Arkib Tag: tuareg 660

Aprilia juara keseluruhan Africa Eco Race 2024 dengan Tuareg 660

Ketika Aprilia mengembalikan legasi Tuareg pada tahun 2021 menerusi Tuareg 660, ramai yang kurang yakin dengan kemampuan model itu untuk menyaingi pesaing utama antaranya Yamaha Tenere 700. 

Bagaimanapun, Aprilia membuktikan sebaliknya apabila berjaya menjuarai Africa Eco Race 2024 baru-baru ini dengan Tuareg 660 yang dikemudi Jacopo Cerutti. 

Cerutti bersama rakan sepasukan Francesco Montanari sama-sama bersaing di Africa Eco Race 2024 yang merupakan antara kejohanan paling sukar. 

Menariknya, Cerutti muncul juara dengan hanya melakukan modifikasi kecil termasuk menukar kepada suspensi Öhlins, ekzos titanium SC-Project dan penapis udara Sprint Filter. 

Cerutti yang merupakan pelumba senior berjaya berada dalam kelompok tiga terbaik sepanjang kejohanan berlangsung bersama-sama dua pelumba Yamaha Tenere World Raid Team, Alessandro Botturi dan Pol Tarres. 

Trio berkenaan bertukar kedudukan sepanjang peringkat perlumbaan tetapi selepas 12 peringkat, Cerutti berjaya di depan dengan perbezaan hanya 26 minit. 

Aprilia Tuareg 660 2022 tiba di Malaysia, RM76k

SELAIN pelancaran skuter SR GT 200, Didi Group juga memperkenal Tuareg 660 di acara sama. Motosikal adventure kelas sederhana ini membawakan beberapa pembaharuan untuk 2022.

Ia hadir dengan lampu LED penuh untuk depan dan belakang, skrin TFT-LCD 5.0-inci, dan sebagai sebuah jentera adventure, mempunyai suspensi dengan jarak pergerakan roda (wheel travel) sebanyak 240mm untuk depan dan belakang.

Tinggi tempat duduknya pula ialah 860m, dan jarak rodanya ialah 1,525mm.

Aprilia Tuareg 660 dikuasakan enjin 659cc dua-silinder DOHC yang mampu menjana 80hp pada 9,250rpm dan 70Nm tork pada 6,500rpm. Kuasa disalurkan melalui kotak gear 6-kelajuan jenis klac basah multiplate dengan slipper system.

Untuk tunggangan di pelbagai permukaan, Tuareg 660 dilengkapi beberapa teknologi seperti Aprilia Ride Performance Control (APRC) yang merangkumi Aprilia Traction Control (ATC), AEB (brek enjin), AEM (pemetaan enjin), ACC (cruise control) dan empat mod tunggangan (Urban, Explore, Off-road, dan Individual).

Suspensi depan menggunakan fork terbalik Kayaba dengan pelarasan penuh di depan, sementara suspensi belakang adalah swingarm aluminium dengan monoshock boleh-laras yang juga dari Kayaba.

Untuk brek pula, Tuareg 660 mendapat sistem Brembo dengan cakera berkembar 300mm di depan serta cakera tunggal 260mm di belakang.

Aprilia Tuareg hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Indaco Tagelmust (biru), Acid Gold (emas) dan Martian Red (merah), dengan harga pengenalan RM75,900.