Arkib Tag: transmisi

Toyota bangunkan transmisi manual untuk EV, boleh sampai 14 gear!

TOYOTA akan membawakan kotak gear manual simulated (maya) untuk kenderaan elektriknya (EV). Tetapi nampaknya ia akan menjadi agak menyeronokkan, kerana ianya tidak akan terhad kepada enam atau tujuh kelajuan sahaja.

Dalam satu permohonan paten yang diterbitkan beberapa hari lepas, ia menunjukkan tiada had untuk berapa banyak ‘gear’ transmisi itu boleh punyai.

Imej-imej yang diterbitkan bersama dokumen teknikal menunjukkan ia boleh mempunyai sehingga 14 gear. Bagaimana pula cara ia berfungsi? Toyota juga ada berikan penerangan.

Paten itu menunjukkan banyak perincian berkenaan sistem ini. Senang kata, pemandu akan boleh memilih berapa banyak nisbah gear pun yang mereka mahu.

“Jumlah peringkat gear maya boleh menjadi enam atau lebih, atau kurang dari enam,” tulis dokumen itu. “Pemandu akan dapat memilih bentuk yang dimahukan mengikut kehendak mereka.”

Tetapi Toyota tidak menjelaskan apa-apa sistem elektro-mekanikal yang akan membentuk lorong gear fizikal.

Sebaliknya, akan ada jumlah tetap berapa gear, kemungkinan enam tetapi Toyota menggunakan empat sebagai contoh. Gear dimasukkan seperti manual biasa, walaubagaimanapun tombol gear akan kembali ke tempat asal selepas digunakan.

Kemudian, semasa pemandu menukar gear, bentuk laluan maya bertukar kepada set nisbah seterusnya. Jadi sekiranya ada corak enam gear dan gear keenam dipilih, suatu paparan akan menukar nisbah yang membolehkan pemandu menukar kepada gear tujuh dan seterusnya, atau turun ke gear lima dalam set yang sama.

Mengelirukan? Sebenarnya susunan ini lebih kurang gear manual lori treler, jadi geng Pilot Darat pasti mudah faham.

Apa pun, mesti ada sebab kenapa pengeluar kereta tidak menawarkan gear manual dengan nisbah gear terlalu banyak. Kotak gear 14-kelajuan tidak praktikal dengan enjin pembakaran dalaman.

Tetapi untuk EV, lain pula ceritanya. Toyota berpendapat apa salahnya memberikan lebih banyak pilihan kepada pembeli.

DSG jimat bahan bakar, lebih praktikal

PERKEMBANGAN teknologi automotif seantero dunia berjaya menghasilkan pelbagai jenis enjin kenderaan yang canggih selain memenuhi cita rasa pengguna.

Hal ini dapat dilihat berdasarkan beberapa jenis enjin yang muncul bermula daripada sistem manual, automatik dan sehingga CVT (Continuously Variable Transmission).

Tidak dinafikan, enjin kenderaan menggunakan transmisi manual mempunyai kelebihan tersendiri terutama dalam penjimatan bahan api.

Bagaimanapun, penggunaan enjin transmisi manual semakin dilupakan dalam kalangan pengguna memandangkan ia agak rumit untuk dikendalikan apatah lagi ketika jalan raya sesak.

Ramai mula beralih arah menggunakan enjin automatik namun, terpaksa berdepan sedikit peningkatan kos bahan api.

Berdasarkan kedua-dua ‘permasalahan’ ini, maka satu ciptaan enjin telah dihasilkan bagi mencapai kelebihan yang ada pada enjin jenis manual atau automatik.

Penciptaan Enjin DSG

Direct Shift Gearbox atau DSG telah dihasilkan bagi mendapatkan kelebihan terdapat pada enjin manual dan automatik.

Secara bahasa mudah, DSG adalah kenderaan mempunyai kotak gear manual yang ditukar menjadi automatik.

Ketika DSG diperkenalkan oleh Porsche pada 1980-an, ramai beranggapan gear yang dihasilkan agak ‘kasar’ ketika dikendalikan.

Seiring perkembangan automotif, DSG kini lebih ‘lembut’ dana mat selesa dikendalikan ketika memandu.

Mengimbas semula sejarah penggunaan DSG, ia telah lama digunakan dalam perlumbaan rally.

Pada tahun 2000, sistem ini kemudian diperluaskan dalam pasaran komersial.

Mengapa DSG lewat dikomersialkan?

Kos yang mahal menjadi punca utama DSG lewat dikomersialkan. Selain itu, pembuatan DSG adalah lebih rumit berbanding enjin transmisi manual atau automatik.

Walau begitu, penggunaan DSG kian diperluaskan selepas banyak pengeluar kenderaan mendapati penggunaan DSG lebik praktikal.

Jika dibandingkan dengan transmisi automatik, DSG dapat menjimatkan bahan bakar lebih 15 peratus!

Terdapat beberapa sebab mengapa hal ini berlaku iaitu:

1) DSG boleh boleh beroperasi pada RPM tinggi tanpa perlu memutuskan sambungan antara sistem dual clutch dan enjin
2) Tiada masalah power loss ketika enjin melakukan penukaran
3) Tork yang dihasilkan oleh enjin dihantar terus pada transmisi tanpa gangguan

Sistem ini bagaimanapun ada keburukannya. Selain sukar dihasilkan ia juga terlalu kompleks sekaligus memakan kos yang tinggi.

Ketahui lima rahsia ‘jaga’ kereta, elak duit ‘melayang’

MEMILIKI kereta bukan sekadar menuntut anda mengetahui cara memandunya malah, memerlukan pengetahuan penjagaan sesebuah kenderaan.

Tidak bermaksud perlu menjadi seorang ‘mekanik’, tetapi sekurang-kurangnya anda perlu mengetahui beberapa penjagaan asas agar kereta kekal ‘tip top’.

Jadi, apakah antara perkara asas penjagaan kereta yang wajib diketahui?

Lima asas penjagaan kereta

Terdapat lima perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam penjagaan sesebuah kereta.

Ia bukan sahaja penting agar kereta anda mampu ‘berkhidmat’ lebih lama tetapi paling mustahak mampu mengelak daripada duit ‘melayang’ ke bengkel.

Berikut lima perkara asas penjagaan sesebuah kereta yang perlu diketahui.

Penjagaan Transmisi kereta

Transmisi kereta atau gearbox merupakan elemen penting dalam sesebuah kenderaan untuk bergerak.

Terdapat dua jenis transmisi iaitu automatik dan manual.

Tips pertama ini bagaimanapun akan memberi fokus kepada transmisi automatik.

Ini memandangkan majoriti pemandu di Malaysia menggunakan kenderaan mempunyai transmisi automatik.

Jadi, untuk memastikan transmisi automatik kereta bertahan lama terdapat beberapa perkara perlu dilakukan.

Pertama, pastikan gear anda tidak berada pada mod bergerak (D) ketika berhenti di lampu isyarat.

Kebanyakan pemandu gemar menekan brek dan membiarkan gear berada pada kedudukan mod memandu.

Apa yang membimbangkan, ia akan menyebabkan gerigi gear berada pada situasi ‘memaksa’ sekaligus menyebabkan berlaku ‘kehausan’.

‘Berlembut’ dengan transmisi

Jangan rentap tombol gear sewaktu membuat penukaran transmisi.

Penukaran gear secara kasar boleh memendekkan jangka hayat transmisi automatik sesebuah kenderaan.

Justeru, setiap kali ini menukar posisi gear automatik pastikan lakukannya dengan penuh kasih sayang.

Ingat, gearbox bukan murah ya!

Elak rehatkan tangan pada tombol gear

Situasi ini sering terjadi ketika sedang memandu dalam keadaan cruising di lebuh raya.

Awas! jangan lakukan perkara ini kerana gear kenderaan anda akan berada dalam keadaan ‘tertekan’.

Situasi ini disebut sebagai pre-mature ware atau pengunaan pra-matang.

Setiap kompenan mempunyai jangka hayat tertentu dan dengan menjadikan tombol gear sebagai hand rest, ia tidak membantu ketahanan gearbox.

Elak ‘bermain’ dengan klac

Situasi ini sering berlaku takkala kenderaan sedang berhenti di lampu isyarat dan menanti untuk bergerak.

Keadaan seperti ini menyebabkan pengunaan klac dan gearbox dalam keadaan sedia untuk bergerak.

Bagaimanapun, tingkah laku ini menyebabkan tahap jangka hayat gear tidak berada dalam keadaan optimum.

Ia seolah-olah memberi tekanan kepada gearbox dan klac tetapi kenderaan masih berada dalam keadaan pegun.

Kenderaan mendaki bukit

Kebanyakan pemandu sering ‘memerah’ atau memaksa kenderaan mendaki bukit dengan menggunakan mod ‘D’ (bagi kenderaan transmisi automatik).

Tahukah anda, tindakan ini juga boleh menyebabkan berlaku kerosakan pada sistem gearbox dan sekaligus menyebabkan ia tidak mampu bertahan lama.

Hal ini kerana gear pada mod ‘D’ akan memaksa kenderaan menggunakan lebih tenaga untuk mendaki bukit.

Apa yang anda perlu lakukan adalah menukar transmisi gear yang lebih rendah ketika mendaki bukit.

Perkara sama perlu dilakukan kepada kenderaan transmisi ‘manual’ iaitu elakkan daripada menggunakan gear tinggi.

Anda hendaklah menggunakan gear rendah agar gearbox tidak berada dalam keadaan terlalu memaksa selain pada masa sama menjimatkan konsumsi petrol.

Demikian antara penjelasan mengenai lima kaedah penjagaan sesebuah kenderaan agar kekal bertahan lama.

Ia bukan sahaja memastikan kenderaan anda kekal ‘tip top’ tetapi lebih mustahak mampu menyelamatkan wang anda.

Nak tahu lebih lanjut mengenai tips penjagaan kereta saksikan video ini bersama host kesayangan ramai, Bro Adi!

#JagaKeretaDuitSelamat