Arkib Tag: touareg

Volkswagen Touareg 2024 bakal tiba, dengan 3.0 V6, 335hp, dan sistem pandangan malam!

PASARAN SUV premium akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Volkswagen Touareg serba baharu untuk pasaran Malaysia.

Ini disahkan dari siaran Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) di laman sosial mereka, malah pendaftaran minat (ROI) juga telah dibuka. Berdasarkan laman ROI itu, Touareg 2024 akan ditawarkan dalam varian R-Line yang membawakan imej lebih sporti berbanding Elegance.

Volkswagen Touareg 2024 merupakan generasi ketiga yang dilancarkan di peringkat global pada pertengahan 2023.

SUV ini akan dikuasakan oleh enjin 3.0-liter V6 TSI dengan 335hp dan 450Nm tork, dipadankan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan dan pacuan semua-roda 4Motion.

Kelengkapan standard termasuklah lampu depan LED matriks IQ.Light, suspensi udara dengan pelarasan automatik, sistem audio Dynaudio Consequence berkuasa 730 watt, dan sistem bantuan pemandu IQ.Drive dengan pandangan malam (night vision).

Rupa luaran didatangkan dengan gril baharu, lampu LED dengan DRL berbentuk-L, lampu bar di depan dan belakang.

Setakat ini, belum ada jangkaan harga, tetapi dari maklumat rakan kami di Pekan, SUV ini akan dipasang secara CKD. Jika benar, ia akan jadi generasi Touareg pertama dipasang di negara ini.

Ada yang menanti Volkswagen Touareg generasi baharu ini?

Volkswagen Tavendor satu lagi SUV baharu dari platform MQB, untuk China sahaja

VOLKSWAGEN telah memperkenalkan satu SUV saiz besar yang baharu iaitu Tavendor, tetapi ia hanya untuk pasaran China. Ia dipasang dengan kerjasama FAW-VW dan dibina dari platform MQB Evo.

Volkswagen Tavendor menampilkan rekaan moden dan terkini jenama itu dengan penuh teknologi dan ciri di dalam kabin.

 

Rekaan depannya mendapat strip melintang pada gril dengan warna badan, serupa dengan elemen LED di atas lampu utamanya yang ditarik dari hujung kedua-dua sisi.

Profil sisi pula mempunyai garisan tingkap serupa dengan Audi Q6, manakala bahagian belakang diberikan sedikit elemen dari model-model ID walaupun grafik lampu belakang LED adalah unik untuk Tavendor.

Varian R-Line seperti dalam gambar-gambar ini dilengkapi dengan rekaan bampar lebih sporti dan rim aloi lebih besar.

Dari segi dimensi, Volkswagen Tavendor berukuran 4,936mm panjang, 2,015mm lebar, 1,756mm tinggi, dan mempunyai jarak roda 2,980mm. Tavendor ini adalah 58mm lebih panjang dari Volkswagen Touareg.

Di bahagian dalam, ia mendapat rekaan papan pemuka yang menjadi kebiasaan Volkswagen. Ia menempatkan kluster instrumen 10.2-inci dan skrin infotainmen 12-inci.

Papan pemuka minimalis ini digabungkan dengan panel tengah yang agak tinggi dan menempatkan ruang simpanan terbuka. Sementara itu, bumbung panoramik dan tempat duduk balutan fabrik menjadi kelengkapan standard.

Seperti model-model Volkswagen di China, Tavendor akan dipacu oleh enjin 2.0-liter 4-silinder TSI, dengan dua tahap output.

Model asas akan menghasilkan 183hp manakala model lebih berkuasa menjana 217hp. Kotak gear adalah standard automatik DSG 7-kelajuan, tetapi kuasa dihantar sama ada ke roda depan atau semua-roda (4Motion).

Model ini akan dilancarka di China menjelang suku keempat tahun ini dan harga akan diumum kemudian semasa pelancaran. Menurut Car News China, ia dijangka dijual pada harga sekitar USD42,000 (RM188,328).