Perodua telah menyemak semula harga jualan bagi SUV elektrik QV-E.
Perkara tersebut diumumkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin dalam satu siaran media baru-baru ini.
Harga tempoh terhad
Untuk tempoh terhad sehingga 30 September 2026, QV-E ditawarkan pada harga RM87,499 untuk pemilikan penuh.
Menerusi pakej Battery as a Service (BAAS), harga jualan QV-E bermula dari RM63,449 dengan bayaran bulanan tambahan RM215 selama 9 tahun.
Selepas tempoh tersebut, Perodua QV-E ditawarkan pada harga RM93,999 untuk pemilikan penuh, atau RM69,999 untuk pakej BAAS.
Pakej BAAS merupakan pakej komprehensif merangkumi perlindungan untuk bateri, penghapusan dan penggantian serta insurans bateri sepanjang tempoh sewaan 9 tahun.
Ia direka untuk memberikan ketenangan kepada pelanggan, di mana Perodua akan menguruskan sepenuhnya bateri EV sepanjang tempoh tersebut.
Dato’ Sri Zainal menambah, Perodua juga menawarkan pembelian semula bateri apabila komponen tersebut sudah tiba masanya untuk dilupuskan.
Pulangan wang semula untuk pelanggan sedia ada
Pelanggan QV-E sedia ada akan mendapat pulangan wang khas selaras dengan pengumuman terbaharu ini.
Penasihat jualan Perodua akan menghubungi pelanggan secepat mungkin di mana mereka bakal menikmati pengurangan komitmen bulanan daripada RM275 sebelum ini.
Bayaran baharu ini akan berkuatkuasa untuk tempoh pembayaran seterusnya.
Tingkat produksi kepada lebih 500 unit/bulan
Perodua bersama-sama ekosistem automotifnya telah melakukan perubahan dalam kandungan tempatan pada model QV-E.
“Perodua dan vendor-vendor tempatan telah berjaya mengeluarkan komponen alat ganti dalam jumlah yang signifikan.
“Ini bermakna, kami boleh terus melindungi pekerjaan tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi dan bekalan rantaian asing,” kata Dato’ Sri Zainal.
“Perkembangan ini penting kerana kami kini boleh menyimpan inventori komponen alat ganti yang lebih besar – terutama bahagian badan kenderaan – untuk memastikan pelanggan boleh bergantung kepada alat ganti yang sudah tersedia di peringkat domestik.
“Peningkatan dalam kandungan tempatan itu membolehkan kami mengoptimumkan operasi dan kami kini mahu berkongsi manfaat tersebut dengan pelanggan yang dihargai,” ujarnya lagi.
