Arkib Tag: Toyota Yaris 2027

Toyota Yaris 2027 diperkenal, rekaan lebih sporti dan kelengkapan dipertingkat

UMW Toyota Motor (UMWT) memperkenalkan Toyota Yaris 2027 untuk pasaran Malaysia.

Hatchback segmen B itu hadir dengan penampilan lebih sporti, kemudahan tambahan serta kemas kini teknologi dan keselamatan.

Terdapat dua varian ditawarkan iaitu 1.5E dan 1.5G, harga jualan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Rekaan inspirasi Camry

Yaris 2027 menampilkan wajah Hammerhead seperti Toyota Camry, dipadankan lampu utama projektor LED dengan lampu nyalaan siang LED.

Bahagian belakang menerima pelindung bawah bampar dengan kemasan ala gentian karbon kusam serta bar lampu LED.

Rim aloi 16 inci rekaan baharu dengan jejari bertingkat dan perincian potongan mesin melengkapkan perubahan luaran.

Kelengkapan

Kedua-dua varian dilengkapi:

  • Skrin paparan maklumat TFT 4.2 inci
  • Skrin audio 9 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
  • Pengecas telefon pintar tanpa wayar
  • Port pengecasan USB Type-C
  • Sistem kemasukan pintar dan butang penghidup enjin
  • Ruang simpanan tambahan serta lampu kabin belakang

Varian 1.5G AT pula menerima tempat duduk kulit sintetik dengan struktur sporti serta stereng berbalut kulit.

Ruang bagasi berkapasiti 390 liter boleh diperluas menerusi tempat duduk belakang boleh lipat 60:40.

Turut disediakan ialah dua cangkuk beg, penutup ruang bagasi boleh tanggal dan tayar simpanan saiz penuh.

Toyota turut memberi perhatian kepada kesenyapan kabin melalui struktur badan tegar, penambahan titik sambungan dan kimpalan serta penggunaan bahan penebat bunyi.

Tetapan suspensi kekal menggunakan topang MacPherson dengan bar penstabil di hadapan serta torsion beam dengan penstabil di belakang.

Enjin asal kekal tidak berubah

Yaris 2027 masih mengekalkan nadi 1.5 liter DOHC Dual VVT-i, dipadankan transmisi CVT dengan fungsi Sport Sequential Shiftmatic tujuh kelajuan.

Mod pemanduan Normal, Eco dan Sport turut tersedia untuk menyesuaikan karakter pemanduan mengikut pilihan pengguna.

Kelengkapan keselamatan merangkumi:

  • Toyota Safety Sense dengan sistem pra-perlanggaran dan amaran keluar lorong
  • Kawalan kestabilan dan kawalan cengkaman
  • Pemantauan titik buta
  • Amaran lintasan trafik belakang
  • Kamera sekeliling 3D Panoramic View Monitor
  • Tujuh beg udara SRS

Varian 1.5E AT kini turut menerima penderia parkir hadapan dan empat  penderia parkir belakang.

Melengkapkan penawaran ialah kamera perakam hadapan 4K baharu serta Vehicle Telematics System, yang menyediakan amaran berkaitan kenderaan dan maklumat perjalanan.