fbpx

Peraturan baharu F1 2026 diumumkan – Apa yang berubah?

GPZLREUbYAA8Lep

Badan induk sukan permotoran FIA semalam (6 Jun 2024) baharu sahaja mengumumkan perubahan peraturan yang bakal diguna pakai dalam sukan Formula Satu bermula tahun 2026 dan seterusnya.

Perubahan peraturan itu akan menyaksikan kereta-kereta lumba F1 akan mendapat manfaat dari segi unit janaan kuasa, casis yang lebih ringan, dan dalam masa yang sama menitikberatkan aspek kelestarian menerusi penggunaan bahan api 100 peratus mampan.

Berikut merupakan perubahan yang bakal dibawakan pada sukan Formula Satu bermula tahun 2026:

 

 

 

1. Kuasa daripada unit hibrid telah diturunkan daripada 750 hp kepada hanya 536 hp, namun kuasa elektrik dipertingkatkan hampir 300 peratus daripada 161 hp kepada 469 hp!

2. Jumlah tenaga yang boleh dipulihkan semasa fasa brek digandakan kepada 8.5 MJ untuk setiap pusingan.

3. Pengenalan mod Manual Override yang mampu membekalkan tujahan tenaga daripada kuasa bateri untuk meningkatkan peluang memotong kereta di hadapan.

4. Untuk menghasilkan jentera yang lebih lincah, jarak antara roda maksimum telah dikurangkan sebanyak 200 mm kepada 3,400 mm, diikuti pengurangan lebar 100 mm kepada 1,900 mm.

 

 

 

 

5. Jentera F1 tahun 2026 perlu mempunyai berat minimum sekitar 768 kg, atau 30 kg lebih ringan berbanding jentera F1 2022. Saiz tayar masih lagi kekal 18 inci, namun dengan pengurangan lebar roda depan sebanyak 25 mm diikuti 30 mm untuk roda belakang.

6. Menurut FIA, aspek daya mendap (downforce) telah dikurangkan sebanyak 30 peratus, diikuti daya seretan sebanyak 55 peratus.

7. Jentera F1 2026 bakal mempunyai sistem aerodinamik aktif bagi menggantikan peranan DRS, dengan tujuan untuk meminimumkan kadar penggunaan bahan api atau memaksimumkan prestasi di selekoh.

Sistem aerodinamik aktif ini terdiri daripada sayap belakang dan hadapan yang boleh dilaraskan. Terdapat dua mod disediakan iaitu X-Mode (mengutamakan kepantasan garis lurus) dan Z-Mode (kelajuan mengejar di selekoh).

 

 

8. Aspek keselamatan jentera F1 2026 dipertingkatkan dengan beberapa perubahan, seperti contoh struktur hidung hadapan yang telah disemak semula bagi mengurangkan risiko tercabut sewaktu impak pelanggaran awal, diikuti perlindungan yang lebih menyeluruh terhadap pemandu dan kawasan sel bahan api.

9. Bermula tahun 2026, semua jentera Formula 1 akan menggunakan bahan api yang mampan, sebagai salah satu cara untuk mencapai sasaran Net Zero Carbon menjelang 2030.

10. Selain penggunaan bahan api yang lebih lestari, Formula 1 2026 bakal menyaksikan sehingga enam pengeluar utama yang bakal membekalkan unit rangkaian kuasa untuk jentera lumba, iaitu Ferrari, Mercedes-Benz, Renault, Honda, Audi dan Ford.

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved