Arkib Tag: UKM

UKM perkenal kenderaan hidrogen, boleh dipandu hingga 60km/j

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melancarkan dua kenderaan hidrogen yang dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik dari Institut Sel Fuel UKM dengan kerjasama pihak industri.

Kedua-dua kenderaan ini merupakan kenderaan elektrik pada asalnya sebelum diubahsuai menggunakan teknologi hidrogen.

Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata dua kenderaan tersebut iaitu kereta golf buggy dibangunkan dengan kerjasama pihak PETRONAS, manakala kenderaan utiliti sukan (SUV) hibrid versi mini pula adalah dengan kerjasama dengan syarikat Myrenergy Sdn. Bhd.

“Buggy mempunyai keunikan tersendiri kerana sumber kuasa elektrik menggunakan bateri telah digantikan dengan sistem sel bahan api untuk meningkatkan kecekapan pengoperasiannya.

“Ia juga boleh berfungsi sebagai penjana kuasa pegun berkuasa 3,000W bagi penggunaan peralatan elektrik,” katanya.

Kenderaan SUV pula adalah kenderaan hibrid sel bahan api dan bateri dengan nisbah 0.5 yang mana setiap sumber kuasa mampu mencapai kapasiti sehingga 10kW, membolehkan kenderaan bergerak lebih jauh dari jarak perjalanan asal.

“Sistem sel bahan api ini dilengkapi dengan unit sokongan seperti pelembap dan pendingin air bagi memastikan prestasi sistem sentiasa berada dalam keadaan yang optimum,” katanya.

Selari dengan kemampuan membangunkan kenderaan sel bahan api hidrogen, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan berkata Institut Sel Fuel UKM juga telah diiktiraf sebagai Ketua Program Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan (KKP) dalam kategori Pengangkutan dan Mobiliti oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Pelancaran kenderaan sel fuel hidrogen ini merupakan tanda sokongan dan komitmen UKM terhadap Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030 Malaysia untuk mencapai pengurangan gas rumah hijau sehingga 45 peratus menjelang 2030 dan menjadi negara neutral karbon seawal tahun 2050,” tambahnya lagi.

Hamil tidak halang wanita tawar khidmat pandu percuma kepada penerima vaksin

HAMIL enam bulan tidak menghalang seorang wanita menabur bakti kepada masyarakat dengan menawarkan khidmat pemanduan percuma kepada golongan memerlukan.

Wanita dikenali sebagai Rabiatul memberi perkhidmatan percuma itu kepada individu terkesan menetap di Cyberjaya yang perlu mendapatkan suntikan vaksin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Raiatul berkata, ia diharap dapat meringankan beban golongan memerlukan terutama ibu tunggal dan pelajar memandangkan harga tambang e-hailing bagi perjalanan dua hala ke UKM mencecah RM50.

“Rasa puas apabila dapat menolong orang lain yang memerlukan.

“Saya bergerak dengan kebenaran polis setiap kali kerana perlu merentas daerah dari sini Cyberjaya).

“Bagi penumpang, mereka hanya perlu menunjukkan tarikh janji temu di aplikasi MySejahtera di sekatan jalan raya (SJR),” katanya seperti dilapor Bernama.

Kerja amal Rabiatul sebelum ini tular di media sosial selain mendapat pujian ramai atas hasil usahanya itu.

Sementara itu, Rabiatul mengakui pematuhan prosedur operasi standard (SOP) amat dititikberatkan ketika membawa penumpang.

Ia termasuk mengamalkan jarak sosial yang mana penumpang perlu duduk di tempat duduk belakang.

Rabiatul cetus inspirasi

Usaha Rabiatul berjaya menjadi inspirasi kepada pihak lain yang turut mengikut jejak langkah sama.

Pengarah Urusan Gilmore House Theraphy Nazree Hisyam Md Nasir bersama Klinik Mediviron Pelangi Semenyih menyediakan perkhidmatan Grab dua hala untuk mereka ingin mendapatkan vaksin.

Menurutnya, khidmat tersebut diutamakan bagi warga emas dan juga individu yang menghadapi kesukaran pergerakan.

“Alamat PPV adalah terbuka dan tidak terhad kepada satu PPV sahaja.

Namun, syarat urusan pengambilan dan penghantaran penumpang adalah di Cyberjaya sahaja,” katanya.

Setakat ini, 50 slot tempahan perkhidmatan Grab diperuntukkan sebagai permulaan dan akan ditambah mengikut keperluan warga Cyberjaya.

“Permohonan boleh dibuat menerusi mesej di Facebook Gilmore Kids Theraphy tiga hari sebelum tarikh vaksinasi dengan tangkap layar janji temu MySejahtera,” katanya lagi.

Komuter terkeluar landasan, 70 penumpang selamat

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengesahkan kejadian sebuah tren komuter terkeluar dari landasan berhampiran Stesen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.

KTMB dalam satu kenyataan berkata, ketika kejadian terdapat lebih 70 penumpang dalam tren berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi KTMB Mohd Zain Mat Taha bagaimanapun berkata, tiada kemalangan jiwa melibatkan kakitangan atau orang awam dalam insiden terbabit.

Insiden menyebabkan perkhidmatan komuter mengalami kelewatan bagi perjalanan dari Stesen Batu Caves menuju ke Stesen Sungai Gadut.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200 atau menerusi saluran media sosial KTMB.