Arkib Tag: touring

KTM 890 SMT kini di Malaysia – 105hp, RM101,800

KTM 890 SMT dengan rasminya masuk ke pasaran negara dengan harga jualan RM101,800.

Kemasukan model itu sudah pun dijangka tatkala laporan pembukaan tempahan bagi lapan unit telah pun diterbitkan sebelum ini.

KTM 890 SMT ini dikuasakan enjin dua silinder 889cc LC8c yang sama terdapat pada 890 Adventure namun model ini lebih berkuasa dengan 105hp dan 100Nm.

Walaupun 890 SMT ini berkongsi platform sama dengan 890 Adventure namun 890 SMT tampil dengan panel badan yang berbeza bagi meningkatkan tahap aerodinamik.

Seperti biasa, pakej suspensi pula terdiri dari WP APEX boleh laras depan dan belakang yang dipadankan bersama ri 17-inci.

Ciri elektronik lain ditawarkan termasuk:

  • Cornering Motorcycle Traction Control
  • panel meter TFT 5-inci anti-calar
  • Motor Slip Regulation (MSR)

Menariknya. sebagai promosi pembelian awal KTM 890 SMT ini, ciri tambahan seperti Quickshifter+ dan Cruise Control akan diberikan secara percuma.

Mazda6 2023 facelift diperkenal – 2.0 dan 2.5, sedan dan wagon, dari RM180k

SELAIN Mazda3, Bermaz Motor juga memperkenalkan Mazda6 yang dikemas kini untuk 2023. Sedan segmen-D ini ditawarkan dengan dua pilihan enjin serta pilihan badan sedan dan Touring (wagon). Harga adalah seperti berikut:

Mazda6 2.0 Mid Sedan – RM180,359
Mazda6 2.5 High Touring – RM230,848
Mazda6 2.5 High Plus Sedan 20th Anniversary Edition – RM240,848

Kita lihatkan bab mekanikal dulu, iaitu enjin. Model dengan enjin 2.0 menjana 162hp dan 213Nm tork manakala model dengan enjin 2.5-liter mempunyai output 192hp dan 258Nm tork. Transmisi adalah standard untuk semua, iaitu automatik SkyActiv-Drive 6-kelajuan, memacu roda depan.

Ciri luaran pada Mazda6 2023 ini termasuklah lampu LED dengan Signature Illumination, DRL LED, lampu kabus LED, pengesan parkir, dan rim 17-inci bagi 2.0 Sedan, tetapi 19-inci untuk 2.5 Touring dan Sedan.

Kemasan dalaman pula terdiri dari brek parkir elektronik, paparan instrumen digital 4.6-inci, stereng balutan kulit, paparan HUD untuk dua varian atas, pendingin hawa dwi-zon, corong pendingin hawa belakang, dan tempat duduk berkuasa.

Mazda6 juga dilengkapi dengan skrin infotainmen 8-inci, sambungan Android Auto, Apple Carplay tanpa-wayar, kamera 360-darjah, dan 6 pembesar suara atau sistem audio Bose dengan 11 pembesar suara (bergantung kepada varian).

Ciri keselamatan adalah standard untuk semua varian, seperti ABS, EBD, Brake Assist, Dynamic Stability Control, Traction Control System, Emergency Stop Signal, dan Hil Launch Assist.

Varian dengan enjin 2.5-liter mendapat tambahan sistem bantuan pemandu seperti lampu adaptif, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning System, Lane-Keep Assist System, Driver Attention Alert, Smart Brake Support, dan Mazda Radar Cruise Control.

Mazda6 ditawarkan dengan tujuh warna iaitu Arctic White, Deep Crystal Blue, Jet Black, Machine Gray, Sonic Silver, Soul Red Crystal, Polymetal Gray, dan dua warna baharu Platinum Quartz dan Rhodium White Premium.

Versi 20th Anniversary Edition 2.5 Sedan datang dengan warna eksklusif Artisan Red Premium serta kemasan-kemasan kosmetik lain.

Kesemua Mazda6 di Malaysia dilindungi dengan jaminan lima-tahun berserta pakej penyelenggaraan lima-tahun termasuk upah, alatganti, dan bendalir. Tetapi jaminan ini terhad kepada 100,000km, yang mana dahulu.

Toyota Corolla 2023 versi JDM kini dengan infotainmen dan ciri keselamatan baharu

TIADA banyak perubahan pada Toyota Corolla 2023 untuk pasaran Jepun, tetapi ia telah diberikan beberapa kemaskini. Untuk enjin 1.5-liter 3-silinder dan 2.0-liter 4-silinder, kedua-duanya diberikan enjin yang lebih cekap dan menjimatkan. Sementara itu, enjin 1.8-liter hibrid mendapat motor elektrik yang dinaiktaraf.

Sabagai tambahan, terdapat pilihan warna-warna baharu selain perubahan kecil di bahagian luaran. Bagi model-model hibrid, logonya terdapat kemasan biru.

