Arkib Tag: terbakar

Bayi ditemukan rentung, kereta terbakar selepas rempuh tiang lampu

SEORANG bayi disahkan rentung selepas kenderaan dinaiki bersama ibu-bapanya melanggar tiang lampu sebelum terbakar di Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada awal pagi ini.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Mohd Fadzil bin Musa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.04 pagi dan pasukan bomba daripada BBP Kuala Krai dan BBP Sungai Durian telah digegaskan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Honda Jazz yang telah terbabas dan melanggar tiang lampu. Lebih malang lagi, akibat daripada kejadian itu, kereta tersebut turut terbakar.

“Terdapat tiga orang mangsa iaitu seorang lelaki dewasa yang melecur seluruh tubuh, seorang perempuan mengalami cedera ringan dan seorang lagi mangsa adalah bayi lelaki. Bagaimanapun, bayi tersebut dijumpai rentung di dalam kereta itu akibat terperangkap,” katanya.

Mayat bayi tersebut kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, manakala kedua-dua mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk menerima rawatan lanjut.

Perodua Kancil bawa durian terbakar, tiga sekeluarga nyaris maut

SEBUAH Perodua Kancil yang membawa muatan buah durian musnah dalam kebakaran di Jalan Changkat Lada-Pasir Salak semalam.

Tiga sekeluarga yang menaiki kereta tersebut bagaimanapun dapat keluar menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Gambar: Facebook

Difahamkan, Kancil yang dipandu lelaki berusia 30-an bersama anak lelaki dan ibunya itu dalam perjalanan dari kebun berhampiran menuju ke rumah mereka di Felcra Changkat Lada.

Gambar: Facebook

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampong Gajah, Qyairul Eqwan Suib berkata, maklumat kejadian itu diperoleh pihaknya pada pukul 7:50 pagi.

Menurut Qyairul, kebakaran melibatkan sebuah kereta di mana tiga sekeluarga sempat menyelamatkan diri.

“Kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kereta dinaiki mereka musnah terbakar 80 peratus bersama durian yang dibawa.

“Operasi pemadaman segera dijalankan dan operasi tamat pada pukul 9 pagi. Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.