fbpx

Bentley Continental GT Speed 2025 – generasi baharu dengan nadi V8 PHEV, 771 hp, 1000 Nm!

New Continental GT Speed – 1

Grand Tourer mewah Bentley Continental GT 2025 serta varian convertible Continental GTC 2025 generasi baharu telah pun selamat dilancarkan di peringkat global.

Berbanding generasi ketiga yang dipadankan dengan nadi ikonik W12, Bentley Continental GT generasi keempat kini menggunakan tetapan enjin V8 serba baharu namun dengan kuasa yang jauh lebih bertenaga.

Berikut merupakan beberapa perincian ringkas tentang Bentley Continental GT 2025:

 

1. Nadi V8 4.0L turbo berkembar + hibrid

Bentley Continental GT (dalam trim Speed) dibekalkan dengan enjin bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar berkuasa 591 hp dan dipadankan dengan motor elektrik 187 hp yang disumbatkan ke dalam kotak gear klac berkembar lapan kelajuan.

Tetapan yang sama turut digunakan pada Porsche Panamera dan Lamborghini Urus SE.

Namun untuk Bentley Continental GT, ia mampu menghamburkan kuasa setinggi 771 hp/1,000 Nm, jauh lebih bertenaga berbanding nadi W12.

Pek bateri berkapasiti 25.9 kWh pula membenarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 81 km, dan mampu menawarkan jarak gerak keseluruhan sejauh 859 km.

 

2. Pecutan 0-100 km/j lebih pantas

Dengan penambahan sistem plug-in hybrid (PHEV), Bentley Continental GT kini 192 kg lebih berat berbanding model terdahulu.

Namun, dari segi pecutan ia mampu menyelesaikan 0-100 km/j dalam masa 3.2 saat atau 0.4 saat lebih pantas sebelum mencapai kelajuan tertinggi 335 km/j.

Versi convertible Continental GTC pula mampu memecut sepantas 3.4 saat dari pegun, sementara kelajuan tertinggi pula dihadkan kepada 285 km/j.

 

3. Casis dipertingkatkan

Bentley Continental GT baharu ini mendapat manfaat kawalan dan keselesaan yang lebih baik, terima kasih kepada sistem pacuan semua roda dengan ciri torque vectoring, pembeza gelincir terhad pada gandar belakang, kawalan ESC generasi baharu serta sistem stereng empat roda.

Tidak cukup setakat itu, Continental GT turut dilengkapi Bentley Performance Active Chassis yang merangkumi sistem penstabilan olengan aktif 48 voltan, suspensi udara two-chamber dan peredam dwi-injap yang membenarkan larasan mampatan dan lantunan.

Bentley turut menawarkan opsyen naik taraf sistem brek silikon karbon karbida yang dipadankan dengan angkup brek 10-omboh di depan dan 4-omboh di belakang.

 

4. Luar macam Bentley Batur

 

Sejak generasi pertama muncul pada tahun 2003, boleh dikatakan setiap model baharu Continental GT yang dilancarkan oleh Bentley mengekalkan perkadaran bentuk badan yang hampir sama.

Cuma untuk model generasi baharu, rekaan muka hadapan telah diringkaskan menyamai model Bentley Batur yang lebih eksklusif, lampu LED matriks tunggal, jeriji yang lebih kecil, serta grafik lampu LED belakang seakan berlian.

 

5. Susun atur ruang kabin tidak banyak berubah

 

Walaupun berstatus generasi baharu, susun atur ruang kabin Continental GT tidak membawakan perubahan yang besar berbanding generasi terdahulu.

Namun begitu, Bentley tetap menambah baik beberapa aspek seperti NVH yang lebih senyap, sistem infohibur Bentley Rotating Display 12.3 inci, sokongan sambungan peranti pintar tanpa wayar, serta kemas kini over-the-air.

Terdapat juga tempat duduk boleh laras 20 tahap, corak kuilt baharu pada upholsteri, pemilihan bahan berkualiti tinggi yang boleh ditentukan sendiri oleh pemilik, serta tiga opsyen tetapan sistem audio untuk halwa telinga yang premium sepanjang perjalanan.

 

6. Rekod terpantas dalam terowong

Untuk membuktikan kehebatan model baharu ini, Bentley telah membawa Continental GT Speed melalui Terowong Ryfylke yang terletak di Norway.

Terowong Ryfylke tersebut merupakan jalan bawah laut yang paling panjang (14.4 km) dan paling dalam di dunia, dengan kedalaman 292 meter di bawah paras laut.

Dalam satu cubaan, Continental GT Speed ini berjaya mencecah kelajuan tertinggi 335 km/j dari pegun dalam masa 33 saat sahaja, sekaligus mencatatkan rekod terpantas tidak rasmi untuk sebuah kereta produksi dalam terowong!

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved