Arkib Tag: ujian penilaian kenderaan baharu

Proton X90 2026 dapat penarafan satu bintang ASEAN NCAP

Program Penilaian Kenderaan Baharu ASEAN NCAP secara rasmi menarik balik penarafan lima bintang bagi Proton X90 2026 yang baru dilancarkan.

SUV tersebut kini diberikan penarafan 1 bintang sahaja disebabkan penyingkiran sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) pada model yang dikemas kini tersebut.

Pada tahun 2023, Proton X90 telah memperoleh penarafan lima bintang dengan skor keseluruhan 83.79 mata, merangkumi prestasi berikut:

  • Perlindungan Penumpang Dewasa (37.75/40.00)
  • Perlindungan Kanak-kanak (17.79/20.00)
  • Bantuan Keselamatan (15.71/20.00)
  • Keselamatan Penunggang Motosikal (12.50/20.00)

Pengurangan ciri keselamatan X90

ASEAN NCAP mendapati sebahagian besar teknologi ADAS yang dinilai pada tahun 2023 telah dikeluarkan daripada X90 2026, antaranya:

  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)

Di bawah Protokol ASEAN NCAP 2021-2025, penarafan bintang sesebuah kenderaan akan dihadkan jika ia menunjukkan prestasi buruk dalam mana kategori tunggal.

Penyingkiran teknologi ini menyebabkan skor Bantuan Keselamatan (SA) jatuh ke tahap 4-bintang.

Manakala kategori Keselamatan Penunggang Motosikal (MS) yang sangat bergantung kepada Pengesanan Titik Buta telah merosot mendadak ke penarafan 1-bintang.

Kesannya, penarafan keseluruhan Proton X90 kini dihadkan kepada tahap 1-bintang sahaja.

Keselamatan bukan sesuatu yang boleh dikompromi

Menurut Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Siti Zaharah binti Ishak selaku Ketua Pengarah MIROS berkata, “Kami amat kesal dengan keputusan Proton untuk mengeluarkan teknologi ADAS yang mampu menyelamatkan nyawa daripada model facelift baharu ini.

“Bagi melindungi pengguna dan mengekalkan integriti piawaian keselamatan, kami tidak mempunyai pilihan selain menarik balik penarafan 5-bintang.

“Ini menjadi peringatan kepada semua pengeluar: keselamatan bukanlah sesuatu yang boleh dikompromi.

“Jangan korbankan teknologi keselamatan yang telah terbukti demi kemewahan luaran semata-mata seperti sistem infohibur atau upholsteri kulit,” ujarnya lagi.

Ts. Yahaya Ahmad selaku Ketua Teknikal ASEAN NCAP menambah, “Pengesanan Titik Buta (BSD) adalah faktor pemberat kritikal dalam kategori keselamatan penunggang (MS) kami.

“Penyingkirannya bersama bantuan canggih yang lain telah melucutkan mata yang sebelum ini memberikan X90 penarafan tahap tertinggi.

“ASEAN NCAP akan terus memantau semua pengeluar yang telah dinilai, kami tidak akan teragak-agak untuk menarik balik penarafan mana-mana jenama yang mengabaikan keselamatan kenderaan selepas penilaian dibuat.

Proton X90 2023-2025 masih lagi 5-bintang

ASEAN NCAP mengesahkan model X90 yang dikilangkan antara tahun 2023-2025 masih lagi mendapat penarafan 5-bintang.

Ini kerana model yang disebutkan itu tadi masih lagi dilengkapi dengan teknologi ADAS yang ditetapkan oleh protokol penilaian 2021-2025.

Perodua QV-E dapat skor lima bintang ASEAN NCAP

ASEAN NCAP mengumumkan SUV elektrik pertama keluaran Perodua, iaitu QV-E memperoleh skor lima bintang dalam ujian penilaian kenderaan baharu yang telah dijalankan.

Berdasarkan ujian tersebut, Perodua QV-E memperoleh skor keseluruhan setinggi 88.36 mata berdasarkan empat kategori berikut:

  • Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) – 36.63/40.00
  • Perlindungan Kanak-kanak (COP) – 16.73/20.00
  • Bantuan Keselamatan (SA) – 20.00/20.00
  • Keselamatan Penunggang Motosikal (MS) – 15.00/20.00

 

Perodua QV-E merupakan SUV elektrik segmen B yang tersedia dalam varian tunggal, menawarkan ciri standard seperti enam beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS, Peringatan Tali Pinggang Keledar (SBR) untuk penumpang depan dan belakang, sistem pengesan penumpang belakang, cagak ISOFIX dan sistem pengesan kehadiran kanak-kanak (CPD).

EV itu juga turut dilengkapi ciri keselamatan termaju seperti Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Keluar Lorong (LDW), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Sistem Pengesan Titik Buta (BSD) dan Bantuan Suluhan Tinggi (AHB).

Perodua QV-E ditawarkan pada harga bermula RM80,000 tidak termasuk insurans, sementara pakej pajakan bateri pula bermula dari RM275/bulan untuk tempoh 9 tahun.

GAC Emkoo dapat skor lima bintang ASEAN NCAP

ASEAN NCAP mengumumkan SUV terbaharu keluaran GAC, iaitu Emkoo 2025 menerima penarafan lima bintang dalam ujian penilaian kenderaan baharu yang telah dijalankan.

