Arkib Tag: xf

Jaguar F-Pace 2022 facelift mendarat di Malaysia – Varian tunggal R-Dynamic, 250hp, dari RM599k

SETELAH memperkenalkan XF 2022 kira-kira dua minggu lalu, Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) kini melancarkan pula F-Pace facelift. Ia hadir dalam satu varian iaitu 2.0L R-Dynamic, dengan harga RM598,800 (termasuk SST, tanpa cukai jalan, pendaftaran dan insurans).

Dari luaran, Jaguar F-Pace 2022 mendapat lampu LED lebih nipis dengan DRL berbentuk-J, corak baharu pada gril, lampu LED belakang lebih nipis, dan bentuk pintu but yang direka semula.

Perubahan di dalam pula merangkumi papan pemuka yang kini baharu sepenuhnya, manakala konsol tengah kini lebih bersegi. Tombol gear pula kini menggunakan tombol kecil menggantikan butang berpusing pada model sebelum ini.

F-Pace juga didatangkan dengan mod-mod pemanduan Comfort, Eco, Rain-Ice-Snow dan Dynamic. Sementara itu, terdapat juga Configurable Dynamics yang membolehkan anda menetapkan respon enjin, cara penukaran gear, dan berat stereng mengikut kesesuaian.

SUV ini juga dilengkapi dengan skrin sesentuh melengkung bersaiz 11.4-inci yang terletak di bawah corong pendingin hawa. Sistem ini kini menggunakan operasi Pivi Pro, hadir dengan pengecaj tanpa-wayar, dan menyokong Android Auto serta Apple CarPlay.

Sama seperti sedan XF, Jaguar F-Pace mendapat ciri keselamatan standard seperti Autonomous Emergency Braking, Lane Keep Assist, Cruise Control dan Driver Monitoring. Active Noise Cancellation juga hadir secara standard.

Tiada perubahan pada janaan kuasa. Jaguar F-Pace facelift ini dipacu oleh enjin 2.0-liter 4-silinder turbo menghasilkan 250hp dan 365Nm tork, dan kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik 8-kelajuan.

Pecutan 0-100 boleh dilakukan dalam masa 7.3 saat.

Jaguar XF facelift 2022 kini di Malaysia – 2.0 R-Dynamic dengan Active Noise Cancellation

JAGUAR Land Rover Malaysia telah melancarkan XF facelift 2022 dan tempahan untuk sedan mewah itu kini dibuka. Ia hadir dengan varian tunggal 2.0L R-Dynamic, dengan harga bermula RM498,800 termasuk SST 10 peratus, sebelum cukai jalan, pendaftaran dan insurans.

Enjin 2.0-liter Ingenium turbo 4-silinder ini menjana 250hp dan 365Nm tork, dengan output disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear automatik 8-kelajuan. Ini membolehkan Jaguar XF ini memecut ke 100km/j dalam hanya 7.1 saat.

Untuk facelift kali ini juga, XF 2022 mendapat skrin infotainmen Pivi Pro yang lebih besar dan melengkung, bersaiz 11.4-inci. Unit ini menurut Jaguar memudahkan pengguna, dan menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Terdapat juga pengecaj telefon pintar tanpa-wayar serta sistem audio dengan Active Noise Cancellation untuk ruang kabin lebih senyap dan kualiti audio lebih baik.

Dari segi keselamatan, XF 2022 hadir dengan Autonomous Emergency Braking, Lane Keep Assist, Adaptive Cruise Control, dan Driver Condition Monitor. Sistem pendingin hawa pula menampilkan sistem ‘air ionisation’ dengan penapis PM2.5.

Tempahan untuk Jaguar XF 2022 kini dibuka dengan harga bermula RM489,800 seperti disebut di atas.