Arkib Tag: X3

BMW Malaysia mencari pemilik BMW M tertua sempena sambutan ulangtahun ke-50

BMW M GmbH akan menyambut ulangtahun yang ke-50 pada Selasa depan, 24 Mei 2022. Dan untuk itu, BMW Group Malaysia akan menyertai sambutan itu dengan mencari pemilik BMW M tertua di negara ini.

Sebelum itu, sedikit latar belakang. BMW M dikatakan sebagai “huruf paling berkuasa di dunia”, dengan penghasilan jentera-jentera berprestasi tinggi dan jentera lumba yang mendominasi litar-litar seluruh dunia.

Ianya bermula dengan penubuhan divisyen BMW Motorsport GmbH pada sekitar 1972 dan menjadi elemen penting dalam BMW Group memandangkan mereka mampu menggabungkan fungsi perlumbaan dengan rupa sporti untuk sesebuah kenderaan.

Pasukan ini bermula dengan projek 3.0 CSL yang dibina untuk European Touring Car Championship. Jentera ini terus mendominasi perlumbaan ini setiap tahun dari 1975 hingga 1979.

BMW 3.0 CSL juga menjadi dua model pertama di BMW Art Cars yang dicat oleh artis terkenal Alexander Calder dan Frank Stella.

Sehingga hari ini, BMW M telah menghasilkan pelbagai jentera berprestasi tinggi yang seronok dipandu, bermula M1, M2, M3, M4, M5, M6, M8, termasuk SUV mereka X3 M, X4 M, X5 M dan X6 M.

Berbalik kepada pencarian BMW M tertua di Malaysia, BMW Malaysia mencari model BMW M tertua dalam setiap siri.

Jika anda adalah pemilik atau anda mengenali pemilik berkenaan, anda boleh hantarkan butiran di pautan ini.

Dan ada pemenang! Ya, pemenang berpeluang memenangi barangan BMW M eksklusif dan kenderaan mereka akan dipamerkan oleh BMW Group Malaysia. Mereka yang bukan pemilik tetapi menghantar butiran yang betul juga akan memenangi hadiah.

Tarikh tutup penghantaran/penyertaan adalah pada 8 Jun 2022 ini.

BMW X3 facelift 2022 dilancar dengan tiga varian, dari RM316k, CKD

BMW Malaysia hari ini memperkenalkan X3 facelift 2022 dengan tiga varian baharu, dengan harga seperti berikut:

  • X3 sDrive20i M Sport: RM315,800
  • X3 xDrive30i M Sport: RM358,800
  • X3 xDrive30e M Sport: RM 356,800

Kesemua model adalah versi CKD (pemasangan tempatan) dan harga adalah atas jalan termasuk cukai SST, tanpa insurans.

BMW X3 sememangnya sudah dipasang di Malaysia untuk model sebelum ini, tetapi untuk facelift 2022, varian hibrid X3 xDrive30e juga mendapat versi CKD buat pertama kali.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser berkata: “Kami teruja untuk mengelektrifikasikan BMW X3 pemasangan tempatan buat pertama kali, sementara menawarkan pilihan janaan kuasa berbeza untuk mereka yang mahukan pengalaman memandu berbeza.”

“Ini mencerminkan janji kami untuk menawarkan Power of Choice melalui pilihan kenderaan petrol, plug-in hybrid (PHEV) dan elektrik sepenuhnya di Malaysia.”

Dari segi rupa luaran, BMW X3 2022 mendapat ‘kidney grille’ lebih besar, rekaan bampar depan baharu dengan ruang kemasukan udara menegak, dan lampu depan LED lebih nipis.

Seperti biasa, versi PHEV xDrive30e boleh dikenalpasti melalui port pengecaj yang terletak di belakang fender kiri tayar depan.

Dimensi keseluruhan BMW X3 2022 tidak berubah, namun pilihan rim kini adalah sehingga 20-inci, lampu belakang LED sepenuhnya, serta ekzos lebih besar.

BMW X xDrive20i dan xDrive30i kedua-duanya dikuasakan oleh enjin petrol 2.0-liter 4-silinder TwinPower Turbo, tetapi dengan talaan berbeza. Enjin pada xDrive20e menjana 184hp dan 300Nm tork manakala unit pada xDrive30i pula menghasilkan 252hp dan 350Nm tork.

