Arkib Tag: Toyota GR

Toyota GR GT dan GR GT3, V8 RWD hibrid dan biasa, lebih 640 bhp, 850Nm!

Selepas diselubungi pelekat samaran dan dibawa ke Goodwood, Toyota Gazoo Racing (TGR) akhirnya memperkenalkan dua model andalan serba baharu GR GT dan GR GT3.

Kedua-duanya dipamerkan sebagai prototaip dan masih dalam pembangunan dan dibangunkan berasaskan falsafah TGR untuk menghasilkan kereta berjiwa perlumbaan yang sentiasa menjadi lebih baik.

Pembangunan model ini bermula daripada peringkat formulasi konsep dan berpusat kepada Pengerusi TMC Akio Toyoda (Master Driver Morizo).

Pemandu profesional Hiroaki Ishiura, Tatsuya Kataoka, Naoya Gamou, pemandu bukan profesional (gentleman driver) Daisuke Toyoda serta pemandu penilai dalaman bekerjasama rapat dengan jurutera.

GR GT dibangunkan mengikut prinsip driver first iaitu memahami dan memenuhi keperluan pemandu sepenuhnya.

Kaedah sama diterapkan pada GR GT3 yang merupakan kereta perlumbaan berasaskan GR GT.

Kedua dua model ini diletakkan sebagai model andalan baharu yang meneruskan legasi Toyota 2000GT dan Lexus LFA dengan membawa misi meneruskan ramuan rahsia pembuatan kereta Toyota kepada generasi baharu.

Penamaan ini bermakna, Supra tiada pengganti secara langsung.

GR GT – 4.0L V8 hibrid

GR GT dibangunkan sebagai kereta perlumbaan yang sah untuk jalan raya.

Fokus pembangunan bukan sekadar menambah prestasi dinamik tetapi juga mencapai tahap kesatuan kereta dan pemandu supaya interaksi dengan kereta berlaku pada setiap masa.

Model ini dilengkapi sistem hibrid yang menggabungkan enjin baharu 4.0 liter V8 pengecas berkembar bersama motor elektrik tunggal.

Output sistem maksimum disasarkan sekurang-kurangnya 641 bhp dengan tork sistem 850Nm atau lebih.

Pembangunan memberi tumpuan kepada tiga elemen utama iaitu pusat graviti rendah, berat ringan dengan ketegaran tinggi dan aerodinamik yang optimum.

Pusat graviti serendah mungkin

Pembangunan GR GT bermula dengan matlamat mendapatkan pusat graviti sangat rendah dengan menurunkan ketinggian keseluruhan kereta dan kedudukan pemandu.

Model ini menggunakan konfigurasi enjin depan dan pacuan roda belakang untuk pengendalian lebih mudah pada had yang ekstrem.

Kedudukan enjin, transaxle belakang dan komponen berat lain dioptimumkan untuk merendahkan titik graviti kereta.

Tinggi pusat graviti pemandu juga dijadikan hampir sama dengan kereta untuk meningkatkan rasa kesatuan dan kawalan.

Rangka aluminium sepenuhnya pertama Toyota

GR GT menggunakan rangka badan aluminium sepenuhnya buat pertama kali dalam sejarah Toyota.

Panel badan pula menggunakan CFRP dan bahan lain untuk menghasilkan struktur yang kuat tetapi ringan.

Reka bentuk terbalik, bermula dari aerodinamik

Bagi GR GT, proses pembangunan adalah terbalik berbanding kereta produksi biasa.

Bentuk aerodinamik ideal ditetapkan terlebih dahulu sebelum pereka bentuk menghasilkan lakaran luaran.

Jurutera aerodinamik dan pereka bekerjasama untuk mendapatkan penyejukan serta kecekapan aliran udara terbaik.

Bahagian dalaman pula direka berdasarkan ergonomik bagi mendapatkan kedudukan pemanduan profesional dan tahap lihat keluar optimum.

