Arkib Tag: TGR GR86/BRZ Cup 2026

Wing Hin Motorsports tonjol aksi cemerlang di pusingan pembukaan TGR GR86/BRZ Clubman Series Jepun

Wing Hin Motorsports menunjukkan aksi cemerlang di pusingan pembukaan Toyota Gazoo Racing GR86/BRZ Clubman Series yang berlangsung baru-baru ini.

Program pembangunan pemandu Wing Hin Motorsports menampilkan Mitchell Cheah (Malaysia) yang dibantu oleh rakan sepasukan Jordan Johan (TGR Indonesia).

Untuk info, Wing Hin Motorsports merupakan juara keseluruhan bagi Toyota Gazoo Racing GR86/BRZ Clubman Series yang berlangsung tahun lepas.

Aksi debut mantap

Biarpun kali pertama berlumba di Jepun, Chean, 28 tahun menunjukkan aksi mantap dengan menamatkan perlumbaan di tangga kedua.

Menurut Cheah, antara persiapan yang dibuat termasuklah menghabiskan masa dengan simulator untuk membiasakan diri dengan Litar Autopolis.

Beliau juga turut menjalani ujian singkat dengan jentera tersebut sebelum minggu perlumbaan, memandangkan ia bukanlah sebuah kereta yang senang untuk dikuasai.

Rakan sepasukannya, Jordan Johan menghabiskan perlumbaan di tangga keenam, naik satu posisi daripada kedudukan ke-7 dalam pusingan kelayakan.

Kedua-dua pelumba tersebut dibimbing oleh Masahiro Sasaki, pelumba Gazoo Racing dan Rookie Racing yang turut menerajui usaha Wing Hin Motorsports membuka laluan pembangunan bakat Asia.

Medan sebenar tajam kemahiran pemandu

Menurut Pengurus Pasukan Wing Hin Motorsports, program ini bukan sekadar memberikan masa ujian dan latihan, tetapi perlumbaan sebenar untuk mempercepat pembelajaran dan mempertajam kemahiran pemandu.

“Ini merupakan keputusan yang kukuh untuk memulakan musim ini, namun proses pembangunan akan diteruskan, dan kedua-dua pemandu mengakui cabaran di hadapan akan menjadi lebih sukar.

Terdapat tujuh pusingan dalam kalendar TGR GR86/BRZ Cup 2026 untuk tahun ini:

  • Autopolis (pusingan pembukaan)
  • Sugo (16-17 Mei)
  • Okayama (27-28 Jun)
  • Tokachi (8-9 Ogos)
  • Fuji (5-6 September)
  • Suzuka (3-4 Oktober)
  • Motegi (21-22 November)