Naza Eastern Motors kini menawarkan Suzuki Fronx dan Suzuki Jimny AllGrip Plus menerusi platform langganan kenderaan Flux.
Satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Naza Eastern Motors dengan Flux bagi membuka jalan kepada akses pemilikan Suzuki yang lebih fleksibel kepada rakyat Malaysia.
Majlis tandatangan MoU tersebut dihadiri oleh Mohd Rizal Jailan, CEO Naza Automotive Group; Sivakumar Krishnan, Ketua Pegawai Operasi Suzuki Cars Malaysia; Aziz Ayman, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Flux serta Christine A, Pengarah Komersial Flux.
Integrasi Flux dalam rangkaian pengedar
Dengan menempatkan Flux dalam rangkaian pengedar, ia membolehkan pelanggan untuk memahami cara langganan berfungsi.
Menurut Rizal, pihaknya kini melihat permintaan meningkat terhadap solusi mobiliti yang lebih fleksibel dan sesuai dengan gaya hidup berbeza.
“Tidak semua pelanggan yang datang ke bilik pameran bersedia untuk pembelian tradisional.
“Dengan adanya Flux dalam bilik pameran, kami boleh menerangkan cara langganan berfungsi dan membantu pelanggan memilih apa yang bersesuaian dengan gaya hidup mereka,” ujarnya lagi.
Jenama Suzuki lebih mudah diakses
Aziz Ayman menyifatkan kerjasama ini hadir pada masa yang tepat untuk menjadikan jenama Suzuki lebih mudah diakses.
“Semua perkara yang merumitkan pemilikan kereta termasuklah pinjaman, insurans, cukai jalan, penyelenggaraan dan susut nilai telah digantikan dengan satu bayaran bulanan dan kebebasan untuk berubah mengikut kehidupan.
“Pemandu kekal menikmati pengalaman memandu Suzuki dan Flux akan uruskan selebihnya.”
Jelasnya lagi, pelanggan Suzuki melalui Flux akan turut menerima kereta gantian percuma bagi memastikan urusan harian tidak terjejas.
Promosi Merdeka
Sempena sambutan Merdeka yang ke-69, Flux menawarkan diskaun eksklusif 69% untuk bulan pertama dan terakhir bagi pelan langganan terpilih 24 hingga 36 bulan.
Promosi ini sah sehingga 6 September 2026.
Berikut merupakan yuran bulanan untuk pelan langganan 36-bulan:
- Suzuki Fronx: RM2,225
- Suzuki Jimny AllGrip Plus: RM3,278
