Arkib Tag: Zhang Xue

ZXMOTO 820RR 2026 bakal masuk Malaysia?

Kemunculan ZXMOTO di pameran EICMA 2025 dan kemenangan berganda di World Supersport (WorldSSP) Portugal telah menghantar isyarat jelas kepada pesaing global.

Pengeluar dari China ini berada di tahap yang sangat berbeza.

Diasaskan pada 2024 oleh Zhang Xue yang sebelum itu pengasas bersama KOVE, ZXMOTO kini melangkah dengan agresif.

Kredit: ZXMOTO

Rekod jualan model produksi pertama mereka, ZX-500RR, berjaya mencecah lebih 10,000 unit dalam tempoh hanya empat bulan di pasaran China.

Bagi Zhang Xue, pembangunan jenama ini didorong sepenuhnya oleh minat mendalam terhadap dunia perlumbaan dan pembinaan motosikal.

Beliau secara terbuka mengakui tidak begitu menikmati aspek keusahawanan, sebaliknya lebih gemar menghabiskan masa dalam proses pembangunan produk.

Prestasi Enjin ZXMOTO 820RR 2026

Kredit: ZXMOTO

Bintang utama dalam barisan jentera mereka ialah siri ZXMOTO 820RR.

Jentera yang meraih kemenangan berganda di litar Portimao, Portugal tempoh hari adalah versi 820RR-RS yang menghasilkan 150 ps.

Untuk pasaran jalanan, ZXMOTO menawarkan varian standard 820RR.

Ia hadir dengan nadi 818.8cc tiga-silinder sebaris DOHC 12-injap yang menghasilkan kuasa 135 ps pada 12,000 rpm dengan tork 80Nm.

Jentera ini dilengkapi teknologi moden seperti electronic throttle, slipper clutch, serta sistem suntikan bahan api BOSCH EFI dengan kapasiti tangki bahan api sebanyak 18 liter.

Dari segi pengendalian, ia menggunakan brek cakera terapung berkembar 320mm dengan angkup TAISKO™.

Kredit: ZXMOTO

Perbezaan Spesifikasi Varian 820RR-R

Bagi mereka yang mahukan prestasi lebih ekstrem, varian 820RR-R tampil sebagai versi yang lebih ringan dan berkuasa.

Berikut adalah perbezaan utama berbanding model standard:

  • Kuasa: Meningkat kepada 145.5 ps (RR: 135 ps).
  • Tork: Meningkat kepada 83Nm pada 10,000 rpm (RR: 80Nm).
  • Berat (curb): 186kg (RR: 193kg).
  • Tangki Bahan Api: 16 liter (RR: 18 liter).
  • Sistem Brek: Angkup BREMBO™ M50 dengan cakera lebih besar 330mm (RR: 320mm / Angkup TAISKO™).
  • Rim: Jenis forging CNC saiz MT3.5×17 di hadapan dan MT6.0x17 di belakang (RR: Cast aluminium).
  • Tayar: Pirelli™ V4 saiz 120/70 ZR17 di hadapan dan 200/55 ZR17 di belakang (RR: CST saiz 180/55 di belakang).

Pilihan Tambahan Eksklusif

ZXMOTO turut menawarkan senarai aksesori tambahan khusus bagi varian 820RR-R untuk mereka yang mahukan sentuhan komponen gred perlumbaan:

  • Sayap gentian karbon (winglets) untuk bantuan aerodinamik.
  • Plet sambungan forged CNC dan pemijak kaki CNC boleh laras.
  • Gandar roda aluminium aloi.
  • Tangki bahan api rotomolded. 

Rangkaian Model Global ZXMOTO

Kredit: ZXMOTO

Di pentas EICMA 2025, ZXMOTO mempamerkan keupayaan teknikal mereka melalui barisan model yang merangkumi pelbagai segmen utama.

Selain siri 820RR, platform tiga-silinder 819cc yang sama turut digunakan untuk model naked 820R (130hp) dan jentera kembara 820ADV (117hp).

Model ADV ini direka khusus untuk pelbagai permukaan jalan dengan penggunaan rim jejari 19-inci di hadapan dan 17-inci di belakang.

ZXMOTO turut mempertaruhkan nadi empat-silinder sebaris melalui model sport 500RR yang menghasilkan 85hp dan model street naked 500F dengan kuasa 74hp.

Model 500F tampil dengan sentuhan rekaan klasik melalui lampu utama bulat yang menggabungkan elemen retro dan prestasi moden.

Bagi peminat aktiviti off-road, jenama ini turut tampil dengan tiga model berikut:

  • 450 Rally: Jentera inspirasi rali Dakar dengan berat hanya 128kg dan kuasa 60hp.
  • MX250 & MX450: Model motocross khusus dengan berat masing-masing 102kg dan 104kg.

ZXMOTO 820RR Masuk Pasaran Malaysia?

Kredit: ZXMOTO

Persoalan paling besar adalah adakah 820RR akan mendarat di pasaran kita?

Selepas model retro moden 500F, saluran media sosial tempatan mula aktif menayangkan video mengenai 820RR, seolah-olah memberi petanda awal ia sedang dipersiapkan untuk pasaran Malaysia.

Namun, sehingga kini masih belum ada pengumuman rasmi mengenai siapakah yang bakal memegang mandat sebagai pengedar rasmi ZXMOTO di Malaysia.

Di pasaran China, ZXMOTO 820RR ditawarkan pada harga bermula lebih sedikit 40,000 Yuan (sekitar RM23,320).

Melihat kepada pakej spesifikasi tinggi dan harga rendah motosikal dari China, 820RR mempunyai potensi menggegarkan penguasaan jenama sedia ada.

