Arkib Tag: Tundra

Toyota Tundra 2022 dengan pilihan enjin V6 dan hibrid, suspensi belakang independent, Safety Sense 2.5

PERCAYA atau tidak, Toyota Tundra generasi kedua dijual di pasaran sejak 2007 lagi. Selepas 14 tahun, trak pikap saiz penuh itu akhirnya mendapat model pengganti serba baharu yang bukan sahaja tampil dengan reka bentuk yang lebih gagah, malah pilihan enjin yang lebih berkuasa serta pelbagai kelengkapan dan teknologi terkini.

Bakal memasuki pasaran Amerika Syarikat pada akhir tahun ini sebagai model 2022, Tundra generasi ketiga dibina di atas platform F1 dengan kerangka steel-ladder berkekuatan tinggi dan bed yang diperbuat daripada aluminium komposit.

Penggunaan platform baharu ini membolehkan Toyota menggunakan suspensi multi-link pada bahagian belakang bagi menggantikan suspensi leaf spring pada model terdahulu. Gandingan kerangka yang lebih tegar dan suspensi baharu ini memberikan Tundra kapasiti muatan maksimum 880kg dan kapasiti menunda maksimum 5,443kg, iaitu 11 dan 17.6 peratus lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Suspensi hadapan pula adalah jenis double wishbone yang ditala untuk meningkatkan kestabilan ketika memecut di laluan lurus, di samping berupaya mengurangkan olengan badan sebanyak 25 peratus ketika membelok. Penyerap hentak tiub berkembar pada suspensi hadapan dan belakang disertakan secara standard.

Bagaimanapun, pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan pakej TRD Off-Road yang merangkumi penyerap hentak Bilstein. Mereka yang memilih pakej TRD Pro pula akan mendapat penyerap hentak Fox, serta beberapa penambahbaikan berfokuskan prestasi off-road seperti bar penstabil hadapan, skid plate aluminium, plat perlindungan bawah badan dan tayar all-terrain Falken.

Tundra akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin petrol twin-turbo V6. Yang pertama adalah enjin i-Force 3.5-liter Dual-VVTi yang menjana 389hp dan 649Nm.

Pilihan yang kedua iaitu i-Force Max menggunakan enjin V6 yang sama namun dengan teknologi hibrid yang terdiri daripada sebuah motor elektrik yang terletak di antara enjin dan transmisi dan bateri Ni-MH 288V di bawah tempat duduk penumpang belakang. Ia mempunyai kuasa keseluruhan sebanyak 437hp dan 790Nm.

Kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik ECTi 10 kelajuan dengan mod penukaran gear manual, mod Tow/Haul serta mod Sport dan Sport+ untuk i-Force Max. Bergantung kepada varian, Tundra juga didatangkan dengan Multi-Terrain Select, fungsi Crawl Control yang bertindak sebagai kawalan luncur pada kelajuan rendah dan Downhill Assist Control.

Kelengkapan yang ada pada trak ini tidak tertumpu pada prestasi off-road semata-mata. Sistem multimedia serba baharu yang disertakan tidak kurang hebatnya, dengan pilihan skrin berukuran lapan- atau 14-inci, Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, fungsi arahan suara Intelligent Assistant, kemaskini perisian secara atas udara (OTA) dan pelbagai lagi. Turut disertakan adalah kluster instrumen digital 12.3-inci.

Juga dititikberatkan adalah sistem keselamatan, di mana Toyota Safety Sense 2.5 disertakan secara standard pada semua varian Tundra. Antara ciri yang disertakan termasuklah Pre-Collision System dengan pengesanan pejalan kaki, Dynamic Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist, Auto High Beam dan Road Sign Assist.

Toyota tease Tundra 2022, perkenal enjin baharu iForce

MODEL trak pikap Tundra baharu atau generasi ketiga dijangka membuat kemunculan pertama di pasaran tidak lama lagi.

Pikap keluaran Toyota itu bakal memberi saingan kepada model lain termasuk Ford F-150, Chevrolet dan Nissan Titan.

Rata-rata peminat pikap menanti keluaran terbaharu ini selepas model generasi kedua dilancarkan pada 2006.

Toyota telah memberi sedikit ‘teaser’ dengan mendedahkan foto bahagian penutup atas enjin yang tertera tulisan “iForce Max”.

Toyota memperkenalkan model Tundra generasi kedua pada tahun 2006.

Ia secara tidak langsung memberi gambaran enjin terbaharu ini berbeza berbanding model sebelumnya yang menggunakan unit petrol V8 NA 5.7 liter iForce.

Model Tundra sebelum ini menggunakan enjin V8 iForce yang mampu menghasilkan 381 kuasa kuda (hp) dan 544 Nm tork pada 3,600 rpm.

Ia mempunyai transmisi automatik enam kelajuan dengan pilihan pacuan roda belakang atau kesemua roda.

Setakat ini, Tundra generasi ketiga dijangka akan dilancarkan selewat-lewatnya pada awal tahun 2022.