Pelanggan di Jepun kini boleh menaiktaraf paparan skrin sesentuh dari 8-inci kepada 10.5-inci baharu, dengan Apple CarPlay. Dengan sedikit tambahan kos, mereka juga boleh menambah fungsi WiFi sementara beberapa varian dilengkapi dengan pengesan parkir depan dan belakang.

Selain itu, ciri keselamatan tambahan turut ditawarkan iaitu Proactive Driving Assist yang membantu pemandu dari datang terlalu dekat dengan pejalan kaki, basikal dan kenderaan-kenderaan yang diparkir. Ia akan membantu dari segi stereng dan brek secara automatik.

Corolla 2023 di Negara Matahari Terbit itu juga menyokong kemaskini over-the-air (secara online) bermakna ia boleh dilakukan selepas kenderaan dibeli.

Sistem keselamatan pra-perlanggaran ini juga mampu mengesan kenderaan dari arah bertentangan apabila mahu membelok ke kanan di persimpangan, dan mengesan pejalan kaki yang sedang melintas jalan.

Harga untuk Corolla 2023 di Jepun adalah seperti berikut:

Sedan: 1,990,000 Yen (RM63,861) sehingga 2,998,000 Yen (RM96,210)
Touring (wagon): 2,070,000 Yen (RM66,429) hingga 3,048,000 Yen (RM97,814)
Sport (hatchback): 2,200,000 Yen (RM70,601) hingga 2,890,000 Yen (RM92,744)

BMW M3 Touring akhirnya direalisasikan – wagon dengan 510hp, 0-100 dalam 3.6 saat

BMW M nampaknya benar-benar sibuk dengan sambutan ulang tahunnya yang ke-50. Selepas memperkenalkan M4 CSL pada bulan lalu, divisyen itu kini mempersembahkan pula model yang tidak kurang istimewanya iaitu M3 Touring.

Percaya atau tidak, ini merupakan kali pertama M3 ditawarkan dalam bentuk wagon, 36 tahun selepas kemunculan E30.

Selain mempunyai bentuk badan wagon yang konvesional serta bumbung yang lebih panjang, penampilan M3 Touring boleh dikatakan sama sahaja dengan versi sedan.

Ini bermakna bahagian luarannya diserlahkan dengan elemen-elemen yang spesifik kepada M seperti lubang udara sisi yang besar, gerbang roda lebar dan muncung ekzos quad yang ditempatkan di dalam diffuser.

Sama juga dengan bahagian dalaman, di mana jentera ini hadir dengan tempat duduk M Sport yang dibalut upholsteri kulit Merino, stereng M dengan butang mod M1 dan M2, dan paparan melengkung yang merangkumi panel instrumen 12.3-inci dan skrin sentuh 14.9-inci.

Pelanggan mempunyai pilihan untuk mendapatkan tempat duduk bucket M Carbon yang menggunakan material CFRP pada bahagian belakang. Menurut BMW, kerusi jenis ini 9.6kg lebih ringan berbanding kerusi M Sport standard.

Tempat duduk belakang M3 Touring boleh memuatkan tiga penumpang dan boleh dilipat rata dalam konfigurasi 40:20:40. Dengan cara ini, kapasiti ruang but akan meningkat dari 500 kepada 1,510 liter.

M3 Touring hanya boleh didapati dalam versi Competition, bermakna ia mempunyai 510PS dan 650Nm yang dibekalkan oleh enjin 3.0-liter enam silinder sebaris dengan dua pengecas turbo.

Dengan transmisi M Steptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan M xDrive, ia boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam hanya 3.6 saat dan 0 hingga 200km/j dalam 12.9 saat.

Jika dilengkapi dengan pakej M Driver’s, kelajuan maksimum boleh ditingkatkan dari 250km/j kepada 280km/j.

Memandangkan model ini mempunyai bentuk wagon yang lebih besar dan berat, sistem suspensi Adaptive M dan komponen-komponen berkaitan telah ditala semula.

Selain itu, ia didatangkan dengan rim dan sistem brek yang sama dengan M3 Competition sedan. Seperti model itu juga, brek karbon seramik ditawarkan sebagai opsyen.

BMW tidak memberitahu secara spesifik jika M3 Touring akan ditawarkan secara global namun menurut laporan, syarikat itu akan menumpukan kepada pasaran-pasaran seperti UK, Eropah, Korea Selatan, Jepun, New Zealand dan Australia.

Yamaha Tracer 9 GT Sports Touring 2022 lebih laju, harga RM69,498

BERITA baik kepada anda yang ternanti-nanti pengumuman mengenai harga Yamaha Tracer 9 GT Sports Touring baharu!

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) secara rasmi mengumumkan harga motosikal berkenaan bermula serendah RM69,498.

Foto ihsan Yamaha

Berdasarkan spesifikasi terdapat pada Tracer 9 GT baharu ini, ternyata Yamaha melakukan satu usaha cukup baik bagi memberi pengalaman luar biasa kepada pelanggannya.

Tracer 9 GT dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris 889 cc dengan janaan 117 kuasa kuda pada 10,000 rpm dan 93.0 Nm pada 7,000 rpm.