Walaupun berorientasikan litar, aspek kesesuaian untuk kegunaan harian tetap diambil kira.

GR GT3 sebagai jentera lumba

GR GT3 berkongsi tiga elemen utama GR GT iaitu pusat graviti rendah, berat ringan dengan ketegaran tinggi dan aerodinamik.

Ia memenuhi spesifikasi FIA GT3 dan disasarkan sebagai kereta yang dipilih mereka yang mahu menang tetapi masih mudah dipandu oleh sesiapa sahaja.

Sebagai jentera GT3, model ini menggunakan enjin 4.0 liter V8 dengan pengecas turbo berkembar.

Ukurannya juga berbeza, GR GT memiliki panjang 4,820mm, lebar 2,000mm dan tinggi 1,195mm.

GR GT3 pula lebih pendek dengan panjang 4,785mm, sedikit lebar iaitu 2,050mm dan lebih rendah dengan tinggi 1,090mm.

Selain meningkatkan daya saing GR GT3, TGR juga merancang menyediakan sokongan pelanggan yang berlumba untuk memastikan pengalaman perlumbaan yang lebih mendalam.

Pembangunan berdasarkan dunia perlumbaan

GR GT dan GR GT3 dibangunkan dengan kaedah pembangunan baharu yang memanfaatkan data perlumbaan.

Penggunaan simulator pemanduan digunakan sejak awal bagi memperhalusi karakter asas kenderaan.

Ujian dunia sebenar dilakukan di Shimoyama, Fuji Speedway, Nürburgring dan juga jalan awam.

Seperti model GR lain, kedua duanya diuji berulang kali sehingga gagal kemudian diperbaiki demi mencapai tahap prestasi dan ketahanan yang diperlukan.

Kepada yang sudah berkenan, TGR menyasarkan pelancaran sekitar 2027!

Toyota GR GT (prototaip)

Toyota GR GT3 (prototaip)

 

Festival Toyota Gazoo Racing musim kelima kini kembali, bermula 18 Mac ini

Toyota GAZOO Racing yang diperkenalkan di Malaysia sejak 2017 kini kembali untuk musim yang kelima.

Festival GAZOO Racing pada tahun ini akan memfokuskan kepada beberapa bahagian iaitu perlumbaan di dalam litar dan juga secara maya, melalui Festival Toyota GAZOO Racing dan GR Velocity Esports Championship.

Musim kelima ini akan membawakan Vios Challenge one-make series yang akan berlangsung sebanyak tiga pusingan. Pusingan pertama akan berlangsung pada 18 hingga 20 Mac ini, diikuti dengan pusingan kedua pada 24 hingga 26 Jun dan pusingan akhir pula akan berlangsung pada 23 hingga 25 September nanti.

Perlumbaan kali ini juga akan dibahagikan kepada empat kelas perlumbaan iaitu promotional, super sporting, sporting dan rookie.

Selain itu, pelumbaan ini akan dilangsungkan secara maya dengan penganjuran GR Velocity Esports Championship musim kelima. Acara ini telah menarik hampir 1000 orang peserta dan satu juta tontonan sejak diperkenalkan pada tahun 2018.

Dalam masa sama, Toyota dan GAZOO Racing akan memperkenalkan beberapa model baharu versi GR dan GR-Sport untuk tahun 2022. Untuk rekod, sehingga kini hanya terdapat tiga model sahaja yang ditawarkan bagi pasaran Malaysia iaitu GR Supra, GR Yaris dan GR-Sport Vios.

Di samping itu, UMW Toyota Motor juga merancang untuk melebarkan rangkaian GR Garage ke seluruh negara. Ini termasuk tawaran bagi pembelian alat ganti aftermarket secara komprehensif dan juga cenderahati buat pemilik Toyota dan juga versi GR.

GAZOO Racing juga turut mengumumkan juara tiga kali Vios Challenge bagi kategori super sporting class, Tengku Djan Tengku Mahaleel selaku duta bagi festival ini.