Arkib Tag: Super-One

Honda Super-One (2026) buat kemunculan di Indonesia – 95 PS, Ultra Seats dan sistem audio Bose

Indonesia menjadi negara ASEAN terbaru yang menerima kehadiran Honda Super-One, selepas Singapura yang terlebih dahulu melancarkan kei car elektrik itu pada awal tahun ini.

Model yang dibangunkan berasaskan N-One itu membuat kemunculan sulungnya di negara berkenaan menerusi acara Gaikindo Indonesia International Auto Show 2026 (GIIAS 2026).

Super-One buka langkah elektrifikasi Honda Indonesia

Menurut Honda Indonesia, kehadiran Super-One dilihat sebagai ‘pembuka jalan’ kepada hala tuju elektrifikasi Honda di pasaran tersebut.

Harga rasmi Super-One akan diumumkan pada 5 Ogos ini, dengan hanya 100 unit diperuntukkan untuk pasaran Indonesia bagi tahun ini.

Boost Mode lonjak kuasa sehingga 95 PS

Super-One menggunakan sebuah motor elektrik yang dipasang pada gandar hadapan. Dalam mod standard, motor tersebut menghasilkan 64 PS dan 162 Nm, angka yang hampir dengan kebanyakan kei car EV moden di Jepun.

Namun dengan adanya mod Boost yang boleh diaktifkan dengan menekan butang berwarna ungu pada stereng, output motor elektrik itu boleh ditingkatkan sementara sehingga 95 PS untuk prestasi yang lebih mengujakan.

Tenaga disimpan dalam bateri litium-ion berkapasiti 29.6 kWj yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 252 km berdasarkan kitaran NEDC.

Dari segi pengecasan, bateri tersebut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 50 kW, membolehkan tahap pengecasan meningkat daripada 20% hingga 80% dalam masa 30 minit. Ia turut menyokong pengecasan AC 6 kW dengan masa pengecasan penuh sekitar 4.5 jam.

Rekaan sporty, kabin moden dan Honda Sensing

Dari segi penampilan, Honda Super-One hadir dengan lampu utama LED penuh, rim aloi 15 inci serta kit badan yang memberikan imej lebih agresif. Unit yang dipamerkan tampil dalam warna Boost Violet Pearl.

Ruang kabin pula dilengkapi dengan skrin sentuh infotainmen 9 inci, paparan instrumen TFT 7 inci, pencahayaan ambien, sistem audio Bose bersama subwoofer serta konfigurasi tempat duduk Ultra Seats.

Walaupun bersaiz kompak, aspek keselamatan tidak diabaikan. Super-One hadir dengan enam beg udara serta sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang merangkumi ciri seperti Adaptive Cruise Control dengan Low-Speed Follow, Lane Keeping Assist System dan Collision Mitigation Braking System.

Mugen beri sentuhan ‘racing’ pada Honda Super-One

Kereta elektrik kompak Honda Super-One kini menerima sentuhan magis daripada Mugen, dan hasilnya memang nampak seperti jentera litar yang mampu menggugat iman peminat kei-car.

Gaya retro dengan sentuhan motorsport

Super-One sendiri sudah membawa elemen retro yang diinspirasikan daripada City Turbo II, tetapi Mugen menaikkan lagi tahap agresifnya. Bahagian hadapan kini dilengkapi spoiler bawah berwarna hitam serta bonet dengan liang udara.

Perubahan paling ketara terletak pada sisi, dengan tambahan fender lebar lengkap dengan liang udara yang membedrikan imej jentera litar. Ia turut dipadankan dengan skirt sisi lebih besar, cermin sisi gentian karbon, serta rim forged aluminium 16 inci. Di belakang pula, terdapat spoiler bumbung besar dan bampar lebih sporty.

Kabin lebih sporty dan fokus pemandu

Masuk ke dalam, tempat duduk standard digantikan dengan kerusi semi-bucket daripada Recaro, lengkap dengan logo Mugen pada perehat kepala.

Di samping itu, pelbagai aksesori tambahan turut ditawarkan seperti karpet lantai, pelapik ruang kargo, scuff plate, serta kemasan pelindung pintu dengan logo Mugen. Logo tersebut juga boleh dilihat pada bahagian stereng.

Pengendalian lebih tajam namun kuasa tidak berubah

Dengan suspensi lebih rendah dan trek lebih lebar, Super-One sememangnya mempunyai talaan casis yang lebih agresif berbanding model asasnya iaitu N-One. Walau bagaimanapun, untuk pengendalian lebih mantap, Mugen menawarkan peredam prestasi yang dibangunkan dengan kerjasama Yamaha.

Namun begitu, trenkuasa elektriknya tidak disentuh. Ia kekal dengan motor tunggal yang menghasilkan 94 hp dalam mod Boost. Untuk menambah sedikit ‘emosi’, Honda menyertakan sistem bunyi tiruan yang mensimulasikan pertukaran gear dan bunyi enjin melalui pembesar suara.

Masih dalam pembangunan

Setakat ini, Mugen belum mengumumkan harga bagi pakej naik taraf ini kerana ia masih dalam peringkat pembangunan. Pelancarannya di Jepun dijadualkan sekitar Mei 2026, sebelum diperluaskan ke pasaran lain termasuk Eropah dan Australia.

Honda Super-One (2026) didedahkan — EV FWD dengan Boost Mode, ada Active Sound Control

Lebih banyak maklumat mengenai Honda Super-One telah didedahkan, sekali gus memberikan gambaran lebih jelas tentang kei car elektrik itu menjelang pelancarannya di Jepun.

Model ini diinspirasikan daripada legenda 80-an iaitu Honda City Turbo II.

Luaran

Dari segi luaran, Super-One tampil jauh lebih agresif berbanding Honda N-One e: biasa.

Ia menerima bampar baharu dengan saluran udara berfungsi, fender yang lebih menonjol bagi menjadikan stance lebih lebar, serta spoiler bumbung.

Melengkapkan imej rangginya adalah rim aloi 15 inci dalam kemasan matte Berlina Black yang dipadankan bersama tayar Yokohama, serta warna eksklusif Boost Violet Pearl.

Dari segi saiz, Super-One berukuran 3,589 mm panjang, 1,573 mm lebar dan 1,616 mm tinggi.

Bermakna ia lebih besar berbanding N-One e:, walaupun masih mengekalkan jarak roda 2,520 mm yang sama.

Dalaman

Masuk ke ruang kabin, susun atur asas masih sama seperti N-One e:.

Tetapi Super-One diberikan sentuhan lebih sporty menerusi tempat duduk dengan sokongan sisi lebih tebal, kemasan aksen ungu, serta paparan kluster digital 7 inci dengan grafik khas.

Bagi menjadikan pemanduan lebih mengujakan, paparan berkenaan akan bertukar kepada rekaan seakan takometer apabila Boost Mode diaktifkan.

Sistem Active Sound Control pula menghasilkan bunyi enjin dan simulasi pertukaran gear menerusi sistem audio Bose lapan pembesar suara.

Selain itu, ciri-ciri seperti skrin infotainmen 9 inci, tempat duduk dan stereng pemanas, serta pakej penuh sistem bantuan pemandu turut ditawarkan sebagai standard.

Trenkuasa

Super-One dipacu oleh motor elektrik tunggal di gandar hadapan.

Angka kuasa rasmi masih belum diumumkan, namun berdasarkan maklumat yang sempat dipaparkan di laman web Honda Singapura baru-baru ini, model ini dikatakan menghasilkan 95 PS iaitu 31 PS lebih tinggi berbanding N-One e:.