Foto ihsan Yamaha

Ia sekaligus memberi peningkatan kuasa jauh lebih tinggi berbanding model Tracer 900 GT terdahulu.

Model ini juga didatangkan dengan unit pengukuran inersia (IMU).

IMU terdiri daripada tiga komponen utama iaitu sistem kawalan cengkaman (TCS), sistem kawalan gelinciran (SCS) dan sistem kawalan LIFt tayar depan (LIF).

Penunggang juga boleh merubah tahap ketinggian motosikal ini memandangkan ia turut memiliki sistem gantungan elektronik Kayaba (KYB).

Foto ihsan Yamaha

Berikut antara spesifikasi lain terdapat pada Yamaha Tracer 9 GT Sports Touring:

Lampu diod pemancar cahaya (LED)
Lampu membelok LED
Skrin paparan TFT berkembar 3.5 inci

Foto ihsan Yamaha

Terdapat dua warna ditawarkan iaitu Icon Performance atau Redline.

Pelanggan berminat mendapatkan Yamaha Tracer 9 GT 2022 boleh mendapatkannya di semua pengedar sah Yamaha Big Bike bermula 25 November 2021.

Honda dedah model touring baharu 21 Okt, reka bentuk mengancam!

MENJELANG dua bulan memasuki tahun baharu 2022, Honda bakal tampil memperkenalkan jentera terbaharunya dalam waktu terdekat ini.

Menerusi teaser dikeluarkan Honda Europe, jentera terbaharu itu dijangka merupakan sebuah model daripada ‘keluarga’ touring.

Hasil pemerhatian media dan peminat motosikal, ramai menjangkakan ia merupakan model NT1100.

Ia kerana ia kelihatan hampir sama dengan lukisan paten sebuah jentera yang pernah bocor sebelum ini.

Foto tangkap layar ihsan video Honda

Jika diperhatikan secara lebih dekat, model bakal diperkenalkan kali ini juga dijangka mempunyai rekaan kerangka lebih tinggi dan enjin besar.

Ramai juga meneka Honda akan menggunakan asas daripada Africa Twin untuk model ini dengan enjin 1084cc dua silinder.

Bagi mereka yang ‘kaki’ touring, pendedahan penghadang angin tinggi di hadapan jentera dan tempat duduk lebar pastinya amat cukup mengujakan.

Foto tangkap layar ihsan video Honda

Selain itu, Honda turut mendedahkan aksesori beg barangan serta panel meter bertingkat.

Setakat ini, pelancaran model terbaharu tersebut dijangka akan dibuat Honda pada 21 Oktober ini.

Jom sama-sama nantikan!

KTM 1290 Super Adventure S 2021 tiba di Malaysia, harga RM132,900

KTM 1290 Super Adventure S 2021 selamat ‘mendarat’ di bumi Malaysia selepas diperkenalkan kepada umum pada Januari lalu.

Syarikat pengeluar KTM menyatakan model ini merupakan jentera adventure paling canggih pernah dihasilkan.

Terdapat beberapa penambahbaikan pada bahagian utama motosikal ini melibatkan sistem ergonomik dan elektronik.

Antara penambahbaikan dimaksudkan meliputi faktor pengendalian motosikal yang mana tempat duduk dan penghadang angin boleh dilaras mengikut keselesaan.

Panel TFT 7.0 inci juga disediakan agar penunggang dapat mengaplikasikan segala sistem sedia ada dengan mudah.

Sistem tercanggih yang pernah dihasilkan KTM. – Foto ihsan KTM

Model KTM 1290 Super Adventure S 2021 mempunyai beberapa mod tunggangan seperti “rain”, “street”, “sport”, “offroad” dan “rally”.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan teknologi Adaptive Cruise Control yang membolehkan penunggang memilih lima tetapan jarak antara kenderaan hadapan ketika di atas jalan raya.

Jentera ini masih menggunakan unit v-twin 1,301cc berkuasa 160 hp dan 138 Nm tork yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Bagaimanapun, jentera ini mempunyai berat lebih ringan berbanding model sebelumnya hasil penggunaan casing lebih nipis.

KTM mengutamakan keselesaan tunggangan bagi model ini. – Foto ihsan KTM

Berikut antara spesifikasi lain terdapat pada KTM 1290 Super Adventure S 2021:

  • Suspensi semi aktif WP SAT
  • Steering damperWP
  • Cakera brek berkembar 320mm dengan angkup Brembo empat piston hadapan
  • Cakera 267mm belakang
  • Tyar Mitas Terra Force-R
  • Klac slipperPASC
  • Motorcycle Traction Control
  • Cornering ABS
  • Offroad ABS
  • Pemerhati tekanan angin tayar (TPMS)
  • Penunjuk arah automatic
  • KTM MyRide

Seunit KTM 1290 Super Adventure S 2021 boleh didapati pada harga RM132,900 tidak termasuk insurans.

KTM 1290 Super Adventure baharu sesuai digunakan untuk semua jenis permukaan jalan. – Foto ihsan KTM