Kotak gear walaubagaimanapun adalah sama, iaitu automatik 8-kelajuan. Ini memberikan pecutan 0-100km/j sepantas 8.2 saat untuk X3 xDrive20i dan 6.3 saat untuk X3 xDrive30i. Kelajuan maksima pula adalah 215km/j untuk xDrive20i dan 240km/j untuk xDrive30i.

Sementara itu, versi PHEV X3 xDrive30e pula menggabungkan enjin 2.0-liter dengan motor elektrik dan bateri berkapasiti 12kWh. Ini membolehkannya dipandu sehingga 50km dalam mod elektrik tanpa setitis petrol.

Kesemua varian BMW X3 baharu ini mendapat suspensi M Sport dengan penyerap hentak talaan sporti, dan sistem pacuan roda-belakang (X3 xDrive20i) serta pacuan semua-roda (X3 xDrive30i dan xDrive30e).

Bahagian dalaman pula dilengkapi Control Display dengan skrin 10.25-inci, elemen kawalan baharu pada konsol tengah, tempat duduk sports dengan sokongan tepi lebih baik, dan paparan instrumen BMW Live Cockpit dengan teknologi panel hitam.

Sementara itu, teknologi untuk bantuan pemanduan pula terdiri dari Driving Assistant yang terdiri dari Lane Change Warning, Lane Departure Warning dan Front Collision Warning dengan bantuan brek.

Terdapat juga ciri seperti Parking Assistant, Reversing Assistant, Park Assist, dan Active Park Distance Control (PHEV sahaja).

Dari segi pilihan warna pula, BMW X3 hadir dengan kombinasi seperti berikut:

  • Alpine White, Brooklyn Grey, Phytonic Blue, dan Carbon Black dengan kemasan dalam Leather Vernasca Black dan jahitan biru, atau
  • Alpine White dan Carbon Black dengan kemasan dalam Leather Vernasca Mokka

BMW iX3 tiba di Malaysia, SUV elektrik dengan pecutan 0-100 dalam 6.8 saat

BMW nampaknya semakin giat dengan pengenalan model-model elektrik (EV) mereka, terbaharu melancarkan iX3. Model ini diasaskan dari BMW X3 yang biasa kita lihat dan akan menjadi alternative kepada iX yang lebih besar.

Dua varian diperkenalkan, iaitu Inspiring pada RM317,360 dan Impressive pada RM336,360 (atas jalan tanpa insurans). Buat masa ini, hanya 30 unit akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

Jaminan standard adalah dua tahun tanpa had perbatuan. Tetapi seperti biasa, anda juga boleh tambah perlindungan menjadi lima tahun, dengan harga baharu RM330,800 (Inspiring) dan RM349,800 (Impressive).

Kedua-dua varian mempunyai pek janaan kuasa yang sama iaitu sebuah motor elektrik di belakang dengan kuasa 210kW (286hp) dan 400Nm tork. Ini memberikan iX3 prestasi pecutan 0-100km/j dalam 6.8 saat manakala kelajuan maksima 180km/j.

 

Kuasa dibekalkan oleh bateri lithium-ion 73.8kWh yang akan membolehkan iX3 dipandu sehingga 353km untuk setiap caj penuh. Seperti biasa, ia boleh dicaj menggunakan pengecaj biasa AC atau jenis pengecaj pantas DC.

BMW iX3 ini sebenarnya merupakan model facelift, justeru ia dilengkapi lampu depan lebih nipis, gril besar, dan lampu belakang tiga-dimensi. Kemasan lain adalah ruang kemasukan udara heksagon, sirip sisi berbentuk-L, dan diffuser belakang yang besar.

Pembaharuan di bahagian dalam adalah konsol tengah yang lebih ergonomik. Ia juga didatangkan dengan skrin infotainmen tengah 12.3-inci dan instrumen kluster digital bersaiz sama di depan pemandu.

Pakej M Sport adalah standard, bermakna BMW iX3 mendapat roda stereng, tempat duduk dan kemasan siling lebih sporti.

