Arkib Tag: Z250

Warna dan grafik baharu untuk Modenas Kawasaki Z250 ABS, Z650, Versys 1000 SE, Ninja 1000 SE, KX250, KX250X

Edaran Modenas Sdn Bhd  mengumumkan warna dan grafik baharu untuk barisan model di Malaysia, iaitu Z250 ABS, Z650, Versys 1000 SE, Ninja 1000 SE, KX250, KX250X.

Z250 ABS

Z250 mendapat warna Metallic Matte Graphenesteel Grey/Ebony Frame Golden Blazed Green, dijual pada harga RM20,600.

Z650 ABS

Bagi Z650 ABS, ia ditawarkan dengan kombinasi warna Candy Persimmon Red/Noble Frame Metallic Red/Wheel Metallic Persimmon Red. Harga adalah RM35,900.

Versys 1000 SE

Versys 1000 SE pula kini hadir dengan warna Phantom Silver/Metallic Diablo Black, berharga RM81,900.

ZX1000 SE

Seterusnya merupakan Ninja ZX1000 SE, yang kini mendapat warna Emerald Blazed Green/Metallic Diablo Black/Metallic Graphite Grey. Superbike ini ditawarkan pada harga RM71,400.

KX250 dan KX250X

Akhir sekali adalah duo KX250 dan KX250X, dimana masing-masing hadir dengan warna Lime Green. KX250 berharga RM35,000 manakala KX250X RM35,500.

Kesemua model dengan warna baharu ini adalah bagi tahun 2024, dan setiap satu mengekalkan kelengkapan serta prestasi yang ditawarkan model semasa. Dengan pengenalan warna-warna baharu ini juga, warna lama akan ditamatkan penawarannya.

Modenas Z250 dan Ninja 250 ABS terima 5-bintang dari MIROS

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat MODENAS menerima penarafan lima bintang daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi model Ninja 250 ABS dan Z250 ABS.

Penarafan itu diberikan selepas kedua-dua motosikal itu menjalani ujian di bawah Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP).

Selain Anti-lock Braking System (ABS), kedua-dua model tersebut berkongsi teknologi keselamatan tambahan seperti klac ‘assist and slipper’, penunjuk tunggangan ekonomi serta Argo Fit bagi pengurusan casis ringan yang lebih efektif.

Dengan itu, MyMAP secara rasmi memberi penarafan lima bintang kepada kedua-dua model ini sejurus proses penilaian dan audit yang telah dilalui MODENAS pada Oktober 2022 lalu.

Program MyMAP merupakan sebuah usaha terus kerajaan untuk menaik taraf tahap keselamatan motosikal di Malaysia dengan mengintegerasi teknologi dan fungsi keselamatan baharu pada motosikal berkapasiti rendah.

Dan dalam masa yang sama, untuk mendidik pengguna untuk mempraktikan tunggangan selamat sebagai pencegahan kemalangan.

Program MyMAP ini dibentuk berlandaskan pengalaman MIROS dalam membangunkan Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) yang turut mempunyai sistem penilaian yang sama seperti NCAP.

Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS berkata, “Kami di MODENAS amat berbangga dengan pengiktirafan yang telah dianugerahkan pada kedua-dua model Modenas Ninja 250 dan Modenas Z250 versi ABS.

“Kedua-dua model ini merupakan motosikal pertama yang menerima penarafan 5 bintang MyMAP bagi segmen Naked Bike dan Sports Bike bersasaran 250cc.

“Dengan itu, kami amat berharap para pembeli akan lebih cakna dalam membuat keputusan ketika membeli motosikal dana lebih mementingkan teknologi keselamatan yang ditawarkan pada setiap motosikal mereka.”

Modenas Ninja 250, Ninja 250 ABS dan Z250 ABS dilancarkan – harga dari RM18,900

PENGEDAR eksklusif baharu motosikal Kawasaki di Malaysia iaitu Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) hari ini melancarkan tiga model baharu iaitu Ninja 250, Ninja 250 ABS dan Z250 ABS.

Harga jualan yang disyorkan adalah seperti berikut:

– Ninja 250 – RM18,900

– Ninja 250 ABS – RM20,500

– Z250 ABS – RM19,500

Ketiga-tiga model tersebut berkongsi trenkuasa yang sama iaitu enjin 249 cc dua silinder sebaris DOHC yang menghasilkan 37 hp pada 12,500 rpm dan 23 Nm pada 10,000 rpm, serta transmisi enam kelajuan dengan klac Assist & Slipper.

Jentera-jentera ini dibina menggunakan kerangka Trellis yang diperbuat daripada keluli berketegangan tinggi. Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan lengan ayun di belakang.

Tayar didatangkan dalam saiz 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, manakala rim pula berukuran 17 inci. Sistem brek pula merangkumi cakera tunggal berukuran 286 mm di depan dan 193 mm di belakang. Hanya Ninja 250 ABS dan Z250 ABS dilengkapi dengan sistem brek anti-kunci (ABS).

Ciri-ciri lain yang terdapat pada model-model ini termasuklah sistem Ergo-Fit dan penunjuk tunggangan ekonomikal.

Untuk pilihan warna, Ninja 250 boleh didapati dalam warna Metallic Carbon Grey dan Metallic Matte Graphite, manakala Ninja 250 ABS dalam warna Metallic Matte Graphite Grey. Z250 ABS pula tersedia dalam warna Metallic Spark Black.

Ketiga-tiga model ini dipasang secara tempatan (CKD) di kilang pemasangan Modenas di Gurun, Kedah dan akan menggunakan nama Modenas di pasaran.

Ini ekoran daripada hasil peningkatan saham Kawasaki Motors. Ltd (KMC) di dalam syarikat Modenas yang menyaksikan kesemua model Kawasaki 650cc ke bawah dijenamakan semula di bawah Modenas.

“Pesanan saya kepada semua pemilik motosikal Kawasaki, lama dan baharu; di bawah pengurusan Modenas, anda boleh mengharapkan tahap perkhidmatan pelanggan yang serupa atau lebih lagi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Roslan Roskan.

“Modenas sentiasa memerhati, mempelajari dan menyesuaikan operasi perniagaan sepertimana rakan kongsi teknikal dan pemegang saham kami, KMC. Bersama-sama dengan Kawasaki, kami bersedia untuk pengembangan perniagaan yang lebih besar,” tambah beliau.