Arkib Tag: tenaga solar

Stellantis, Leader Energy Group jalin kerjasama kembangkan tenaga solar di Gurun

STELLANTIS telah mengumumkan kerjasama dengan syarikat pembekal kuasa tempatan, Leader Energy Group untuk mengembangkan penjanaan tenaga solar di kilang pengeluarannya di Gurun, Kedah.

Menurut syarikat itu, usahasama ini merangkumi pemasangan, operasi, penyelenggaraan dan pembiayaan sistem fotovoltaik (PV) bagi meningkatkan kecekapan tenaga di kilang itu.

Pemasangan sistem PV di kilang berkenaan dilakukan oleh anak syarikat Leader Energy iaitu Leader Solar Sdn. Bhd. (LSSB) dalam masa empat bulan. Ia siap sepenuhnya pada 31 Oktober 2022.

Sistem tersebut itu berupaya menjana output maksimum sebanyak 2,189.81 kWp elektrik. Dalam tempoh 21 tahun akan datang, ia dijangka akan menjana 54.81 GWh tenaga atau kira-kira 34% daripada keperluan penggunaan tenaga tahunan kilang tersebut.

Selain itu, penggunaan tenaga solar juga akan mengimbangi kira-kira 1963.4 tan karbon dioksida setiap tahun. Jumlah ini bersamaan dengan 50,340 batang pokok yang ditanam dalam setahun.

Mengguna pakai tenaga solar merupakah satu lagi langkah ke hadapan dalam usaha Stellantis untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih (carbon net zero emissions) menjelang 2038 sebagai sebahagian daripada strategi Dare Forward 2030.

Usahasama ini juga adalah sebahagian daripada usaha berterusan Stellantis untuk menambah baik kecekapan tenaga operasinya di seluruh dunia. Sebelum ini, syarikat itu telah meningkatkan projek solarnya di Michigan, Amerika Syarikat serta memasang sistem PV di kilang Mangualde, Portugal.

Shell komited kurangkan pelepasan karbon, guna tenaga solar di stesen miliknya

Shell Malaysia telah berjaya mencapai satu lagi kejayaan dalam usahanya untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam operasi mobilitinya.

Sejajar dengan usaha dan komitmen ke arah itu, Shell telah mengambil inisiatif berkerjasama dengan Cleantech Solar dalam menggunakan tenaga solar di stesen minyak miliknya.

Panel solar yang dipasang di stesen Shell.

Sejumlah 22,505 kepingan panel photovoltaic dengan kapasiti 10.12 megawatt (MW) telah dipasang di 216 buah stesen miliknya. Ini sebagai sebahagian usaha dan komitmen dalam mengurangkan pelepasan karbon, selain mengurangkan kebergantungan terhadap pembekal kuasa elektrik tempatan.

Menurut Shell, panel solar yang dipasang pada stesen Shell itu mampu menjana tenaga elektrik sebanyak 12,939 MWh. Sebagai perbandingan, tenaga ini cukup untuk membekalkan kuasa kepada kira-kira 3,740 isi rumah selama satu tahun.

Seow Lee Ming, Pengurus Besar Mobility Shell berkata, “Matlamat kami adalah untuk memudahkan peralihan ke arah masa depan karbon rendah dalam operasi syarikat.

“Setakat ini, kami telah memasang panel solar di 216 buah stesen, dan ia dijangka meningkat kepada 350 buah stesen menjelang akhir tahun ini,” tambahnya lagi.

Sehingga kini, Shell telah menerima persijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI) bagi lima buah stesen termasuk Shell Taman Connaught, Shell Damansara Jaya, Shell Mint Hotel, Shell Tangkak Layby, dan Shell Alor Pongsu.

Seiring dengan matlamat dunia, Kumpulan Shell menetapkan sasaran untuk menjadi perniagaan tenaga dengan pelepasan sifar menjelang 2050.