fbpx

Mercedes-Benz lancar 3 model AMG: C 63 S E Performance, GLB 35 4MATIC, GLA 45 S 4MATIC+

IMG_3331

Mercedes-Benz Malaysia hari ini melancarkan tiga model berprestasi tinggi AMG untuk pasaran tempatan, iaitu Mercedes-AMG C 63 S E Performance F1 Edition, Mercedes-AMG GLA 45 S 4MATIC+ dan Mercedes-AMG GLB 35 4MATIC.

Ketiga-tiga model baharu ini kini boleh dilihat dengan lebih dekat di acara Mercedes-Benz World yang dianjurkan di KL Base, Sungai Besi bermula 5-7 Julai ini.

Berikut merupakan spesifikasi ringkas tiga model AMG yang dilancarkan sebentar tadi:

 

Mercedes-AMG C 63 S E Performance F1 Edition (RM958,888)

Pencabar kepada BMW M3 ini dibekalkan dengan nadi empat silinder sebaris 2.0 liter turbo yang dipadankan dengan motor elektrik 201 hp, menghasilkan kuasa keseluruhan 680 hp dan 1,020 Nm.

Dengan output 238 hp per liter, ia menjadikan sedan C 63 S E Performance ini sebagai sebuah pengubah permainan dalam sejarah 55 tahun AMG.

Edisi F1 yang dibawakan ini menampilkan ciri-ciri unik seperti kemasan warna kelabu alpine MANUFAKTUR, logo AMG yang besar, garis trim merah, diikuti dengan lencana eksklusif, alas lantai F1 Edition dan logo F1.

Mercedes-AMG C 63 S E Performance F1 Edition dijual pada harga bermula dari RM958,888 atas jalan tanpa insurans.

 

 

Mercedes-AMG GLA 45 S 4MATIC+

Crossover pantas GLA 45 S 4MATIC+ ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 2.0 liter 421 hp dan 500 Nm, membolehkannya memecut sepantas 4.3 saat dari 0-100 km/j.

Seperti yang telah dilancarkan di peringkat global tahun ini, GLA 45 S 4MATIC+ membawakan perubahan kosmetik bersifat minima, seperti apron hadapan bentuk baharu, logo AMG pada bonet, unit pencahayaan MULTIBEAM LED baharu, serta perubahan kecil pada lampu belakang LED.

Ruang kabin pula menampilkan skrin berkembar 10.25 inci dengan paparan spesifik AMG, roda stereng AMG Performance balutan Nappa/mikrofiber MICROCUT, serta sistem infohibur MBUX yang lebih berkuasa.

Harga jualan bermula dari RM539,888.

 

 

Mercedes-AMG GLB 35 4MATIC

 

Mereka yang mahukan jentera AMG yang lebih praktikal boleh mendapatkan model crossover wagon Mercedes-AMG GLB 35 4MATIC.

Nadi empat silinder sebaris 2.0 liter turbo berkuasa 306 hp itu kini dipadankan dengan sistem penjana pemula pacuan tali sawat (RSG) 48 voltan yang membekalkan kuasa tambahan 13 hp.

Dengan bantuan sistem pacuan semua roda dan transmisi AMG Speedshift DCT lapan kelajuan, GLB 35 4MATIC ini mampu memecut sepantas 5.5 saat dari 0-100 km/j sebelum mencapai kelajuan tertinggi 250 km/j.

Antara perubahan yang dibawakan termasuklah rekaan apron hadapan baharu, unit pencahayaan MULTIBEAM LED dengan bantuan Adaptive Highbeam Assist Plus, serta grafik lampu belakang yang direka semula.

Sementara ruang kabin pula membawakan rekaan roda stereng AMG Performance baharu balutan kulit Nappa, butang fungsi AMG, sistem infohibur MBUX generasi terkini, seta tidak ketinggalan paparan spesifik AMG.

Harga jualan Mercedes-AMG GLB 35 4MATIC bermula dari RM418,888.

 

 

Acara pameran Mercedes-Benz World dibuka kepada umum dari jam 10 pagi hingga 6 petang, di mana Mercedes-Benz Malaysia menampilkan kesemua 30 model dari pelbagai segmen kenderaan termasuklah Mercedes-Benz C 350 e, Mercedes-AMG C 43 4MATIC, Mercedes-Benz EQE 350+ dan Mercedes-Benz EQE 350+ SUV.

Turut dipamerkan ialah kereta pertama di dunia, Benz Patent Motor Car yang muncul pada tahun 1886 dan dikuasakan oleh enjin satu liter menghasilkan kuasa sekitar 0.6 hp sahaja.

Lihatkan Ulasan (4)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved