fbpx

Mercedes-AMG GT 43, grand tourer 2 pintu yang lebih perlahan berbanding hot hatch A 45 S!

Mercedes-AMG GT 43 2025 07

Ucapkan selamat datang kepada pendatang baharu keluarga kereta sports GT AMG, iaitu Mercedes-AMG GT 43.

Tidak seperti varian AMG GT 55 dan AMG GT 63 yang hadir dengan nadi bentangan V8, Mercedes-AMG GT 43 hanya dibekalkan dengan nadi empat silinder sebaris 2.0 liter yang dipadankan dengan sistem turbo gas ekzos elektrik dan sistem hibrid ringan 48V.

 

 

Nadi tersebut dikatakan mampu menjana kuasa setinggi 416 hp dan 500 Nm, sementara motor elektrik pula menambah kuasa tujahan ekstra sebanyak 13 hp, menjadikannya 40 hp lebih berkuasa berbanding roadster SL 43 AMG.

Selain daripada itu, AMG GT 43 juga datang eksklusif dengan sistem pacuan roda belakang.

Dengan kombinasi enjin yang lebih ringan dan tetapan RWD, Mercedes-AMG GT 43 ini mampu menawarkan prestasi pemanduan dan pengendalian yang lebih dinamik dan menyeronokkan.

 

 

Namun begitu, bakal pemilik AMG GT 43 mungkin kurang senang dengan fakta keupayaan sebenar jentera ini yang mampu sekadar memecut 0-100 km/j dalam tempoh 4.6 saat, atau 0.7 saat lebih perlahan berbanding hot hatch AMG A 45 S 4MATIC.

Untuk tidak mengelirukan golongan berpotensi, Mercedes membawakan penampilan unik untuk GT 43, seperti contoh bampar depan yang telah direka semula, jeriji Panamericana yang lebih kecil, diikuti dengan empat tip ekzos berbentuk bulat (berbanding trapezoid pada model yang lebih berkuasa).

Selain itu, dimensi lebar GT 43 juga lebih pendek, terutama pada bahagian fender depan dan belakang memandangkan dimensi runut tayar juga sebenarnya jauh lebih pendek berbanding GT 55 dan GT 63.

 

 

Menyumbang kepada pengendalian yang berkesan ialah sistem penyerap hentak aluminium, spring gegelung ringan, serta opsyen untuk menambah ciri seperti AMG Ride Control Chassis, stereng roda belakang, serta pakej AMG Dynamic Plus yang merangkumi cagak enjin dinamik, pembeza kekunci belakang kawalan elektronik, tambahan mod ‘Race’, sistem aerodinamik aktif bawah badan dan angkup brek kuning.

Susun atur ruang kabin AMG GT 43 menempatkan skrin kluster digital sebesar 12.3 inci, skrin tengah bersaiz 11.9 inci, diikuti dengan tempat duduk sports AMG balutan kulit Nappa dan kemasan warna dua tona.

Pembeli juga boleh mendapatkan opsyen tempat duduk AMG Performance yang jauh lebih sporti.

Adakah kereta GT aras mula ini mampu untuk menarik perhatian para peminat AMG?

 

Mercedes-AMG GT 43 2025

Lihatkan Ulasan (2)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved