menggunakan panel solar yang dipasang pada bahagian bumbung.

Van konsep LDK+ ini akan didedahkan secara rasmi dalam acara pameran Sharp Tech-Day 24 yang akan berlangsung di Tokyo pada 17-18 September ini.
Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved