Arkib Tag: Tesla Cybercab

Tesla Cybercab tiba di Malaysia, teksi dua pintu tanpa roda stereng

Tesla Malaysia baru-baru ini memperlihatkan model Tesla Cybercab menerusi sesi pratonton yang berlangsung di Mid Valley Megamall.

Model ini secara asasnya merupakan sebuah teksi swa-pandu dua pintu yang langsung tidak dilengkapi dengan perkakasan pemanduan konvensional.

Cybercab mula diperkenalkan oleh Tesla pada Oktober 2024.

Spesifikasi

Dari segi luaran, Tesla Cybercab menampilkan pendekatan rekaan yang hampir serupa dengan Tesla Model Y dan Model 3 sedia ada.

Bahagian depan dan belakang menampilkan bar lampu LED melintang penuh, cuma di bahagian belakang menampilkan pencahayaan tidak langsung.

Teksi Tesla ini mempunyai pintu jenis ‘butterfly’ dengan bukaan yang agak luas, diikuti padanan rim 18 inci depan dan 21 inci di belakang.

Ruang kargo adalah sebesar 572 liter.

Ruang kabin pula menempatkan sepasang tempat duduk gaya bangku serta skrin paparan sebesar 21 inci yang boleh digunakan untuk:

  • membuka atau menutup pintu
  • memulakan perjalanan
  • menetapkan suhu kabin dan tempat duduk
  • memainkan muzik

Untuk kemudahan penumpang, terdapat port pengecasan USB Type-C disediakan, serta dua suis fizikal untuk menurunkan atau menaikkan tingkap.

Seperti yang disebutkan tadi, Cybercab tidak dilengkapi dengan perkakasan wajib untuk pemanduan seperti:

  • roda stereng
  • pedal pendikit & brek
  • cermin sisi
  • tingkap belakang

Berdasarkan dokumen yang diperoleh daripada EPA, Tesla Cybercab dikuasakan oleh motor elektrik tunggal 219 hp yang memacu roda depan.

Pek bateri berkapasiti 47.6 kWh menawarkan jarak perjalanan sejauh 673 km untuk sekali cas penuh.

Tesla Cybercab menggunakan sistem Full-Self Driving versi 15 yang tidak ditawarkan pada mana-mana kereta pelanggan buat masa ini.

Tesla juga dikatakan sedang membuat persiapan untuk membawa masuk teknologi ini ke Malaysia kelak.

Tesla Robotaxi & Robovan, kereta swapandu tanpa stereng dan pedal kaki

Elon Musk akhirnya mengotakan ‘janji’ untuk membawakan model kereta Tesla tanpa pedal dan stereng menerusi pengenalan Robotaxi, atau lebih dikenali dengan nama Cybercab.

Sekali imbas, Robotaxi merupakan sebuah kereta coupe dua pintu dengan hanya memuatkan dua orang sahaja pada satu-satu masa, dan menawarkan ruang kargo yang agak besar.

Menerusi bukaan pintu dihedral ala rama-rama, anda akan mendapati ruang kabin Cybercab ini sememangnya tidak mempunyai roda stereng dan pedal kaki.

Menurut Elon Musk, Robotaxi tidak mempunyai port pengecasan yang tradisional kerana ia bergantung sepenuhnya kepada cara pengecasan tanpa wayar (induktif).

Tiada sebarang butiran terperinci berkenaan spesifikasi unit pacuan elektrik yang digunakan pada Robotaxi.

Menariknya, Elon Musk mendakwa harga sebuah Robotaxi bakal bermula bawah $30,000 (~RM130 ribu), dengan perancangan produksi bermula tahun 2026 atau 2027.

Sebuah lagi model konsep tanpa stereng yang dipamerkan ialah Robovan dengan rupa paras seperti sebuah pembakar roti yang beroda.

Ia tidak mempunyai sebarang cermin hadapan, sebaliknya digantikan dengan skrin paparan yang besar di bahagian dalam.

Robovan mampu memuatkan sehingga 20 orang pada satu-satu masa.

Kedua-dua Robotaxi dan Robovan bakal bergantung kepada perisian pemanduan autonomi penuh Full Self-Driving untuk beroperasi atas jalan raya sebenar.

Hanya masa yang akan menentukan sama ada perisian ini boleh dipercayai ataupun tidak memandangkan Tesla sudah pun mempunyai rekod buruk untuk sistem Full Self-Driving yang wujud pada model sedia ada.