fbpx

Malaysia Autoshow 2024: GAC AION Y Plus, 201 hp, jarak gerak 490 km, dari RM120 ribu

gac aion y plus 01

Subsidiari Warisan TC Holdings Bhd, WTC Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA) baharu sahaja melancarkan crossover elektrik GAC AION Y Plus untuk pasaran tempatan.

Bersempena dengan pelancaran tersebut, WTCA turut mengumumkan pakej jaminan dan khidmat selepas jualan yang komporehensif, merangkumi waranti selama lapan tahun/perbatuan 160,000 km, serta jaminan lapan tahun/perbatuan 200,000 km untuk bateri, motor pacuan, dan sistem kawalan elektrik.

200 orang pertama yang membuat tempahan akan menerima manfaat seperti pengecas Wallbox rumah 7 kW secara percuma (bernilai RM3,500) dan kredit pengecasan JomCharge RM1,000, juga secara percuma.

Berikut merupakan perincian ringkas GAC AION Y Plus 2024:

1. Kuasa

Secara standard, GAC AION Y Plus dikuasakan oleh motor elektrik tunggal 201 hp dan 225 Nm yang memacu roda hadapan dengan pecutan 0-100 km/j memakan masa 8.5 saat.

Terdapat sehingga empat mod pemanduan ditawarkan yang turut merangkumi mod pemanduan pedal tunggal ‘i-Pedal’.

2. Jarak gerak 490 km

GAC AION Y Plus memperoleh kuasa daripada pek bateri lithium iron phosphate (LFP) Magazine Battery 2.0 berkapasiti 63.2 kWh, menawarkan jarak gerak sejauh 490 km (data kitaran NEDC).

Ia boleh menyokong pengecasan AC Type 2 6.6 kW, serta pengecasan pantas DC sehingga 80 kW.

Untuk makluman, Magazine Battery 2.0 ini dikatakan mempunyai rekaan yang paling selamat di dunia, di mana ia mampu bertahan di bawah pelbagai jenis ujian ekstrem termasuklah tembakan peluru berkaliber tinggi gred tentera.

3. Rekaan SUV yang trendy

Daripada sudut luaran, GAC AION Y Plus membawakan rekaan yang mampu menarik golongan yang mahukan kenderaan bergaya di atas jalan.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah unit lampu LED Angel Wing, lampu belakang LED melintang penuh, pemegang pintu yang tertanam kemas dalam badan, bumbung kaca panorama, serta pilihan rim aloi bersaiz 17 inci (Elite) dan 18 inci (Premium).

4. Kabin canggih

 

Masuk ke dalam ruang kabin pula, anda akan disambut dengan pelbagai ciri yang moden, dan direka untuk memenuhi gaya hidup urban.

Terdapat tempat duduk pemandu boleh laras enam tahap berkuasa elektrik, skrin kluster digital 10.25 inci, skrin infohibur sebesar 14.6 inci, sokongan Apple CarPlay, kawalan iklim automatik, sistem kemasukan tanpa kunci, serta penapis udara PM2.5 terbina.

Khusus untuk varian Premium ialah sistem pengudaraan tempat duduk pemandu, tempat duduk penumpang hadapan berkuasa elektrik, pad pengecasan peranti pintar tanpa wayar, sistem pencahayaan ambien 32 warna lengkap dengan mod muzik, dan pintu kargo berkuasa bebas tangan.

Sebut pasal ruang kargo, ia menawarkan ruang sebesar 405 liter, dan mampu mencapai kapasiti maksimum 1,200 liter.

 

5. Ciri keselamatan

Kedua-dua varian menawarkan ciri standard seperti enam beg udara, ABS, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Bantuan Mendaki (HHC), sistem kamera keliling 360 darjah, serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Sementara varian Premium pula mendapat tambahan ciri keselamatan ADAS yang menyokong pemanduan semi-autonomi Tahap 2, merangkumi:

• Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
• Amaran Keluar Lorong (LDW) dengan Bantuan Kekal Lorong (LKA)
• Bantuan Kesesakan Trafik (TJA)
• Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
• Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dengan fungsi Stop & Go dan Bantuan Jelajah Pintar

Untuk pasaran Malaysia, GAC AION Y Plus boleh didapati pada harga bermula dari RM119,800 untuk versi Elite, hingga RM135,800 untuk versi Premium.

Penghantaran model ini akan bermula pada Jun 2024 untuk varian Elite, sementara varian Premium pula akan dihantar kepada pemilik masing-masing bermula Julai 2024.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved