Arkib Tag: ulu yam

Jalan Batang Kali-Genting Highlands bakal muncul dalam Assetto Corsa

BUAT enthusiasts atau pemandu tegar di Malaysia, beberapa laluan sering menjadi pilihan seperti Kuala Kubu Bharu, Sg. Koyan menuju Cameron Highlands, Ulu Yam, dan Batang Kali menuju Genting Highlands.

Tidak lama lagi, cara untuk ‘menikmati’ jalan-jalan ini tidak akan terhad kepada memandu kereta sebenar sahaja, sebaliknya boleh dibuat dari rumah sahaja. Ini kerana ‘litar-litar’ ini akan direalisasikan dalam permainan simulasi Assetto Corsa.

Dibangunkan oleh AntuDusun melalui Project Kaido, mereka berkongsi rekaan-rekaan mereka ke laman Facebook Malaysian Touge Simracing dan menyenaraikan lokasi-lokasi popular seperti Simpang Pulai, Sumpitan, dan Ulu Yam.

Terbaharu, mereka menayangkan video ‘litar’ terbaharu iaitu laluan Batang Kali-Genting Highlands atau juga dikenali sebagai Ulu Yam.

Selain bentuk dan selekoh jalan yang disimulasikan sebaik mungkin, perincian turut ditambah seperti papan-papan tanda, latar belakang gunung-ganang, garisan kuning jalan, malah lengkap dengan sekatan jalan raya (SJR) serta pondok polis!

Jangan lupa perlahankan kereta anda di sini, barulah real, bukan?

Bagi kami, Project Kaido bukan sahaja satu platform terbaik untuk menyerlahkan bakat pereka grafik Malaysia, malah ia akan menjadikan sesi pemanduan hujung minggu lebih mudah dan selamat.

Tidak semestinya kita perlu memandu keluar kereta, lebih-lebih lagi dengan meningkatnya insiden kemalangan di Litar Ulu Yamburgring sejak akhir-akhir ini.

Selain itu, tunjukkan sokongan anda dengan melanggan kepada pautan Patreon mereka dengan bayaran hanya RM12. Semoga mereka boleh membawakan lebih banyak laluan dan ‘litar’ ke dunia simulasi Assetto Corsa di masa depan.

Kecundang di litar Ulu Yamburgring, pemandu Nissan Cefiro bertembung dengan Honda BR-V

KERAJAAN telah melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) dan membenarkan rentas daerah serta aktiviti sosial tertentu, dan bagi kaki kereta, pastinya aktiviti seperti track day dan weekend drive dinanti-nantikan.

Namun sayang sekali ‘pemanduan sukan’ di jalan raya awam sering berakhir dengan tidak begitu baik apabila apabila segala ‘bakat’ yang lama dipendam cuba dicurahkan dengan cara yang salah.

Sebuah Nissan Cefiro telah bertembung dengan Honda BR-V dari arah bertentangan selepas gagal membrek dan mengelak kenderaan yang diekorinya.

 

Dari dua klip video yang tersebar di aplikasi Whatsapp dan Facebook itu, kejadian difahamkan berlaku di Ulu Yam semalam (Ahad, 3 Oktober 2021). Kedua-dua video memaparkan rakaman dari pandangan belakang dashcam.

Video pertama yang berdurasi 15 saat menunjukkan sebuah kereta (dipercayai BMW) yang mengekori kereta kamera seperti memperlahankan kenderaan dan mengelak sesuatu sebelum perlanggaran berlaku di belakang mereka.

 

Video kedua pula yang dipercayai dari kereta di belakang BMW tadi, jelas menunjukkan kereta kamera memperlahankan kenderaan, sebelum sebuah Nissan Cefiro putih yang sedang laju cuba membrek.

Ia seperti tersasar atau cuba mengelak dan bergesel dengan sisi kereta kamera lalu bertembung dengan Honda BR-V dari arah bertentangan.

Tidak dapat dipastikan bagaimana keadaan pemandu dan penumpang kedua-dua kereta (Cefiro dan BR-V). Tetapi komen di Facebook mengatakan pemandu BR-V selamat dan hanya cedera ringan.

Kami belum dapat maklumat lanjut dari insiden ini.

Yang pasti, kami ingin sampaikan satu pesanan yang membosankan tetapi cukup penting, iaitu jalan raya bukanlah tempat berlumba.

Sentiasa amalkan pemanduan defensif di jalan raya awam kerana kita berkongsi dengan pemandu-pemandu lain.

Dan jika hendak menguji kemampuan diri dan kenderaan, lakukannya di tempat yang selamat dan betul seperti di kursus pemanduan lanjutan (advanced) atau di sesi track day.