Berdasarkan ujian tersebut, GAC Emkoo memperoleh skor keseluruhan sebanyak 84.96 mata yang dinilai berdasarkan empat kategori berikut:
Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) – 37.88/40.00
Perlindungan Kanak-kanak (COP) – 16.01/20.00
Bantuan Keselamatan (SA) – 18.57/20.00
Keselamatan Penunggang Motosikal (MS) – 12.50/20.00

Model yang dipasang di Malaysia dan China itu secara standard dilengkapi dengan ciri keselamatan utama termasuklah enam beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Brek Anti-Kunci (ABS), Peringatan Tali Pinggang Keledar (SBR) untuk penumpang depan dan belakang.
Selain itu, terdapat ciri keselamatan termaju seperti Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Keluar Lorong (LDW), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Bantuan Suluhan Tinggi Automatik (AHB) dan Perlindungan Pejalan Kaki (PP).

Bergantung kepada varian, GAC Emkoo turut dilengkapi dengan teknologi Pengesanan Titik Buta (BSW), serta Peringatan Penumpang Belakang.

Untuk pasaran Malaysia, GAC Emkoo bakal dilancarkan tidak lama lagi dan boleh didapati dalam dua varian, iaitu Premium (harga dari RM120,000) dan Premium Pro (dari RM130,000).

Ia dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo yang mampu menjana kuasa 177 PS @ 5,500 rpm dan 270 Nm @ 1,400-5,000 rpm yang dipadankan dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan.

Toyota Yaris Cross dapat skor lima bintang ujian ASEAN NCAP

ASEAN NCAP mengumumkan SUV keluaran Toyota, iaitu Yaris Cross telah berjaya memperoleh skor lima bintang dalam ujian penilaian kenderaan baharu yang telah dijalankan.

Berdasarkan ujian tersebut, Toyota Yaris Cross memperoleh skor keseluruhan sebanyak 83.02 poin, di mana ia dinilai berdasarkan empat kategori berikut:
-Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) – 36.36/40.00
-Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) – 17.32/20.00
-Bantuan Keselamatan (SA) – 16.89/20.00
-Keselamatan Penunggang Motosikal (MS) – 12.21/20.00

Bergantung kepada pasaran, Toyota Yaris Cross yang direka khas untuk pasaran ASEAN (kecuali Singapura yang menerima model Yaris Cross TNGA) dilengkapi dengan ciri keselamatan standard seperti enam beg udara, kawalan kestabilan elektronik (ESC), ABS, peringatan tali pinggang keledar (SBR) untuk penumpang depan dan belakang, serta teknologi perlindungan pejalan kaki.

Beberapa fungsi keselamatan termaju turut disertakan termasuklah brek kecemasan autonomi (AEB), pengesanan titik buta (BSD) untuk kedua-dua belah kiri dan kanan, amaran keluar lorong (LDW), amaran pelanggaran hadapan (FCW), bantuan kekal lorong (LKA) dan bantuan suluhan tinggi (AHB).

Cuba perhatikan pada gambar di atas. Nama Malaysia tersenarai di dalam jadual produksi yang dikhususkan untuk pasaran ASEAN.

Adakah ini bermakna Yaris Cross bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi?

Proton e.MAS 7 skor lima bintang penuh ASEAN NCAP

Serentak dengan pelancaran rasmi SUV elektrik Proton e.MAS 7 ke pasaran Malaysia, organisasi ASEAN NCAP turut sama mengumumkan skor yang diperoleh SUV tersebut dalam ujian penilaian kenderaan baharu yang telah dijalankan.

Secara keseluruhan, e.MAS 7 berjaya meraih skor lima bintang dengan jumlah markah 92.57 mata.

EV pertama jenama Proton itu dinilai berdasarkan empat kategori berikut:
• Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) – 39.00/40.00
• Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) – 17.32/20.00
• Bantuan Keselamatan (SA) – 20.00/20.00
• Keselamatan Penunggang Motosikal (MS) – 16.25/20.00

 

Secara standard, e.MAS 7 dilengkapi dengan enam beg udara, kawalan kestabilan elektronik (ESC), sistem brek anti-kunci (ABS), serta peringatan tali pinggang keledar (SBR).

Ciri keselamatan termaju yang dimuatkan termasuklah sistem brek kecemasan autonomi (AEB) bandar dan inter-urban, pengesanan titik buta (BSD), bantuan suluhan tinggi (AHB), amaran pelanggaran hadapan (FCW), bantuan pengekalan lorong (LKA), amaran keluar lorong (LDW), amaran lintasan trafik belakang (RCTA) dan sistem brek lintasan trafik belakang (RCTB).

Proton e.MAS 7 dilengkapi dengan motor elektrik tunggal berkuasa 218 PS/320 Nm, dipadankan dengan dua pilihan pek bateri LFP iaitu 49.52 kWh (jarak gerak 345 km) atau 60.22 kWh dengan jarak gerak 410 km.

Harga jualan e.MAS 7 bermula dari RM105,800 untuk tempoh masa terhad.

Proton e.MAS 7 2025 – 2 varian, jarak gerak 410 km, dari RM105,800