Kredit gambar dan sumber:

  • CHINADAILY
  • ZXMOTO
  • EICMA

ZXMoto kuasai litar Portimao, kalahkan jentera ternama!

Litar Portimao di Portugal menjadi saksi detik bersejarah apabila pengeluar dari China, ZXMOTO, meraih kemenangan berganda kategori World Supersport (WorldSSP).

Kemenangan ini bukan sekadar kejayaan di litar, malah satu pencapaian dalam menyaingi gergasi Eropah dan Jepun seperti Ducati dan Yamaha.

Mewakili pasukan ZXMOTO Factory Evan Bros. Racing, pelumba Perancis iaitu Valentin Debise membuktikan kehebatan jentera ZXMOTO 820RR-RS.

Beliau menjuarai kedua-dua Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2.

ZXMOTO Pecahkan Penguasaan Jenama Besar!

Kredit: ZXMOTO

Selama bertahun-tahun, siri perlumbaan World Superbike (WSBK) dan kelas sokongan WorldSSP dikuasai sepenuhnya jenama besar Eropah dan Jepun.

Kejayaan ZXMOTO menunjukkan pengeluar dari China mampu berdiri di puncak podium, menewaskan jenama elit dengan sejarah perlumbaan yang jauh lebih lama.

Perlumbaan 1 di Portimao bermula dengan drama.

Can Oncu terpaksa menamatkan perjuangan lebih awal selepas terlibat dalam kemalangan pada peringkat awal saingan.

Valentin Debise tidak mensia-siakan peluang dan menjuarainya dengan jurang masa selesa iaitu 3.685 saat di hadapan pencabar terdekat, Jaume Masia.

Kredit: Evan Bros. Racing

Beliau kemudian melengkapkan kemenangan back-to-back dalam Perlumbaan 2 pada hari berikutnya dengan kelebihan 0.720 saat.

Kelajuan jentera ZXMOTO di laluan lurus mendapat pujian ramai daripada peminat dan pengulas sukan permotoran.

Malah, Debise turut mencatatkan pusingan terpantas dalam kedua-dua perlumbaan tersebut.

Beliau merekodkan catatan masa 1’43.634 saat dalam Perlumbaan 1 dan bertambah pantas dalam Perlumbaan 2 dengan catatan 1’43.623 saat.

Kejayaan ini mencetuskan fenomena dan merupakan satu kisah underdog yang berjaya mencabar status quo pengeluar motosikal antarabangsa.

“Bukan Demi Keputusan, Tapi Kerana Minat” – Zhang Xue

Pengasas ZXMOTO, Zhang Xue, yang memulakan karier sebagai mekanik motosikal pada usia 17 tahun, dilihat sangat emosional menyaksikan kejayaan jentera ciptaannya.

Beliau bukan nama asing dalam industri kerana merupakan individu penting yang pernah mengasaskan jenama Kove pada 2017, sebelum melepaskan jawatannya dan menubuhkan ZXMOTO pada 2024.

Dalam satu hantaran di media sosial, beliau menulis:

Anda melakukan sesuatu bukan demi keputusan semata-mata, tetapi kerana minat dan kadangkala, minat itu membawa keputusan yang berbeza.

Zhang Xue turut mendedahkan cabaran awal yang dihadapi pasukannya ketika mula melangkah ke litar antarabangsa. Beliau berkata:

Apabila kami mula-mula tiba di arena ini, kami dipandang rendah. Tetapi apabila kami berdiri di puncak podium, mereka terpaksa memandang kami semula.

Beliau menjelaskan rantaian bekalan industri China semakin lengkap dalam tempoh sedekad lalu, dengan kemajuan besar dalam peralatan, proses pembuatan serta keupayaan pengeluaran.

Menurut beliau, motosikal buatan China akan berupaya mendapat tempat di pasaran high-end global dalam tempoh lima tahun akan datang, setanding dengan kekuatan sebenar mereka.

ZXMOTO 820RR

Jentera 820RR-RS yang merangkul kejuaraan ini merupakan varian perlumbaan yang dioptimumkan sepenuhnya daripada model produksi utama, ZXMOTO 820RR.

Dalam sesi temu bual, Zhang Xue menyatakan kelebihan kompetitif pasukan hasil kekuatan teras jentera tersebut dalam kelasnya, termasuk hantaran kuasa yang kuat, berat yang ringan, serta pusat graviti yang rendah.

Ia berkongsi teknologi teras yang sama untuk mendominasi litar:

  • Nadi Tiga-Silinder: Enjin 819cc tiga-silinder sebaris (inline-three) menghasilkan 153.6ps dan tork 85Nm.
  • Dengan had putaran enjin (redline) mencecah 15,250rpm, ia memberikan tarikan awal yang kuat serta hantaran kuasa tinggi yang konsisten ketika keluar dari selekoh.
  • Casis Ultra-Ringan: Penggunaan kerangka twin-spar aluminium sepenuhnya, komponen aloi magnesium dan gentian karbon berjaya mengurangkan berat kering kepada hanya 182kg.
  • Ini menghasilkan nisbah kuasa-ke-berat yang luar biasa, selain memberikan kestabilan tinggi pada kelajuan maksimum.
  • Dinamik & Elektronik Tahap Perlumbaan: Jentera ini dilengkapi sistem ampaian boleh laras penuh, angkup brek radial Brembo, tayar slick Pirelli, serta sistem elektronik canggih seperti 6-axis IMU, Cornering ABS dan TCS pelbagai tahap untuk kawalan jitu pada sudut condong maksimum.
  • Kelajuan Maksimum: Versi standard 820RR menghasilkan 135ps dengan pecutan 0–100km/j dalam masa 2.81 saat dan kelajuan maksimum 280km/j. Varian spesifikasi tinggi mampu mencecah 299km/j.

Sumber/Kredit gambar: