Perincian Honda Prelude 2025 didedahkan, enjin 2.0L hibrid, tranmisi CVT
Honda mengejutkan dunia dengan kehadiran sebuah model konsep coupe dua pintu Honda Prelude di acara Tokyo Mobility Show tahun lepas.
Difahamkan, model tersebut sedia untuk diproduksikan kelak dan bakal memberikan saingan kepada kereta-kereta sports seperti Mazda MX-5 Miata dan Toyota GR86.
Berdasarkan laporan terkini daripada laman Best Car Web, berikut merupakan serba sedikit perincian berkenaan kereta sports terbaharu Honda Prelude:
1. Dimensi hampir sama besar dengan GR86
Honda Prelude dijangka akan membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,300 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,300 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,575 mm.
Ini menjadikan Honda Prelude jauh lebih besar berbanding model Mazda MX-5 Miata, namun memiliki jarak antara roda yang hampir sama dengan Toyota GT86.
2. Pacuan roda depan
Menggerakkan Honda Prelude ialah enjin 2.0 liter inline-4 e:HEV yang dikatakan mampu menghasilkan kuasa setinggi 210 PS.
Enjin yang sama digunakan pada Honda Civic e:HEV dan Accord e:HEV, di mana Honda telah menala semula nadi tersebut untuk menghasilkan pengalaman pemanduan yang lebih sporti.
Kuasa itu tadi disalurkan kepada sistem pacuan roda hadapan menerusi transmisi e-CVT. Tidak mengejutkan pun apabila model pilihan playboy ini tidak lagi didapati dengan padanan kotak gear manual.
3. Kereta sports 2+2
Honda Prelude generasi baharu ini dijangka akan mewarisi ciri-ciri ikonik yang telah wujud pada Prelude yang terdahulu.
Selain daripada sistem pacuan roda depan, Prelude baharu ini juga bakal menawarkan konfigurasi tempat duduk 2+2.
Namun, Honda sebelum ini telah mengesahkan model Prelude tidak akan menjadi model yang lebih sporti dan lincah seperti Honda Civic Type R.
4. Harga jualan anggaran
Honda Prelude dijangka akan muncul secara rasmi pada separuh kedua tahun 2025.
Dianggarkan, harga jualan bermula dari 4.2 juta yen (RM129,541) hingga 4.5 juta yen (RM138,794), berdasarkan kadar pertukaran matawang semasa 1,000 JPY = RM30.84.
Honda Prelude Concept
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.