Arkib Tag: TGR Asia Esport GT Championship 2026

Taj Izrin, Nabil Azlan dan Ethen Low wakili Malaysia di TGR Asia Esport GT Championship 2026

Malaysia mempertaruhkan tiga pelumba berbakat untuk memburu kejuaraan TGR Asia Esport GT Championship 2026 di JioSpace, Petaling Jaya pada 14 dan 15 November.

Tiga pelumba yang dimaksudkan ialah Taj Izrin Aiman Taj Madira, Nabil Azlan dan Ethen Low

Anjuran Toyota Motor Asia, kejohanan ini menghimpunkan pelumba simulator dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Mereka akan bersaing menerusi Gran Turismo 7 di PlayStation bagi merebut gelaran individu dan berpasukan.

Barisan pelumba negara

Taj Izrin, 27, mengetuai cabaran Malaysia dengan bekalan pingat emas Sukan Asia, gelaran juara TGR Asia 2024 serta empat kejuaraan TGR Malaysia eRacing.

Pada penampilan ketujuhnya, beliau menyasarkan untuk merampas semula gelaran individu dan membantu Malaysia menjuarai kategori berpasukan.

Nabil, 24, pula membawa momentum kemenangan emas Kejohanan Sukan Permotoran Asia Pasifik (APMC), selain bergelar juara TGR Malaysia eRacing Pro 2025 dan penerima anugerah E-Motorsport Competitor of the Year.

Selepas beralih daripada perlumbaan simulator ke litar sebenar menerusi peluang daripada UMW Toyota Motor dan memenangi kelas Rookie serta Sporting dalam Vios Challenge, Nabil kini memburu gelaran sulung TGR Asia.

Melengkapkan pasukan ialah Ethen Low, 16, juara TGR Malaysia eRacing Junior 2025. Ini merupakan penampilan antarabangsa keduanya selepas mara ke separuh akhir APMC.

Low turut bersaing dalam Vios Challenge 2026 menerusi Program Pembangunan Bakat Muda GAZOO Racing–UMW Toyota Motor.

Beliau kini berkongsi kedudukan teratas kelas Rookie dengan dua perlumbaan berbaki.

Format perlumbaan

Saingan akhir Asia menampilkan dua perlumbaan:

  • Individu: Jentera Super Formula di Fuji Speedway selama 25 minit.
  • Berpasukan: GR Supra Racing Concept di Grand Valley Highway–1 selama 20 minit.

Bermula pada 2018 sebagai GR Velocity Esports Championship, kejohanan ini kemudian dikenali sebagai Toyota GR Supra GT Cup dan GR GT Cup Asia Championship sebelum menggunakan nama baharu tahun ini.

Platform tersebut bertujuan mencungkil serta membangunkan bakat simulator serantau, dengan pemenang edisi terdahulu berpeluang mewakili Asia ke pentas akhir dunia.