Arkib Tag: tng

Akhirnya boleh tambah nilai Touch ‘n Go dengan kad NFC baharu

AKHIRNYA kita akan selangkah lebih dekat kepada kebolehan tambah nilai kad Touch ‘n Go (TNG) melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet tidak lama lagi.

Dari imej tangkap layar (screenshot) video TNG yang dikongsi beberapa portal, kad NFC (near field communication) baharu itu akan dilancarkan tidak lama lagi. Video itu walaubagaimanapun telah dipadam.

Fungsi baharu ini akan dikenalpasti sebagai NFC dan ikonnya akan dipapar pada bucu kanan atas. Ini juga bermakna pengguna perlu membeli kad baharu untuk menggunakan fungsi ini.

Gambar oleh: Lowyat.net

Kad itu boleh dibeli dengan harga RM10 setiap satu. Tetapi menurut portal Amanz.my, penjualan kad itu telah dihentikan buat sementara waktu, mungkin menantikan pelancaran rasmi.

Fungsi tambah nilai secara NFC menggunakan aplikasi eWallet ini juga mungkin hanya akan aktif sekitar Mei nanti.

Untuk menggunakan fungsi ini, pengguna hanya perlu memilih nilai kredit yang ingin ditambah, seterusnya menyentuh kad TNG generasi baharu ini pada bahagian NFC di telefon untuk tambah nilai.

Langkah ini sekaligus akan memudahkan anda melakukan tambah nilai tanpa perlu ke kiosk TNG.

Touch n Go dan SmartTag dimansuh terus atau boleh guna lagi? PLUS beri penjelasan

PLUS kelmarin mengumumkan bahawa mereka akan mula mengadaptasi RFID di semua plaza tol di Lebuhraya Utara-Selatan laluan Skudai-Juru bermula 15 Januari 2022.

Kenyataan itu walaubagaimanapun menimbulkan persoalan dan kekeliruan di kalangan orang awam sama ada pembayaran menggunakan Touch ‘n Go dan SmartTag masih boleh dibuat selepas 15 Januari.

Ada berpendapat selepas tarikh itu, hanya pembayaran tol menggunakan RFID boleh dilakukan kerana PLUS berkata bahawa Touch ‘n Go dan SmartTag akan dimansuhkan secara berperingkat.

Jadi, PLUS hari ini telah mengeluarkan kenyataan susulan berkenaan isu ini. Menurut PLUS, pembayaran tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih ditawarkan walaupun transaksi RFID diperkenalkan di laluan Juru-Skudai di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 15 Januari 2022

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, transaksi tol menggunakan RFID ketika ini adalah pilihan tambahan kepada platform kad Touch ‘n Go dan SmartTAG sedia ada.

Transaksi menggunakan RFID juga langkah awal kepada pelaksanaan pembayaran tol tanpa kehadiran plaza tol (Sistem Laluan Terus Pelbagai Lorong – MLFF) pada masa depan.

Azman berkata; “Kami mendengar dan faham kebimbangan yang disuarakan sesetengah pengguna lebuh raya tentang penutupan torong Touch ‘n Go dan SmartTag dan ingin menjelaskan bahawa kedua-duanya akan tetap beroperasi dan hanya satu lorong RFID akan disediakan di plaza-plaza tol di laluan Juru-Skudai kelak.

“Dengan pembukaan lorong RFID bermula 15 Januari 2022 nanti, pengguna akan mempunyai lebih banyak pilihan platform pembayaran tol bagi melengkapkan transaksi tol mereka.”

PLUS bagaimanapun menggalakkan orang ramai beralih kepada sistem transaksi RFID kerana ia lebih pantas dan akan memudahkan perjalanan di plaza tol.

Tag pelekat RFID boleh diperoleh di 39 pusat pemasangan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Pengguna juga boleh mendapatkan tag Touch ‘n Go RFID secara atas talian menerusi Touch ‘n Go eWallet atau portal Touch ‘n Go untuk memasangnya sendiri.

Transaksi tol menggunakan RFID di lebuh raya sistem tertutup seperti PLUS sudah diuji terlebih dahualu di laluan Hutan Kampung-Sungai Dua di Kedah dan Pulau Pinang sejak Julai tahun lalu dan kadar penerimaan semakin meningkat sejak mula diperkenalkan.