Arkib Tag: Sungai Petani

Insiden rempuhan bawah jejambat, PDRM kongsi tips elak kemalangan

INSIDEN kemalangan membabitkan penunggang motosikal ketika berteduh di bawah jambatan sewaktu hujan mendapat perhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman berkata, kemalangan dapat dielak jika penunggang motosikal lebih berhati-hati.

Jelas Datuk Mat Kasim Karim, antara langkah boleh diambil termasuk berdiri di bahagian dalam besi penghadang jalan bagi mengelak sebarang risiko.

Selain itu, penunggang motosikal juga perlu mengelak daripada duduk di atas kenderaan selain tidak berada berhampiran dengan jalan raya.

Mat Kasim berkata demikian bagi mengulas insiden kemalangan membabitkan sekumpulan penunggang motosikal di Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

Insiden terbabit berlaku apabila sekumpulan penunggang motosikal berteduh di bawah jambatan semasa hujan dirempuh sebuah lori dipercayai hilang kawalan.

Dua penunggang motosikal dilaporkan meninggal dunia dan tujuh lagi mengalami kecederaan.

Pemandu lori terbabit kini ditahan polis dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

‘Sumbat’ warga asing pakai gelang pink dalam lori, warga maya akui malu

DUA foto menunjukkan sekumpulan warga asing menaiki sebuah lori yang sesak tular di media sosial.

Hantaran salah seorang pengguna Twitter itu mendapat perhatian kebanyakan warga maya yang menganggap ia perbuatan tidak berperikemanusiaan.

Berdasarkan foto terbabit, kesemua warga asing dipercayai dalam perjalanan ke pusat kuarantin Covid-19.

Hal ini kerana kelihatan beberapa individu dalam foto itu memakai ‘gelang’ merah jambu yang kebiasaan dipakai oleh mereka dikenakan kuarantin.

“Bayangkan kalau bangsa kita yang memburuh di negeri orang, legal mahupun illegal dilayan macam ini, apa respon kita?

“Malaysia, kita lebih baik daripada ini,” kata individu menggunakan nama Adam Adli di media sosial.

Sementara itu, rata-rata pengguna media sosial kecewa dengan situasi berlaku dan berharap ia tidak berulang di masa depan.

Pada masa sama, terdapat juga pengguna media sosial yang menyalahkan majikan pekerja warga asing terbabit yang didakwa enggan menyewa bas sebagai langkah penjimatan.

“Pergi salahkan tokey (majikan) yang tak nak keluar modal sewa bas,” kata Shelah Eber.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kejadian tersebut.

Bagaimanapun, ada pengguna media sosial mendakwa ia berlaku di Sungai Petani yang terletak di negeri Kedah.