fbpx

Ketahui masalah enjin kenderaan menerusi warna asap

Asap kenderaan yang terlalu kotor dan banyak boleh menyebabkan berlaku pencemaran udara
Asap kenderaan yang terlalu kotor dan banyak boleh menyebabkan berlaku pencemaran udara.

TAHUKAH anda asap ekzos boleh dijadikan sebagai petunjuk bagi mengetahui masalah dalaman sesebuah kenderaan?

Ya, benar. Secara kasar asap ekzos boleh dijadikan petunjuk mengesan kerosakan awal sesebuah kenderaan.

Secara am, terdapat empat jenis warna asap kenderaan iaitu putih, hitam, kelabu dan biru.

Jadi, apakah ‘maksud’ di sebalik warna asap ini?

Asap Putih

Kenderaan mengeluarkan asap putih dari bahagian ekzos membawa maksud terdapat kebocoran bahan penyejuk atau coolant.

Kebocoran coolant boleh menyebabkan kepanasan melampau pada bahagian enjin.

Kelewatan membaiki kebocoran coolant boleh menyebabkan keretakan silinder atau blok enjin kenderaan.

Justeru, apa yang anda harus lakukan adalah melakukan pemeriksaan berkala pada komponen gasket di bahagian enjin.

Asap Hitam

Asap hitam yang keluar dari ekzos bermaksud enjin kenderaan tidak menerima udara mencukupi.

Secara tidak langsung, ia menyebabkan bahan api dibakar secara berlebihan.

Masalah ini dipercayai berpunca daripada komponen penapis udara.

Bagi mengelak masalah ini, anda perlu memastikan komponen penapis udara sentiasa berada dalam keadaan baik.

Bagaimanapun, jika kenderaan masih mengalami masalah sama berkemungkinan terdapat kerosakan pada injektor bahan api atau manifold.

Asap Kelabu

Asap kelabu kebiasaannya disusuli dengan bau terbakar di bahagian ekzos kenderaan.

Masalah asap kelabu berlaku kerana enjin menggunakan terlalu banyak bahan api.

Bagi kenderaan berenjin turbo pula, berkemungkinan besar terdapat masalah di bahagian komponen pengecas turbo.

Asap Biru

Kebocoran dalam bahagian enjin antara punca asap kenderaan menjadi kebiruan.

Ia berkemungkinan disebabkan enjin kenderaan sedang membakar minyak hitam.

Terdapat dua situasi jika kenderaan mengeluarkan asap biru iaitu terdapat kerosakan komponen piston atau wujud masalah di bahagian kepala silinder.

Kesimpulannya, jika kenderaan anda mengeluarkan salah satu warna asap ini maka segera dapatkan bantuan mekanik bertauliah.

Ini kerana adalah lebih baik anda membaiki kerosakan kenderaan di peringkat awal agar ia tidak merebak ke bahagian komponen lain.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved