ZXMOTO Malaysia secara rasminya melancarkan tiga model baharu untuk pasaran tempatan, iaitu naked sporti 500F, sportbike 500RR dan supersport 820RR.
Harga jualan adalah seperti berikut:
500F – RM28,888
500RR – RM29,988
820RR – RM39,888
ZXMOTO 500F
Jentera ini dikuasakan enjin 4-silinder 470 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 72 hp @ 11,000 rpm dan 48 Nm @ 9,500 rpm.
Suspensi terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik, bahagian belakang pula menggunakan penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-beban.
Sistem brek menggunakan tetapan dua rotor terapung 300 mm di depan, dibantu rotor tunggal 220 mm di belakang.
Ciri lain yang dimuatkan termasuklah
ABS 2-saluran
Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)
Kawalan Cengkaman (TCS)
Lampu LED serta lampu nyalaan siang (DRL)
rim 17 inci
panel meter analog & paparan LCD
port pengecas USB
tinggi pelana 795 mm
tangki bahan api 15 liter
Tiga pilihan warna disediakan iaitu Phantom Black, Crimson Red dan Arctic White.
ZXMOTO 500RR
Sportbike 500RR ini pula dikuasakan enjin empat silinder sebaris 470.2 cc sejukan cecair menghasilkan 83 hp @ 13,500 rpm dan daya kilas 45 Nm @ 11,500 rpm.
Suspensi terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik 41 mm boleh laras sepenuhnya, dibantu dengan penyerap hentak tunggal yang turut boleh dilaraskan.
Brek pula menggunakan tetapan rotor berkembar 320 mm terapung serta rotor tunggal 240 mm di belakang.
Ciri kawalan elektronik pula terdiri daripada unit pengukuran inersia (IMU), ABS dua-saluran, kawalan cengkaman, kawalan jelajah, sistem penukaran pantas dua-arah serta 5-mod tunggangan (Sport, Street, Rain & dua mod kustom).
Antara ciri lain termasuklah:
skrin paparan TFT
port pengecas USB
lampu LED
rim aloi aluminium 17 inci
tinggi pelana 795 mm
tangki bahan api 15 liter
Tiga warna disediakan iaitu Nitro Red, Onyx Black dan Frost White.
ZXMOTO 820RR
Ini pula jentera bersesaran paling tinggi ditawarkan dengan enjin tiga-silinder 818.8 cc menghasilkan 135 hp @ 12,000 rpm dan 80 Nm @ 9,500 rpm.
Suspensi terdiri daripada fork hadapan yang boleh dilaras sepenuhnya, diikuti penyerap hentak tunggal yang hadir dengan fungsi larasan penuh.
Brek pula menggunakan rotor berkembar 320 mm terapung di depan, dibantu dengan rotor tunggal 220 mm di belakang.
820RR turut hadir dengan teknologi yang diambil daripada litar perlumbaan seperti sistem injap ekzos, sistem kemasukan udara RAM Air, serta sudut rake dan sudut anti-squat yang boleh dilaras.
Ciri kawalan elektronik pula terdiri daripada unit pengukuran inersia (IMU) enam-paksi, ABS dua-saluran, kawalan cengkaman, ciri quickshiter dua-arah, 5-mod tunggangan, kawalan jelajah serta Launch Control.
Ciri lain yang disertakan termasuklah:
Sistem permulaan tanpa kunci
Skrin paparan TFT
Port pengecas USB
Rim aloi aluminium 17 inci
Tinggi pelana 825 mm
Tangki bahan api 18 liter
Tiga warna ditawarkan iaitu Eclipse Black, Rebel Red dan Ghost White.
Pengeluar dari China itu meraih kemenangan berganda di Portimao, Portugal menerusi pelumba Valentin Debise bersama pasukan ZXMOTO Factory Evan Bros. Racing.
Ketua Pegawai Operasi MForce Bike Holdings, Asri Ahmad mengumumkan pelancaran rasmi jenama itu akan berlangsung pada 13 September 2026.
Lebih menarik, model andalan ZXMOTO 820RR dijangka ditawarkan pada harga bawah RM40,000.
Pada masa sama, model 500RR dan 500F pula dijangka dijual pada harga bawah RM30,000.
Jika angka tersebut dikekalkan, 820RR berpotensi menjadi antara motosikal supersport paling mampu milik di Malaysia.
Siapa ZXMOTO?
ZXMOTO merupakan jenama motosikal yang diasaskan pada 2024 oleh Zhang Xue.
Beliau bukan nama asing dalam industri motosikal China. Sebelum ini, Zhang Xue merupakan pengasas bersama Kove dan memainkan peranan penting dalam pembangunan jenama tersebut.
Menurut Zhang Xue, fokus utama ZXMOTO adalah menghasilkan motosikal berprestasi tinggi yang dibangunkan berasaskan teknologi perlumbaan.
Pendekatan itu mula menunjukkan hasil apabila model produksi pertama mereka, ZX-500RR, mencatat jualan melebihi 10,000 unit dalam tempoh hanya empat bulan di China.
Dalam masa yang singkat, ZXMOTO turut berjaya membina kehadiran dalam perlumbaan antarabangsa melalui penyertaan dalam WorldSSP.
Nama Meledak Selepas Menang WorldSSP
Kredit: Evan Bros. Racing
Nama ZXMOTO mula dikenali di peringkat global selepas kemenangan berganda di pusingan WorldSSP Portimao.
Mewakili pasukan ZXMOTO Factory Evan Bros. Racing, Valentin Debise memenangi Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2 menggunakan jentera 820RR-RS.
Kemenangan itu dianggap penting kerana ZXMOTO berjaya menewaskan pengeluar yang lebih berpengalaman seperti Ducati dan Yamaha.
Debise turut mencatat pusingan terpantas dalam kedua-dua perlumbaan tersebut.
Kejayaan berkenaan menjadi bukti bahawa pengeluar China kini semakin hampir dengan tahap prestasi jenama Jepun dan Eropah dalam arena perlumbaan antarabangsa.
ZXMOTO 820RR – Tiga Silinder, 135PS
Kredit: ZXMOTO
Model yang dijangka menjadi tumpuan utama di Malaysia ialah ZXMOTO 820RR.
Ia menggunakan enjin tiga silinder sebaris DOHC 12-injap berkapasiti 818.8cc.
Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 135PS pada 12,000rpm dan tork 80Nm.
Antara kelengkapan utama yang ditawarkan termasuk:
Pendikit elektronik (ride-by-wire)
Klac slipper
Sistem suntikan bahan api Bosch EFI
Tangki bahan api 18 liter
Brek cakera terapung berkembar 320mm
Angkup brek TAISKO
ZXMOTO turut mendakwa 820RR mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 280km/j.
Kredit: ZXMOTO
Varian 820RR-R Lebih Ringan dan Lebih Berkuasa
Selain model standard, ZXMOTO turut menawarkan varian prestasi tinggi iaitu 820RR-R.
Model ini menghasilkan 145.5PS dan tork 83Nm.
Beratnya juga lebih rendah pada 186kg berbanding 193kg bagi model standard.
Antara perbezaan utama termasuk:
Angkup brek Brembo M50
Cakera brek hadapan 330mm
Rim forged CNC
Tayar Pirelli
Tangki bahan api 16 liter
Komponen aluminium CNC
ZXMOTO turut menawarkan aksesori prestasi tambahan seperti winglet gentian karbon, pemijak kaki CNC boleh laras dan gandar aluminium aloi.
Varian inilah yang menjadi asas kepada pembangunan jentera perlumbaan 820RR-RS dalam saingan WorldSSP.
ZXMOTO 500RR dan 500F Turut Dijangka Ke Malaysia
Kredit: ZXMOTO
Selain 820RR, MForce dijangka memperkenalkan dua lagi model berasaskan platform empat silinder sebaris 500cc.
ZXMOTO 500RR merupakan model sportbike yang menghasilkan sekitar 85hp.
Sementara itu, 500F menawarkan kuasa sekitar 74hp dalam konfigurasi naked bike.
Model 500F tampil dengan lampu utama bulat yang memberikan gabungan gaya retro dan moden.
Kedua-dua model itu dikatakan akan ditawarkan pada harga bawah RM30,000.
Terdahulu, MForce sudah pun menayangkan sejumlah motosikal ZXMOTO di Malaysia Bike Show pada Jun lalu.
Berpotensi Mengubah Pasaran Supersport Malaysia
Kredit: ZXMOTO
Kehadiran ZXMOTO dijangka menambah persaingan dalam segmen motosikal pertengahan dan supersport di Malaysia.
Gabungan harga agresif, spesifikasi tinggi dan reputasi yang dibina menerusi WorldSSP memberikan kelebihan tersendiri kepada jenama itu.
Buat masa ini, perhatian tertumpu kepada 13 September depan bagi mengetahui spesifikasi rasmi, harga sebenar dan model yang bakal ditawarkan kepada pengguna Malaysia.
Hujung minggu yang cukup gemilang buat pasukan ZXMOTO Evan Bros Factory di Most, Republik Czech.
Pelumba mereka, Valentin Debise, meraih kemenangan dalam kedua-dua perlumbaan (Perlumbaan 1 & 2), manakala Federico Caricasulo turut berjaya membawa pulang mata berharga untuk kedudukan carta kejuaraan.
Ini kemenangan berganda kedua buat ZXMOTO Evan Bros dan Valentin Debise selepas cemerlang pada pusingan di Portimau, Portugal.
Valentin Debise yang memacu ZXMOTO 820RR (versi RS) bukan sahaja menang di Perlumbaan 1, malah turut mencatatkan masa 1’34.336s yang diiktiraf secara rasmi sebagai Rekod Baharu Litar.
Namun pada perlumbaan hari Ahad (Perlumbaan 2), Jaume Masia yang memacu jentera Ducati Panigale V2 mencatatkan masa 1’34.130s pada pusingan kedua (Lap 2).
Catatan ini diiktiraf sebagai pusingan terpantas Perlumbaan 2, malah ia adalah lebih laju berbanding masa yang dicatatkan oleh Debise ketika meraih kemenangan bergandanya.
Perlumbaan 1: Drama Kelompok Hadapan & Kebangkitan Hebat
Kredit gambar: Evan Bros Factory
Meskipun dikenakan penalti tiga petak yang memaksa beliau memulakan perlumbaan dari petak keenam, Valentin Debise memulakan perlumbaan dengan baik dan menamatkan pusingan pertama di kedudukan kelima (P5).
Sebaik perlumbaan bermula, Lucas Mahias memotong Can Oncu di selekoh pertama, diekori rapat oleh Roberto Garcia.
Albert Arenas yang menunggang Yamaha YZF-R9 kemudian mula merapatkan jurang dengan kelompok tiga pelumba teratas sebelum memotong di Selekoh 1 pada pusingan keempat untuk kedudukan pertama.
Tindakan itu turut menarik Debise di belakangnya (towing) untuk memulakan pertempuran sengit lima penjuru sepanjang lapan pusingan awal.
Memasuki pertengahan perlumbaan, rentak Mahias mula perlahan sehingga jatuh ke kedudukan kelima.
Kredit gambar: Evan Bros Factory
Keadaan menjadi mengecewakan buat Garcia apabila jenteranya mengalami masalah teknikal ketika berbaki lima pusingan, memaksa pelumba itu bersara buat kali keempat dalam lima perlumbaan.
Debise mengambil kesempatan ini untuk menerajui perlumbaan di hadapan apabila memintas pada pusingan kelapan ketika Oncu dan Arenas sibuk bertarung sesama sendiri.
Debise memacu jentera ZXMOTO 820RR melintasi garisan penamat dengan kelebihan 0.639 saat di hadapan Oncu untuk meraih kemenangan keempatnya musim ini.
Sementara itu, Jaume Masia (Ducati) berjaya mendaki ke tempat keempat selepas mengatasi Oli Bayliss dan Mahias.
Kredit gambar: Evan Bros Factory
Tom Booth-Amos pula terlepas titik membrek di Selekoh 1 pada pusingan ketiga lalu jatuh ke kedudukan kesembilan dari tempat kelapan, sebelum dia akhirnya terjatuh di Selekoh 20. Aldi Mahendra turut terjatuh di Selekoh 10.
Bagi Federico Caricasulo pula, beliau mengalami permulaan yang sukar dan berada di kedudukan ke-14 pada pusingan pertama.
Beliau bangkit memberikan aksi bertenaga untuk mendaki sehingga ke tempat ke-10, namun terpaksa akur menamatkan saingan di tempat ke-12 selepas kehilangan dua posisi pada dua pusingan terakhir.
Perlumbaan 2: Drama Pelanggaran & Pintasan Pusingan Akhir
Kredit gambar: Evan Bros Factory
Berdasarkan catatan masa terbaik daripada Perlumbaan 1, Valentin Debise mendapat kelebihan memulakan Perlumbaan 2 dari petak pertama (pole position).
Beliau bermula dengan sempurna untuk menerajui perlumbaan keluar dari selekoh pertama, ketika Oncu sedang hebat bertarung dengan Lucas Mahias di belakangnya.
Albert Arenas cuba mengekalkan posisi di kelompok hadapan sebelum jenteranya melebar pada pusingan keempat lalu jatuh ke kedudukan kelima di belakang Masia.
Perebutan antara mereka berlarutan sehinggalah pada pusingan ketujuh, di mana Masia melakukan pintasan dari sebelah dalam tetapi berlaku pelanggaran yang menyebabkan Arenas terjatuh.
Insiden tersebut menyebabkan Masia dikenakan hukuman Long Lap Penalty pada pusingan seterusnya sehingga jatuh ke tempat kesembilan.
Kredit gambar: Evan Bros Factory
Masia akhirnya turut terjatuh di Selekoh 15. Roberto Garcia yang cuba menyertai kelompok hadapan juga gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh di Selekoh 20.
Pertarungan di kelompok hadapan kini menyaksikan Debise dan Oncu terselamat daripada segala drama litar tersebut.
Di pusingan akhir, Mahias dan Tom Booth-Amos terlibat dalam kemalangan di Selekoh 1 pada pusingan kedua terakhir, menamatkan perlumbaan Mahias serta mencampak Booth-Amos ke tangga ke-16.
Melalui satu pintasan di Selekoh 15-16 pada pusingan terakhir, Debise berjaya mengemudi jentera ZXMOTO 820RR menewaskan Oncu di garisan penamat dengan kelebihan tipis 0.056 saat sahaja.
Kemenangan ini menjadi kemenangan kelima buat Debise.
Sementara itu, pelumba Indonesia, Aldi Mahendra yang memacu jentera Yamaha YZF-R9, mempamerkan aksi terbaik sejak podium di Australia untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat.
Federico Caricasulo melengkapkan kedudukan tempat ke-10.
Pasukan ZXMOTO Evan Bros Factory menempuh hujung minggu yang penuh drama pada pusingan WorldSSP di Balaton Park, Hungary yang berlangsung dari 2 hingga 3 Mei 2026.
Walaupun baru memasuki musim sulung, keupayaan teknikal jentera ZXMOTO telah meletakkan mereka sebagai pencabar utama kepada pengeluar gergasi Jepun dan Eropah.
Valentin Debise Menang Perlumbaan 1 Secara Dramatik
Pada perlumbaan hari Sabtu, Valentin Debise melakar kemenangan ketiga musim ini dengan cara yang cukup luar biasa.
Memulakan perlumbaan di petak kelima, beliau mengekalkan rentak dalam kelompok pendahulu dan berada di kedudukan ketiga pada pusingan ke-14 selepas Roberto Garcia terjatuh.
Pada pusingan terakhir, Can Oncu tersilap perhitungan di kawasan chicane Selekoh 12-13, memberi ruang kepada Debise dan Albert Arenas untuk memintas.
Debise melakukan pintasan kemas di selekoh terakhir untuk meraih kemenangan sulung sejak kejayaan di Portimao dengan catatan masa 31’05.422s.
Kredit Evan Bros Racing.
Keputusan 6 Teratas Perlumbaan 1 Balaton Park:
Valentin Debise (ZXMOTO): 31’05.422s
Albert Arenas (Yamaha): +0.132s
Can Oncu (Yamaha): +0.377s
Jeremy Alcoba (Kawasaki): +0.770s
Matteo Ferrari (Ducati): +1.092s
Philipp Oettl (Ducati): +5.835s
Masalah Teknikal Ragut Peluang Race 2
Perlumbaan hari Ahad membawa nasib berbeza buat pasukan ZXMOTO apabila Valentin Debise terpaksa bersara seawal pusingan kedua.
Walaupun memulakan perlumbaan dengan positif di kelompok lima terbaik, masalah teknikal pada jentera meragut peluang beliau untuk mencabar podium.
Albert Arenas dari pasukan Yamaha mengambil kesempatan ini untuk memenangi perlumbaan dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu kejuaraan.
Rakan sepasukan Debise, Federico Caricasulo, sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-16.
Keputusan 6 Teratas Perlumbaan 2 Balaton Park:
Albert Arenas (Yamaha): Juara
Can Oncu (Yamaha): +0.419s
Roberto Garcia (Yamaha): +0.509s
Matteo Ferrari (Ducati): +1.017s
Jaume Masia (MV Agusta): +2.524s
Tom Booth-Amos (Triumph): +3.864s
Spesifikasi Padu ZXMOTO 820RR-RS 2026
Jentera ZXMOTO 820RR-RS merupakan varian perlumbaan yang dioptimumkan sepenuhnya daripada model produksi utama untuk mendominasi litar WorldSSP.
Pengasasnya, Zhang Xue, menekankan bahawa kelebihan kompetitif jentera ini terletak pada hantaran kuasa yang kuat serta berat yang sangat ringan.
Enjin Tiga-Silinder: Nadi 819cc inline-three menghasilkan 153.6ps dan tork 85Nm.
Had Putaran Enjin: Mencecah 15,250rpm untuk hantaran kuasa tinggi yang konsisten.
Casis Ultra-Ringan: Penggunaan kerangka twin-spar aluminium dan komponen aloi magnesium mengurangkan berat kering kepada 182kg.
Sistem Brek & Elektronik: Dilengkapi angkup radial Brembo, tayar slick Pirelli, serta sistem 6-axis IMU untuk kawalan jitu.
Kedudukan Ranking Kejuaraan WorldSSP 2026
Berikut adalah kedudukan terkini selepas pusingan di Balaton Park, Hungary:
Valentin Debise (ZXMOTO): Tempat ke-3 keseluruhan (97 mata).
ZXMOTO (Pengeluar): Tempat ke-3 keseluruhan (99 mata).
Pasukan ZXMOTO Evan Bros: Tempat ke-4 keseluruhan (107 mata).
Kemunculan ZXMOTO di pameran EICMA 2025 dan kemenangan berganda di World Supersport (WorldSSP) Portugal telah menghantar isyarat jelas kepada pesaing global.
Pengeluar dari China ini berada di tahap yang sangat berbeza.
Diasaskan pada 2024 oleh Zhang Xue yang sebelum itu pengasas bersama KOVE, ZXMOTO kini melangkah dengan agresif.
Bagi Zhang Xue, pembangunan jenama ini didorong sepenuhnya oleh minat mendalam terhadap dunia perlumbaan dan pembinaan motosikal.
Beliau secara terbuka mengakui tidak begitu menikmati aspek keusahawanan, sebaliknya lebih gemar menghabiskan masa dalam proses pembangunan produk.
Prestasi Enjin ZXMOTO 820RR 2026
Kredit: ZXMOTO
Bintang utama dalam barisan jentera mereka ialah siri ZXMOTO 820RR.
Jentera yang meraih kemenangan berganda di litar Portimao, Portugal tempoh hari adalah versi 820RR-RS yang menghasilkan 150 ps.
Untuk pasaran jalanan, ZXMOTO menawarkan varian standard 820RR.
Ia hadir dengan nadi 818.8cc tiga-silinder sebaris DOHC 12-injap yang menghasilkan kuasa 135 ps pada 12,000 rpm dengan tork 80Nm.
Jentera ini dilengkapi teknologi moden seperti electronic throttle, slipper clutch, serta sistem suntikan bahan api BOSCH EFI dengan kapasiti tangki bahan api sebanyak 18 liter.
Dari segi pengendalian, ia menggunakan brek cakera terapung berkembar 320mm dengan angkup TAISKO™.
Kredit: ZXMOTO
Perbezaan Spesifikasi Varian 820RR-R
Bagi mereka yang mahukan prestasi lebih ekstrem, varian 820RR-R tampil sebagai versi yang lebih ringan dan berkuasa.
Berikut adalah perbezaan utama berbanding model standard:
Kuasa: Meningkat kepada 145.5 ps (RR: 135 ps).
Tork: Meningkat kepada 83Nm pada 10,000 rpm (RR: 80Nm).
Berat (curb): 186kg (RR: 193kg).
Tangki Bahan Api: 16 liter (RR: 18 liter).
Sistem Brek: Angkup BREMBO™ M50 dengan cakera lebih besar 330mm (RR: 320mm / Angkup TAISKO™).
Rim: Jenis forging CNC saiz MT3.5×17 di hadapan dan MT6.0x17 di belakang (RR: Cast aluminium).
Tayar: Pirelli™ V4 saiz 120/70 ZR17 di hadapan dan 200/55 ZR17 di belakang (RR: CST saiz 180/55 di belakang).
Pilihan Tambahan Eksklusif
ZXMOTO turut menawarkan senarai aksesori tambahan khusus bagi varian 820RR-R untuk mereka yang mahukan sentuhan komponen gred perlumbaan:
Sayap gentian karbon (winglets) untuk bantuan aerodinamik.
Plet sambungan forged CNC dan pemijak kaki CNC boleh laras.
Gandar roda aluminium aloi.
Tangki bahan api rotomolded.
Rangkaian Model Global ZXMOTO
Kredit: ZXMOTO
Di pentas EICMA 2025, ZXMOTO mempamerkan keupayaan teknikal mereka melalui barisan model yang merangkumi pelbagai segmen utama.
Selain siri 820RR, platform tiga-silinder 819cc yang sama turut digunakan untuk model naked 820R (130hp) dan jentera kembara 820ADV (117hp).
Model ADV ini direka khusus untuk pelbagai permukaan jalan dengan penggunaan rim jejari 19-inci di hadapan dan 17-inci di belakang.
ZXMOTO turut mempertaruhkan nadi empat-silinder sebaris melalui model sport 500RR yang menghasilkan 85hp dan model street naked 500F dengan kuasa 74hp.
Model 500F tampil dengan sentuhan rekaan klasik melalui lampu utama bulat yang menggabungkan elemen retro dan prestasi moden.
Bagi peminat aktiviti off-road, jenama ini turut tampil dengan tiga model berikut:
450 Rally: Jentera inspirasi rali Dakar dengan berat hanya 128kg dan kuasa 60hp.
MX250 & MX450: Model motocross khusus dengan berat masing-masing 102kg dan 104kg.
ZXMOTO 820RR Masuk Pasaran Malaysia?
Kredit: ZXMOTO
Persoalan paling besar adalah adakah 820RR akan mendarat di pasaran kita?
Selepas model retro moden 500F, saluran media sosial tempatan mula aktif menayangkan video mengenai 820RR, seolah-olah memberi petanda awal ia sedang dipersiapkan untuk pasaran Malaysia.
Namun, sehingga kini masih belum ada pengumuman rasmi mengenai siapakah yang bakal memegang mandat sebagai pengedar rasmi ZXMOTO di Malaysia.
Di pasaran China, ZXMOTO 820RR ditawarkan pada harga bermula lebih sedikit 40,000 Yuan (sekitar RM23,320).
Melihat kepada pakej spesifikasi tinggi dan harga rendah motosikal dari China, 820RR mempunyai potensi menggegarkan penguasaan jenama sedia ada.
Litar Portimao di Portugal menjadi saksi detik bersejarah apabila pengeluar dari China, ZXMOTO, meraih kemenangan berganda kategori World Supersport (WorldSSP).
Kemenangan ini bukan sekadar kejayaan di litar, malah satu pencapaian dalam menyaingi gergasi Eropah dan Jepun seperti Ducati dan Yamaha.
Mewakili pasukan ZXMOTO Factory Evan Bros. Racing, pelumba Perancis iaitu Valentin Debise membuktikan kehebatan jentera ZXMOTO 820RR-RS.
Beliau menjuarai kedua-dua Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2.
ZXMOTO Pecahkan Penguasaan Jenama Besar!
Kredit: ZXMOTO
Selama bertahun-tahun, siri perlumbaan World Superbike (WSBK) dan kelas sokongan WorldSSP dikuasai sepenuhnya jenama besar Eropah dan Jepun.
Kejayaan ZXMOTO menunjukkan pengeluar dari China mampu berdiri di puncak podium, menewaskan jenama elit dengan sejarah perlumbaan yang jauh lebih lama.
Perlumbaan 1 di Portimao bermula dengan drama.
Can Oncu terpaksa menamatkan perjuangan lebih awal selepas terlibat dalam kemalangan pada peringkat awal saingan.
Valentin Debise tidak mensia-siakan peluang dan menjuarainya dengan jurang masa selesa iaitu 3.685 saat di hadapan pencabar terdekat, Jaume Masia.
