fbpx

Toyota Tundra 2022 dengan pilihan enjin V6 dan hibrid, suspensi belakang independent, Safety Sense 2.5

toyota tundra 2021 11

PERCAYA atau tidak, Toyota Tundra generasi kedua dijual di pasaran sejak 2007 lagi. Selepas 14 tahun, trak pikap saiz penuh itu akhirnya mendapat model pengganti serba baharu yang bukan sahaja tampil dengan reka bentuk yang lebih gagah, malah pilihan enjin yang lebih berkuasa serta pelbagai kelengkapan dan teknologi terkini.

Bakal memasuki pasaran Amerika Syarikat pada akhir tahun ini sebagai model 2022, Tundra generasi ketiga dibina di atas platform F1 dengan kerangka steel-ladder berkekuatan tinggi dan bed yang diperbuat daripada aluminium komposit.

Penggunaan platform baharu ini membolehkan Toyota menggunakan suspensi multi-link pada bahagian belakang bagi menggantikan suspensi leaf spring pada model terdahulu. Gandingan kerangka yang lebih tegar dan suspensi baharu ini memberikan Tundra kapasiti muatan maksimum 880kg dan kapasiti menunda maksimum 5,443kg, iaitu 11 dan 17.6 peratus lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Suspensi hadapan pula adalah jenis double wishbone yang ditala untuk meningkatkan kestabilan ketika memecut di laluan lurus, di samping berupaya mengurangkan olengan badan sebanyak 25 peratus ketika membelok. Penyerap hentak tiub berkembar pada suspensi hadapan dan belakang disertakan secara standard.

Bagaimanapun, pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan pakej TRD Off-Road yang merangkumi penyerap hentak Bilstein. Mereka yang memilih pakej TRD Pro pula akan mendapat penyerap hentak Fox, serta beberapa penambahbaikan berfokuskan prestasi off-road seperti bar penstabil hadapan, skid plate aluminium, plat perlindungan bawah badan dan tayar all-terrain Falken.

Tundra akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin petrol twin-turbo V6. Yang pertama adalah enjin i-Force 3.5-liter Dual-VVTi yang menjana 389hp dan 649Nm.

Pilihan yang kedua iaitu i-Force Max menggunakan enjin V6 yang sama namun dengan teknologi hibrid yang terdiri daripada sebuah motor elektrik yang terletak di antara enjin dan transmisi dan bateri Ni-MH 288V di bawah tempat duduk penumpang belakang. Ia mempunyai kuasa keseluruhan sebanyak 437hp dan 790Nm.

Kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik ECTi 10 kelajuan dengan mod penukaran gear manual, mod Tow/Haul serta mod Sport dan Sport+ untuk i-Force Max. Bergantung kepada varian, Tundra juga didatangkan dengan Multi-Terrain Select, fungsi Crawl Control yang bertindak sebagai kawalan luncur pada kelajuan rendah dan Downhill Assist Control.

Kelengkapan yang ada pada trak ini tidak tertumpu pada prestasi off-road semata-mata. Sistem multimedia serba baharu yang disertakan tidak kurang hebatnya, dengan pilihan skrin berukuran lapan- atau 14-inci, Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, fungsi arahan suara Intelligent Assistant, kemaskini perisian secara atas udara (OTA) dan pelbagai lagi. Turut disertakan adalah kluster instrumen digital 12.3-inci.

Juga dititikberatkan adalah sistem keselamatan, di mana Toyota Safety Sense 2.5 disertakan secara standard pada semua varian Tundra. Antara ciri yang disertakan termasuklah Pre-Collision System dengan pengesanan pejalan kaki, Dynamic Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist, Auto High Beam dan Road Sign Assist.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved