Arkib Tag: transformers

Porsche 911 Carrera RS 3.8 dalam filem Transformers baharu, ada rahsia rupanya!

JIKA anda sudah menonton filem Transformers: Rise of the Beasts, anda pasti perasan akan Autobot “Mirage” iaitu sebuah Porsche 911. Ia bukan model biasa-biasa, sebaliknya 911 Carrera RS 3.8 yang cukup ikonik.

Filem Transformers terbaharu itu menampilkan aksi Autobots dan memperkenalkan kumpulan Maximals yang menyertai mereka untuk mempertahankan planet Bumi.

Menurut Ketua Komunikasi Pemasaran Porsche AG, Oliver Hoffman, “911 Carrera RS 3.8 sempurna bukan sahaja kerana filem itu menggunakan tema 1994, tetapi juga kerana karakter Mirage itu sendiri. Ianya suatu karakter yang gagah namun mempunyai hati yang baik.”

Hanya 55 unit Porsche 911 istimewa ini pernah dibina, menjadikannya kereta bersejarah yang cukup rare. Tetapi ada satu rahsia. Untuk mengelakkan risiko kerosakan, sebenarnya tiada model asli digunakan semasa penggambaran.

Sebaliknya, lima unit kereta 911 964 dibina agar menyerupainya. Untuk menghasilkan bunyi enjin asli Mirage, sebuah 911 RS 3.8 sebenar digunakan.

“Penting untuk mendapatkan bunyi 911 dalam file mini,” kata Ayesha Coker, Naib Presiden Pemasaran Porsche Cars North America.

Setiap unit kereta memenuhi fungsi spesifik. Sebuah kereta contohnya, dimodifikasi untuk dipandu laju sambil mengundur. Unit yang lain dibina khas untuk siri lagak ngeri, dan ada unit yang dikawal dari luar untuk memfokuskan pelakon di dalamnya.

“Kami teruja bekerjasama dengan pasukan Porsche untuk projek ini yang membawakan Autobot Mirage dengan cara unik, ikonik, dan tidak dapat dilupakan untuk menunjukkan semangat robot dan kereta itu,” kata Irene Trachtenberg, SVP Worldwide Marketing Partnerships Paramount.

Transformers Autobots dan Decepticons baharu didedahkan – Skyline R33, Porsche 911, Optimus Prime G1!

“SKUAD telah keluar…”, tulis pengarah filem itu. Steven Caple Jr. telah memuatnaik di Instagramnya dua gambar menunjukkan barisan terbaharu Autobot dan Decepticon untuk filem Transformers baharu.

Sebelum ini satu video telah mendedahkan rupa Optimus Prime G1, manakala gambar di bawah adalah barisan Autobots ‘old school’. Dapat dilihat Camaro versi ‘off-road’ untuk Bumblebee, Porsche 911 sebagai Mirage, superbike Ducati sebagai Arcee dan van Volkswagen sebagai Wheeljack.

Untuk Decepticon pula, sebuah trak semi (lori treler) sebagai Scourge, sebuah trak tunda, dan paling menarik, Nissan Skyline GT-R R33 sebagai Nightbird.

Dalam Transformers baharu yang bertajuk “Rise of the Beasts” itu, ia akan turut menampilkan Maximals, Predacons, dan Terrorcons iaitu binatang purba dan raksasa Transformers.

Sumber juga mengatakan Peter Cullen akan kembali menjadi suara untuk Optimus Prime manakala Ron Perlman untuk suara Optimus Primal.

Anthony Ramos akan melakonkan watak Noah, seorang bekas jurutera elektronik tentera yang bertemu dengan Elena (lakonan Dominique Fishback), seorang pengkaji artifak di muzium.

Transformers: Rise of the Beasts dijangka ditayangkan pada 24 Jun 2022.