Arkib Tag: tuntutan

Semua tuntutan ditolak, ini keluhan sebenar pemilik Honda Civic FE

“Inilah kali pertama dan terakhir Honda dalam hidup saya,” tulis seorang pemilik Honda Civic FE yang meluahkan keluhannya dalam portal paultan.org Automotive/Car Discussion Group di Facebook.

Pengguna akaun yang bernama Choon Keet itu menulis tentang kekecewaannya kerana semua tuntutan jaminannya ditolak.

Menurut tulisannya, dia perasan akan suatu isu di bahagian tingkap sisi belakang beberapa hari selepas mengambil kereta baharunya. Dia kemudian membuat laporan semasa servis pertama 1,000km.

“Selepas satu bulan menunggu, saya difahamkan dari pusat servis bahawa tuntutan jaminan saya itu ditolak, alasannya ini bukan kecacatan pembuatan (pengeluaran dari kilang).

“Saya kemudian menghubungi pula Honda Malaysia untuk membuat rayuan dari tuntutan itu. Ini bukan isu pengeluaran (kilang) tetapi isu pemasangan,” katanya.

Beberapa minggu kemudian, dia dihubungi pihak Honda Malaysia dan mendapat makluman yang rayuannya ditolak.

“Kali ini alasan yang diberi ialah kerana saya memasang filem cermin gelap pihak ketiga!

“Seminggu kemudian saya merayu lagi kerana berjaya menjumpai foto semasa saya mengambil kereta di bilik pameran, ia jelas menunjukkan bahagian itu telahpun begitu (mempunyai kecacatan).

“Minggu berikutnya saya menerima panggilan dari Honda Malaysia, dan tuntutan saya ditolak lagi! Kali ini alasan lebih mengarut diberikan! Katanya saya tidak melaporkannya semasa mengambil kereta!”

Menurutnya lagi, isu ini sepatutnya hal kecil sahaja, dan dia tidak faham mengapa Honda Malaysia berkeras mahu menolak rayuannya walaupun alasan kukuh telah diberikan.

Tulisannya di forum itu telah mendapat lebih 900 Like, 600 komen dan 128 perkongsian semasa artikel ini ditulis. Rata-rata komen bersimpati dengan nasibnya.

Ada juga yang berkongsi pengalaman serupa dari Honda dan tak lupa juga dari jenama-jenama lain.

Anda boleh baca tulisannya di sini.

Banjir: Syarikat insurans berdepan tuntutan hingga RM3 bilion

INDUSTRI insurans berdepan dengan tuntutan berkaitan banjir dianggarkan antara RM2 bilion hingga RM3 bilion berikutan bencana alam yang melanda di beberapa kawasan dalam negara baru-baru ini.

Persatuan Industri Am Malaysia (PIAM) dalam satu kenyataan berkata, anggaran itu termasuk daripada tuntutan persendirian dan komersial yang berpotensi dan sebenar, berpunca daripada banjir kilat selain musim tengkujuh yang akan datang dalam beberapa minggu serta bulan akan datang.

“Disebabkan banjir teruk luar biasa seperti yang dilaporkan secara meluas di pelbagai tempat dalam negara ini, industri insurans am berpotensi menghadapi peningkatan sebanyak RM2 bilion hingga RM3 bilion jumlah pendedahan tuntutan berkaitan banjir,” katanya.

PIAM menambah, industri insurans am turut menghulur bantuan dengan menyumbang RM2.43 juta kepada Dana Bantuan Banjir yang baru ditubuhkan sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Inisiatif industri insurans am ini akan melebihi komitmen sedia ada oleh penanggung insurans sejak bencana banjir berlaku, iaitu mempercepatkan penyelesaian tuntutan, menyediakan langkah bantuan khas tambahan, dan bantuan ‘ad hoc ex-gratia’ selanjutnya, seperti yang ditentukan oleh penanggung insurans am individu,” katanya.

Persatuan itu menambah, bantuan CSR ini pada awalnya adalah dalam bentuk subsidi ke arah pembersihan di bengkel untuk kenderaan yang terjejas secara langsung akibat banjir yang mana masih belum dibaiki lagi pada peringkat ini.

“Subsidi ini bagaimanapun dihadkan sekali beri bagi setiap kenderaan sebanyak RM500 untuk kereta atau kenderaan perdagangan dan RM100 untuk motosikal.

“Pihak yang menuntut perlu mengemukakan bukti diperlukan mengenai kerosakan banjir pada kenderaan mereka dan bukti perlindungan insurans terdahulu.

“Kenderaan terbabit mestilah sama ada diinsuranskan pada masa ini (sebarang jenis polisi motor dengan atau tanpa perlindungan banjir adalah layak) atau kenderaan yang kali terakhir diinsuranskan pada 1 Jun 2021.

Menurut PIAM, dana akan ditutup sebaik sahaja jumlah yang dicagarkan sebanyak RM2.43 juta sudah habis digunakan.

Selaras dengan objektif CSR itu, PIAM mengalu-alukan sumbangan daripada pihak atau industri lain terhadap Tabung Bantuan Banjir yang akan memanjangkan hayat dana itu dan seterusnya membantu lebih ramai pemandu yang terjejas.