TEMPOH pengecualian bayaran tol di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Linkedua) di Johor tamat.
Ini bermaksud orang ramai menggunakan laluan Tambak Johor dan Linkedua perlu membayar tol seperti sediakala bermula pada Jumaat.
Justeru, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihati pengguna supaya memastikan kad Touch ‘n Go serta e-Wallet Touch ‘n Go aktif serta mempunyai baki mencukupi.
“Pelanggan lebuh raya yang menggunakan tag Identifikasi Frekuensi Radio untuk sistem Permit Masuk Kenderaan turut boleh mula menggunakan sistem tersebut di lorong RFID,” memetik kenyataan dikeluarkan PLUS.
Pada 30 Mac lepas, kerajaan mengumumkan pengecualian bayaran tol selama tujuh hari melibatkan semua jenis kenderaan di sempadan Malaysia-Singapura.
Langkah itu bersempena pembukaan semula laluan darat kedua-dua negara bermula 1 April.
Pengecualian membabitkan plaza tol Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bangunan Sultan Iskandar dan Tanjung Kupang.