Arkib Tag: ujian pelanggaran

Auto China 2026: Chery jalankan ujian pelanggaran dunia sebenar libatkan model Tiggo 7 & Tiggo 9

Chery sekali lagi mengambil langkah berani dengan mempamerkan demonstrasi ujian keselamatan dunia sebenar bersempena Beijing Auto Show 2026.

Bertempat di Longshan Test Centre, Chery Group mensimulasikan situasi pelanggaran trafik berisiko tinggi melibatkan tiga kenderaan termasuklah SUV Tiggo 7 dan Tiggo 9.

Ujian ini dibuat bagi menilai keupayaan sebenar keselamatan SUV Tiggo, dan membuktikan komitmen Chery untuk menjadi jenama paling selamat untuk seisi keluarga.

Ujian berdasarkan situasi sebenar

Tidak seperti ujian pelanggaran standard, demonstrasi awam ini memberi tumpuan kepada senario kemalangan yang berlaku dalam dunia sebenar melibatkan pelbagai kenderaan seperti:

  • kemalangan berantai di lebuh raya
  • rempuhan dua arah di persimpangan jalan

Dalam ujian di Wuhu, Tiggo 9 menerima hentaman hadapan 50 km/j daripada Tiggo 7, dan dalam masa yang sama dirempuh dari belakang pada kelajuan 40 km/j oleh sebuah lagi kenderaan.

Di sini, aspek seperti struktur badan, koordinasi sistem penahan dan keupayaan tindak balas kecemasan pasca-pelanggaran diuji pada tahap jauh melebihi piawaian ujian biasa.

Tiggo 9 kekal utuh

Hasil ujian menunjukkan:

  • ruang penumpang kekal utuh tanpa sebarang perubahan (deformasi) ketara pada tiang A, B, C atau D
  • sistem penahan utama seperti beg udara dan tali pinggang berfungsi dengan tepat seperti yang direka
  • keempat-empat pintu yang dikunci terbuka secara automatik untuk memastikan penumpang mudah diselamatkan selepas pelanggaran
  • tiada kebocoran bahan api dikesan, dan lampu amaran kecemasan diaktifkan

Struktur badan Tiggo 9 menggunakan 85 peratus keluli kekuatan tinggi, termasuklah 21 peratus keluli hot-stamp untuk mengukuhkan kawasan kritikal kabin.

Seni bina pemindahan beban dioptimumkan supaya dapat membantu menyerap tenaga hentaman dengan lebi berkesan.

Kesemua sistem keselamatan yang dibekalkan membentuk perlindungan berperingkat sebelum, semasa dan selepas impak.

Prestasi konsisten merentasi barisan Tiggo

Dalam masa yang sama, struktur casis Tiggo 7 terbukti berkesan dalam ujian komposit ini.

Ia membuktikan keupayaan Chery menawarkan tahap keselamatan tinggi secara konsisten bukan sekadar untuk model flagship semata-mata, tapi untuk semua keluarga Tiggo.

Di peringkat global, pelbagai model Tiggo menerima penarafan 5 bintang daripada Euro NCAP, ANCAP dan ASEAN NCAP.

Inisiatif pengesahan keselamatan global

Ujian pelanggaran komposit ini merupakan sebahagian daripada inisiatif siri pengesahan keselamatan berprofil tinggi yang dijalankan di seluruh dunia.
Sebelum ini, Chery menjalankan Cabaran Keselamatan Bateri CSH di beberapa lokasi seperti:
  • Malaysia – ujian kebakaran suhu tinggi
  • China – ujian pelanggaran hadapan dan ujian guling spiral
  • Indonesia – ujian rendaman air laut selama 53 jam
  • Afrika Selatan – ujian pelanggaran hadapan beralih pada kelajuan 50 km/j
  • Ecuador – ujian enam das tembakan untuk membuktikan kekuatan struktur dan integriti bateri
  • Timur Tengah – ujian rendaman air laut suhu 60 darjah Celcius selama 48 jam, dan ditanam dalam pasir gurun Kuwait selama 48 jam
  • Mexico – ujian geseran bawah kenderaan

 

MGS5 EV dapat skor lima bintang ASEAN NCAP

ASEAN NCAP mengumumkan SUV keluaran MG, iaitu MGS5 EV menerima penarafan lima bintang dalam ujian penilaian kenderaan baharu yang telah dijalankan.

Berdasarkan ujian tersebut, MGS5 EV memperoleh skor keseluruhan setinggi 92.39 mata berdasarkan empat kategori berikut:

  • Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) – 37.90/40.00
  • Perlindungan Kanak-kanak (COP) – 16.99/20.00
  • Bantuan Keselamatan (SA) – 20.00/20.00
  • Keselamatan Penunggang Motosikal (MS) – 17.50/20.00

 

MGS5 EV merupakan sebuah crossover elektrik segmen C dengan lima tempat duduk yang menawarkan kelengkapan keselamatan termasuklah tujuh beg udara, ABS, peringatan tali pinggang keledar, serta pengesan penumpang belakang.

Ciri keselamatan termaju yang turut tersedia termasuklah sistem brek kecemasan autonomi (AEB City, Inter-Urban, Pedestrian & Motorcycle), sistem pengesan titik buta (BSD), bantuan suluhan tinggi (AHB), amaran keluar lorong (LDW), amaran pelanggaran hadapan (FCW) serta bantuan kekal lorong (LKA).

Rakyat Malaysia boleh mendapatkan MGS5 EV dengan harga bermula serendah RM107,900 untuk varian Com, RM117,900 untuk varian Com Long Range, dan RM127,900 untuk varian Lux Long Range.

Dongfeng Box EV dapat skor 3 bintang ujian Euro NCAP

Tidak dapat dinafikan, pengeluar automotif China kini agresif menawarkan pakej kenderaan elektrik pada harga yang lebih kompetitif.

Namun, selain daripada pakej harga yang lebih mampu milik, aspek keselamatan juga harus dititikberatkan.

Di Eropah, sebuah hatchback elektrik saiz kecil Dongfeng Nammi Box sekadar meraih skor tiga bintang daripada markah penuh lima bintang dalam ujian pelanggaran Euro NCAP.

Dalam ujian terbaharu yang dijalankan tersebut, pihak Euro NCAP mendapati EV tersebut mempunyai kegagalan pada beberapa titik kimpalan yang boleh meningkatkan risiko perubahan bentuk (deformation) kabin dan menjejaskan perlindungan terhadap penumpang.

Masalah tersebut dikesan ketika ujian pelanggaran pertindihan separa dibuat, di mana Dongfeng Box yang bergerak pada kelajuan 50 km/j bertembung dengan penghalang boleh berubah bentuk seberat 1,400 kg yang juga bergerak pada kelajuan 50 km/j.

Selain struktur badan yang tidak stabil, Dongfeng Box juga mempunyai masalah seperti mekanisme penguncian yang gagal dibuka selepas impak, tekanan beg udara stereng yang tidak mencukupi untuk melindungi kepala pemandu, serta struktur papan pemuka yang boleh menyebabkan kecederaan pada kaki penumpang hadapan.

Box juga dilapor gagal untuk mengurangkan impak penumpang-kepada-penumpang di baris hadapan sekiranya berlaku pelanggaran impak sisi.

Disebabkan itu, Dongfeng Box hanya sekadar mencatatkan skor 69 peratus dalam kategori Perlindungan Penumpang Dewasa dan 67 peratus untuk kategori Perlindungan Terhadap Pengguna Jalan Raya.

Menurut Euro NCAP, saiz kenderaan bukanlah isu utama, memandangkan terdapat beberapa EV saiz kecil yang telah diuji sebelum ini berjaya meraih skor empat atau lima bintang.

“Terdapat beberapa EV mampu milik seperti BYD Dolphin Surf, firefly, MINI Cooper e, Lynk & Co 02, serta Renault 4 dan Renault 5 yang mencatatkan skor empat atau lima bintang, dan ini menyerlahkan lagi jurang keselamatan antara EV tersebut dengan Dongfeng Box.”

“Kegagalan ini perlu ditangani supaya ia padan dengan model pesaing di dalam pasaran EV yang pesat berkembang,” jelas Euro NCAP dalam satu kenyataan.