Bergantung kepada varian, iX3 diberikan pilihan lampu LED adaptif atau Laserlight, rim 19- dan 20-inci, kemasan kulit Vernasca, pengecaj tanpa-wayar, bumbung panoramik, kamera 360-darjah, dan bunyi pemanduan sintetik IconicSounds Electric.

Ciri keselamatan pula terdiri dari pakej Driving Assistant Professional yang hadir dengan sistem-sistem terkini, antaranya Autonomous Emergency Braking, Evasive Steering Assist, Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, dan Blind Spot Monitoring.

BMW M3 tular dengan livery polis, kenderaan pengiring VIP terbaharu?

TULAR pagi ini di media sosial dan aplikasi sembang dengan gambar-gambar sebuah BMW M3 G80 yang ‘memakai’ livery atau pelekat seragam polis.

Unit kereta peronda ini dikatakan akan menjadi ahli baharu dalam Polis High Performance dan disokong oleh beberapa unit BMW X3 dan Volkswagen Tiguan.

Menurut rakan media kami di Funtasticko, ura-ura mengatakan kereta peronda Polis High Performance ini bakal menjadi kenderaan pengiring untuk orang-orang kenamaan (VVIP).

Sementara itu, rakan kami di Autobuzz pula berkongsi dua video yang memaparkan sedan sport M3 dan SUV X3 itu sedang dipandu di kawasan tertutup melakukan drifting dan pemanduan prestasi.

Kami syak anggota polis yang akan memandu jentera-jentera ini sedang menjalani latihan pemanduan lanjutan (advanced driving) bagi membolehkan mereka mengendalikan kenderaan sebaiknya.

 

Jika benar, BMW M3, X3 dan Tiguan ini akan menyertai armada kenderaan pengiring polis yang sebelum ini terdiri dari Mitsubishi Lancer Evo X (Skuad Helang PDRM) dan Honda Civic Type-R.

Pada 2019, Civic Type-R telah dihadiahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah oleh pihak Honda Malaysia sebagai meraikan hari keputeraannya.

BMW M3 generasi G80 dikuasakan oleh enjin 3.0-liter 6-silinder twin-turbo yang mampu menghamburkan 480hp dan 550Nm tork.

Output dihantar ke roda belakang dengan transmisi automatik Steptronic 8-kelajuan. Harga asas bagi model ini adalah sekitar RM664,800.

Jom ikut trend pandu SUV, ini senarai dengan bajet bawah RM30k

SEKARANG kan zaman SUV, jadi semua orang nak beli. SUV ni ada kelebihan berbanding kereta sedan biasa, contohnya ruang but lebih besar, dan kedudukan memandu lebih tinggi membolehkan kita melihat lebih jauh ke depan.

Dalam senarai kali ini, kami tak masukkan Honda CR-V kerana kalau dikira, memang model ini paling popular dalam pasaran. Kalau anda nak cari CR-V silakan, tapi kami nak senaraikan model selain CR-V untuk kali ini. Kita tengok SUV apa lagi yang menarik.

Nissan Murano 2.5 – RM26,888

Semasa ia baru dikeluarkan, bentuk Nissan Murano ini sangat luar biasa dan agak moden. Tapi hingga sekarang, ia tetap nampak agak baharu, mungkin kerana bentuknya yang tidak berpetak.

Murano ini tahun 2005, dan iklan berkata “satu pemilik cermat, perbatuan rendah, enjin lancar, suspensi ok, dalaman bersih,” macam biasalah.

Tapi memang nampak masih dalam keadaan baik, malah konsol tengah dan tempat duduk pun terjaga.

Ford Escape – RM23,800

Mungkin popular di Amerika Syarikat, tapi walaupun SUV ini model 2010 dan baru berusia 10-11 tahun, harganya dikira jatuh agak banyak.

Satu harga yang berbaloi kalau anda ada kenal pomen-pomen Ford yang baik untuk penjagaan kereta ini.

Admin pun suka sebenarnya. Model Escape ini ialah varian Premium High Spec dengan enjin 2.3-liter, ada beg udara, ABS, pemain CD. Cun?

Volvo XC90 2.5 – RM22,000

Ini dikatakan sebagai “grand daddy of the grand daddy”, sebab Volvo memang hasilkan XC90 khas untuk keluarga. Masa baru dikeluarkan, XC90 ini menjadi SUV paling selamat.

Yang kami jumpa ini ialah 2.5 Turbo, iaitu varian pertengahan. Yang penting rekabentuk XC90 ini memang sangat praktikal, dengan tempat duduk baris ketiga cukup lapang dan selesa.

Pada harga RM22k ini tidak terlalu tinggi, tidak terlalu rendah. Kalau minat, boleh periksa betul-betul kerana harga alat gantinya sedikit mahal.

Toyota Rush S Spec – RM25,500

Lebih mahal dari Ford Escape tadi walaupun saiznya lebih kecil. Biasalah, Toyota kan? Di Malaysia, Rush hadir dengan varian 2WD sahaja, kalau ada pilihan 4WD mungkin lebih menarik.

Tapi kira okey untuk penggunaan bandar, ada ke yang nak pandu Rush masuk hutan?

Kalau anda jumpa macam ni yang rupa luar dan dalam masih cantik, kira boleh dibeli lah sebab enjinnya sudah tentu tahan lasak.

Suzuki Grand Vitara 2.0 – RM24,300

Sebuah SUV yang cukup hensem dan segak, dengan rupa bersegi, garis lurus, tapi cantik. Harga dipinta lebih murah dari Toyota Rush tadi, tapi ini kereta tahun 2007.

Iklannya berkata, “Top spec, dijaga rapi, diservis selalu, penggunaan minyak yang baik, perbatuan rendah, dalam hitam sepenuhnya, rim 18-inci baharu dan tayar baharu.”

Cuma enjinnya ada brace bar, dan rim nampak agak sporti, mungkin orang muda pandu. Jadi kita kena teliti periksa keadaan dan rekod servis kereta ini.

BMW X3 – RM24,900

Yang ini agak mencurigakan sedikit, X3 tahun 2004 dengan harga lebih rendah dari Toyota Rush. “Satu pemilik, bebas kemalangan dan banjir,” katanya.

BMW X3 ini dilengkapi pacuan semua-roda AWD, kotak gear automatik 5-kelajuan, rim 19-inci original, auto cruise, dan tempat duduk pemandu dengan fungsi memori.

Dengan harga yang agak rendah ini, pastikan kita periksa sebaiknya.

Peugeot 3008 – RM22,500

Yang ini nampak macam MPV, tapi ada dalam senarai SUV. Dalam senarai ini, kereta yang paling buatkan keluarga anda tersenyum, selain dari XC90 tadi, Peugeot 3008 di tempat kedua.

Ini kerana kereta Perancis memang sukar ditandingi bab keselesaan. Pandu sedap, kabin pun senyap. Cuma macam biasa, kereta Perancis ni kita perlu cari kawan atau ‘pomen’ yang pandai selenggara. Lain pada itu, memang menarik.

Jemput tonton video di bawah untuk penerangan lebih lanjut. Selamat membeli!

Foto BMW X3, iX3 2021 tular di internet

TULAR di internet foto model facelift BMW X3 G01 selepas ia dimuatnaik di laman web Kementerian Industri dan Teknologi Informasi (MIIT) China baru-baru ini.

Diperkenalkan pada 2017, terdapat beberapa perubahan ketara terhadap model facelift X3 dan iX3 (varian elektrik).

Rekaan pada bahagian hadapan dilengkapi dengan gril ‘kidney’ berkembar lebih besar yang disambung dengan lampu utara trapezoidal.

Terdapat kelainan bagi iX3 yang mana tiada lagi corong Air Breather dipasangkan bagi model ini.

Sementara itu, bahagian lampu belakang dilengkapi dengan rekaan tiga dimensi baharu.

Setakat ini, rata-rata peminat BMW menjangkakan X3 dan iX3 akan dilengkapi paparan skrin sesentuh lebih besar.

Bagaimanapun, sejauh mana andaian itu tidak dapat dipastikan kerana ‘pemandangan’ bahagian dalam kenderaan ini masih menjadi tanda tanya.

Selain ruangan dalaman, antara yang ditunggu peminat BMW adalah informasi mengenai enjin X3 dan iX3 baharu ini.

BMW setakat ini masih belum mengumumkan tarikh pelancaran model terbaharu mereka ini.

Bila model ini akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia juga masih menjadi tanda tanya.