Arkib Tag: wheelie

Suami isteri buat aksi ‘wheelie’ ditahan polis

SELEPAS dua hari menghilangkan diri, pasangan suami isteri yang terlibat dalam aksi menunggang motosikal secara berbahaya Isnin lepas akhirnya tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada Khamis (27 April).

Menurut Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, pasangan yang berusia 17 dan 16 tahun itu hadir ke IPD berkenaan pada jam 10 pagi dan kemudian ditahan Unit 42 Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang dengan aksi berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini pasangan itu diburu polis selepas video berdurasi 28 saat yang menunjukkan mereka membuat aksi ‘wheelie’ tular di media sosial. Kejadian itu dipercayai berlaku di Jalan Pasir Puteh, Kampung Peringat di Kota Bharu.

Angkara ‘wheelie’, lelaki kena cekup polis

PADAH melakukan aksi berbahaya ala ‘wheelie’ di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur, seorang lelaki ditahan pada semalam.

Memetik laporan Bernama, lelaki berusia 21 tahun itu ditahan selepas video dirinya melakukan aksi ‘wheelie’ tular di media sosial minggu lalu.

Sebelum ini, lelaki itu pernah ditahan kerana melakukan kesalahan sama.

Lelaki itu berdepan hukuman perintah khidmat masyarakat selama 12 bulan selain lesen memandu digantung selama dua tahun.

Terdahulu, polis mengesahkan motosikal dan pakaian digunakan dalam video tular telah disita untuk dijadikan bahan bukti.

Individu yang merakam video lelaki berkenaan juga masih dikesan pihak polis kerana disyaki bersubahat.