Arkib Tag: tengku mahkota johor

JDT Racing Team – TMJ mulakan perbincangan dengan Hafizh Syahrin

HANYA sebulan selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan hasrat menubuhkan pasukan JDT Racing Team, nampaknya langkah pertama telah dilakukan.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah membuat perbincangan awal dengan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Kedua-dua watak penting dalam penubuhan satu lagi cabang sukan dalam JDT itu bertemu dalam satu majlis di Johor Bahru yang menandakan permulaan projek baharu ini dan turut dihadiri Valeriano Rodriguez, pengurus teknikal JDT Racing Team.

Perkara itu disahkan menerusi hantaran di laman sosial rasmi JDT yang turut memperlihatkan Tunku Ismail membawa Hafizh Syahrin dan tetamunya melawat garaj kereta miliknya.

“Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor telah bertemu Hafizh Syahrin, pelumba dan Valeriano (Rodriguez) untuk berbincang mengenai pembentukan pasukan menjelang kempen musim 2024,” tulis hantaran itu.

“Bulan lalu, JDT mengumumkan niat untuk memasuki arena perlumbaan motosikal dengan pelumba terkemuka Malaysia itu.

“JDT Racing Team akan bermula di pertandingan Asia Road Racing Championship dengan hasrat untuk bersaing dalam pertandingan Superbike World Championship kelak.”

Dalam keadaan prestasi yang kurang memberangsangkan oleh pelumba negara di perlumbaan MotoGP baru-baru ini, diharap kerjasama ini akan mengembalikan semula zaman gemilang permotoran tempatan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Gambar kredit: Instagram Hafizh Syahrin

TMJ dilihat dengan Ducati Panigale V4 SP, superbike edisi terhad hampir RM200k

TENGKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dikenali sebagai peminat dan pengumpul kereta serta motosikal.

Selain dari Ford GT dan Lincoln Navigator yang pernah kami paparkan sebelum ini, baginda juga diketahui memiliki supercar seperti McLaren P1, dan juga beberapa muscle car.

Terkini, baginda dilihat menunggang sebuah Ducati Panigale V4 SP yang mungkin menjadi antara koleksi terkini miliknya.

Tunku Ismail memuatnaik beberapa Story di laman Instagram miliknya @hrhcrownprinceofjohor memaparkan rakaman sudut-sudut dekat dan terperinci superbike berkuasa tinggi itu.

Baginda juga berkongsi satu foto bersama Panigale V4 SP berwarna hitam-perak itu dengan kapsyen, “Be a game changer. The world is full of players.”

Gambar itu menerima lebih 127,000 Like dan lebih 590 komen pada masa artikel ini ditulis, iaitu kira-kira selepas hanya lima jam dimuatnaik.

Ducati Panigale V4 SP ialah model yang diasaskan dari V4S tetapi telah dinaiktaraf dengan komponen lebih dari perlumbaan yang premium, serta dihasilkan terhad ke[ada pengeluaran terhad.

V4 SP menerima warna khas Ducati Winter Test iaitu hitam dengan kontra merah dan aluminium, serta rim lima-bilah dari gentian karbon yang lebih ringan dari rim V4 ‘biasa’. V4 SP juga hanya dikhaskan untuk kegunaan litar sahaja.

Sistem brek adalah dari Brembo Stylema R dengan kemampuan self-bleeding pada silinder utamanya untuk memastikan prestasi optima dan konsistem semasa tunggangan di litar.

Suspensi pula menggunakan unit daripada Ohlins dengan fork NIX-30 di depan serta monoshock TTX36 di belakang dengan kawalan damper secara elektronik.

Enjin V4 Desmosedici Stradale 1,103cc yang berkuasa 214hp pada 13,00rpm dan 124Nm tork pada 9,500rpm ini dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan dan klac kering STM-EVO SBK dan juga quickshifter DQS EVO 2.

Untuk memastikan kesemua 124hp dapat disalurkan ke roda belakang sebaiknya, jentera ini menampilkan Race Riding Mode yang membolehkan penunggang memilih dua tetapan enjin dan suspensi iaitu Race A dan Race B, bergantung kepada keperluan dan keadaan litar.

Ciri lain adalah pemijak kaki dari billet aluminium, penutup klac dari gentian karbon, sayap aerodinamik gentian karbon, dan Ducati Data Analyzer+ untuk telemetri dan GPS.

Tiada harga dijumpai untuk Ducati Panigale V4 SP ini yang dapat kami jumpa. Tetapi sebagai perbandingan, Panigale V4 S dijual pada harga RM172,000 semasa ia dilancarkan di Malaysia pada 2020.

Berapa anda rasa harga V4 SP ini?