Kos servis Proton X70 2025 cecah RM5,000 untuk 100,000 km/5 tahun


Proton X70 versi facelift 2025 telah dilancarkan ke pasaran tempatan pada Ogos lalu, membawakan penambahbaikan pada aspek reka bentuk, kelengkapan dan juga mekanikal.
Bercakap tentang mekanikal, enjin 1.8-liter empat silinder TGDi dan pacuan semua roda (AWD) tidak lagi ditawarkan, bermakna kesemua varian SUV segmen C itu hanya boleh didapati dengan enjin 1.5-liter tiga silinder TGDi dan pacuan roda depan (2WD).
Dalam artikel ini, kami akan kupaskan kos servis X70 2025 sehingga perbatuan 100,000 km atau lima tahun pemilikan:
1,000 km
Untuk 1,000 km pertama, pelanggan perlu menukar tiga benda sahaja iaitu minyak enjin sintetik penuh 5 liter (RM189), penapis minyak enjin (RM50.25) dan drain plug gasket (RM5.26), manakala kos buruh adalah percuma sebanyak enam kali. Ini menjadikan kos keseluruhan sebanyak RM244.51.
10,000 km
Setelah mencecah 10,000 km, anda perlu menukar minyak enjin (RM189), penapis minyak enjin (RM50.25), drain plug gasket (RM5.26), penapis udara enjin (RM71.64) dan pencuci cermin depan (RM2). Kos keseluruhan adalah RM318.15.
20,000 km
Selain minyak enjin (RM189), penapis minyak enjin (RM50.25), drain plug gasket (RM5.26), dan pembersih cermin depan (RM2), pelanggan perlu menukar penapis bahan api (RM28.18) dan penapis kabin N95 (RM79). Selain itu, kos buruh (RM90) juga akan dikenakan. Ditambah dengan cukai servis 8% (RM7.20), kos keseluruhan untuk servis 20,000 km adalah RM450.89.
30,000 km
Kos servis untuk perbatuan 30,000 km sama sahaja dengan 10,000 km iaitu RM318.15. Barang-barang yang perlu ditukar adalah minyak enjin, penapis minyak enjin, drain plug gasket, penapis udara enjin dan pencuci cermin depan.
40,000 km
Kos keseluruhan untuk 40,000 km agak tinggi iaitu RM696.21 kerana terdapat banyak barang yang perlu ditukar. Antaranya adalah minyak enjin (RM189), penapis minyak enjin (RM50.25), drain plug gasket (RM5.26), palam pencucuh (RM117.45), bendalir brek (RM50.11), penapis bahan api (RM28.18), penapis kabin N95 (RM79) dan pencuci cermin depan (RM2). Oleh kerana jumlah barang yang ditukar lebih banyak, kos buruh juga sedikit tinggi iaitu RM162, tidak termasuk cukai servis 8% (RM12.96).
50,000 km
Seperti perbatuan 10,000 km dan 30,000 km, kos keseluruhan kali ini adalah RM318.15. Barang-barang yang perlu ditukar juga sama iaitu minyak enjin, penapis minyak enjin, drain plug gasket, penapis udara enjin dan pencuci cermin depan. Tiada kos buruh dikenakan.
60,000 km
Untuk servis 60,000 km, pemilik perlu menukar minyak enjin (RM189), penapis minyak enjin (RM50.25), drain plug gasket (RM5.26), coolant enjin (RM135.45), penapis bahan api (RM28.18), penapis kabin N95 (RM79), dan pencuci cermin depan (RM2). Kos keseluruhan adalah RM651.14, termasuk kos buruh (RM150) dan cukai servis 8% (RM12).
70,000 km
Kos keseluruhan untuk 70,000 km adalah RM318.15, iaitu sama dengan kos servis perbatuan 10,000 km, 30,000 km dan 50,000 km.
80,000 km
Kini tiba masanya untuk anda melakukan servis major tetapi tidak seperti 40,000 km dan 60,000 km, kos keseluruhan kali ini mencecah empat angka kerana di samping barang-barang seperti minyak enjin, palam pencucuh, bendalir brek dan sebagainya, anda juga perlu menukar minyak gear (RM346.92). Ditambah dengan kos buruh (RM204) dan cukai servis 8% (RM16.32), kos keseluruhan untuk servis 80,000 km adalah RM1,088.49.
90,000 km
Sama seperti servis 10,000 km, 30,000 km, 50,000 km dan 70,000 km, kos servis kali ini adalah RM318.15. Perlu diingat yang ini adalah kali terakhir anda akan menikmati kos buruh percuma.
100,000 km
Untuk servis 100,000 km, kosnya tidak terlalu tinggi iaitu RM450.89 sahaja. Barang-barang yang perlu ditukar adalah minyak enjin, penapis minyak enjin, drain plug gasket, penapis bahan api, penapis kabin N95, dan pencuci cermin depan. Kos servis adalah RM90, manakala cukai servis 8% adalah RM7.20.
Konklusi
Kos keseluruhan servis berkala X70 2025 adalah RM5,172.88 untuk perbatuan 100,000 km/lima tahun pemilikan. Ini bermakna secara purata, pemilik perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM1,034.57 setahun atau RM86.21 sebulan untuk servis.
Pengiraan ini penting kerana selain bayaran ansuran, pelanggan juga perlu mengambil kira kos servis serta kos-kos lain seperti petrol, insurans dan tol sebelum membuat keputusan.

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.