Kredit: Evan Bros. Racing
Beliau kemudian melengkapkan kemenangan back-to-back dalam Perlumbaan 2 pada hari berikutnya dengan kelebihan 0.720 saat.
Kelajuan jentera ZXMOTO di laluan lurus mendapat pujian ramai daripada peminat dan pengulas sukan permotoran.
Malah, Debise turut mencatatkan pusingan terpantas dalam kedua-dua perlumbaan tersebut.
Beliau merekodkan catatan masa 1’43.634 saat dalam Perlumbaan 1 dan bertambah pantas dalam Perlumbaan 2 dengan catatan 1’43.623 saat.
Kejayaan ini mencetuskan fenomena dan merupakan satu kisah underdog yang berjaya mencabar status quo pengeluar motosikal antarabangsa.
“Bukan Demi Keputusan, Tapi Kerana Minat” – Zhang Xue
Pengasas ZXMOTO, Zhang Xue, yang memulakan karier sebagai mekanik motosikal pada usia 17 tahun, dilihat sangat emosional menyaksikan kejayaan jentera ciptaannya.
Beliau bukan nama asing dalam industri kerana merupakan individu penting yang pernah mengasaskan jenama Kove pada 2017, sebelum melepaskan jawatannya dan menubuhkan ZXMOTO pada 2024.
Dalam satu hantaran di media sosial, beliau menulis:
Anda melakukan sesuatu bukan demi keputusan semata-mata, tetapi kerana minat dan kadangkala, minat itu membawa keputusan yang berbeza.
Zhang Xue turut mendedahkan cabaran awal yang dihadapi pasukannya ketika mula melangkah ke litar antarabangsa. Beliau berkata:
Apabila kami mula-mula tiba di arena ini, kami dipandang rendah. Tetapi apabila kami berdiri di puncak podium, mereka terpaksa memandang kami semula.
Beliau menjelaskan rantaian bekalan industri China semakin lengkap dalam tempoh sedekad lalu, dengan kemajuan besar dalam peralatan, proses pembuatan serta keupayaan pengeluaran.
Menurut beliau, motosikal buatan China akan berupaya mendapat tempat di pasaran high-end global dalam tempoh lima tahun akan datang, setanding dengan kekuatan sebenar mereka.
ZXMOTO 820RR
Kredit: ZXMOTO
Kredit: ZXMOTO
Kredit: ZXMOTO
Kredit: ZXMOTO
Jentera 820RR-RS yang merangkul kejuaraan ini merupakan varian perlumbaan yang dioptimumkan sepenuhnya daripada model produksi utama, ZXMOTO 820RR.
Dalam sesi temu bual, Zhang Xue menyatakan kelebihan kompetitif pasukan hasil kekuatan teras jentera tersebut dalam kelasnya, termasuk hantaran kuasa yang kuat, berat yang ringan, serta pusat graviti yang rendah.
Ia berkongsi teknologi teras yang sama untuk mendominasi litar:
Nadi Tiga-Silinder: Enjin 819cc tiga-silinder sebaris (inline-three) menghasilkan 153.6ps dan tork 85Nm.
Dengan had putaran enjin (redline) mencecah 15,250rpm, ia memberikan tarikan awal yang kuat serta hantaran kuasa tinggi yang konsisten ketika keluar dari selekoh.
Casis Ultra-Ringan: Penggunaan kerangka twin-spar aluminium sepenuhnya, komponen aloi magnesium dan gentian karbon berjaya mengurangkan berat kering kepada hanya 182kg.
Ini menghasilkan nisbah kuasa-ke-berat yang luar biasa, selain memberikan kestabilan tinggi pada kelajuan maksimum.
Dinamik & Elektronik Tahap Perlumbaan: Jentera ini dilengkapi sistem ampaian boleh laras penuh, angkup brek radial Brembo, tayar slick Pirelli, serta sistem elektronik canggih seperti 6-axis IMU, Cornering ABS dan TCS pelbagai tahap untuk kawalan jitu pada sudut condong maksimum.
Kelajuan Maksimum: Versi standard 820RR menghasilkan 135ps dengan pecutan 0–100km/j dalam masa 2.81 saat dan kelajuan maksimum 280km/j. Varian spesifikasi tinggi mampu mencecah 299km/j.