Arkib Tag: subaru impreza

Subaru A.S turunkan harga, Impreza 2027 jadi lebih murah!

SUBARU mengumumkan harga Impreza 2027 di Amerika Syarikat (AS), dengan harga permulaan AS$24,595 (RM100,324).

Harga itu AS$2,000 (RM8,156) lebih rendah berbanding harga model aras mula Impreza 2026.

Subaru juga memaklumkan Impreza 2027 kini kereta kompak pacuan semua roda (AWD) paling mampu milik yang dijual di AS.

Model ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Impreza dan Impreza RS.

Subaru Impreza 2027

Antara kelengkapan standard termasuk rim aloi 17 inci kelabu gelap, teknologi bantuan pemanduan EyeSight, Keyless Access dengan butang mula.

Fungsi Apple CarPlay dan Android Auto melalui sambungan berwayar.

Bahagian dalam menggunakan balutan fabrik Tricot, kawalan pendingin hawa automatik dua zon serta port pengecasan USB-A dan USB-C.

Sistem maklumat hibur menggunakan dua skrin sentuh 7 inci.

Skrin atas mengendalikan fungsi maklumat hibur, manakala skrin bawah digunakan untuk kawalan pendingin hawa dan fungsi kenderaan.

Turut tersedia radio satelit SiriusXM dengan percubaan percuma selama empat bulan, HD Radio dan Bluetooth.

Teknologi bantuan pemanduan EyeSight merangkumi brek praperlanggaran, amaran keluar lorong dan melencong dan bantuan kekal lorong.

EyeSight turut merangkumi Kawalan Jelajah Adaptif Lanjutan dengan fungsi mengekalkan kenderaan di tengah lorong serta Bantuan Berhenti Kecemasan.

Lampu utama LED dengan fungsi mengikut arah stereng dan bantuan lampu tinggi turut menjadi kelengkapan standard.

Subaru Impreza RS 2027

Impreza RS kembali untuk tahun model 2027 dengan harga AS$29,495 (RM120,479), sama seperti model sebelumnya.

Varian ini menerima rim aloi 18 inci kelabu gelap, balutan fabrik RS hitam, lampu kabus dan spoiler bumbung Crystal Black Silica.

Kabin menggunakan sistem maklumat hibur Subaru 11.6 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Ia turut mempunyai SiriusXM dengan 360L, HD Radio dan Bluetooth.

Pengecas telefon pintar tanpa wayar yang dinaik taraf turut ditawarkan sebagai kelengkapan baharu.

Perkhidmatan MySubaru Connected Companion termasuk dalam pakej standard dengan percubaan lima tahun.

Ia menyediakan fungsi seperti panggilan kecemasan SOS, pemberitahuan pelanggaran lanjutan dan semakan keadaan kenderaan.

Pakej MySubaru Connected Services Companion+ pula tersedia untuk tempoh tiga atau lima tahun.

Di antara fungsi seperti menghidupkan enjin dari jauh bersama kawalan suhu, mengunci dan membuka kunci dari jauh serta amaran waktu berkurung dan amaran sempadan.

Pakej semua cuaca juga standard pada Impreza RS.

Ia merangkumi kerusi hadapan dengan pemanas, cermin sisi yang dipanaskan serta penyahbeku pengelap cermin hadapan.

Sistem EyeSight pada varian ini turut ditambah dengan Pengesanan Titik Buta bersama Amaran Lintasan Trafik Belakang serta Bantuan Kekal Lorong Kecemasan.

Pakej pilihan berharga AS$2,070 (RM8,447) pula menambah sistem audio Harman Kardon 10 pembesar suara dengan penguat setara 432 watt

Turut dilengkapi, bumbung kaca berkuasa dan kerusi hadapan dengan pelarasan kuasa 10 hala serta sokongan lumbar.

Enjin Boxer 2.5 Liter

Kedua-dua varian Impreza 2027 menggunakan enjin Boxer 2.5 liter berkuasa 180 hp.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi Lineartronic CVT dan sistem pacuan semua roda Subaru Symmetrical All-Wheel Drive.

Kedua-dua varian turut dilengkapi pedal gear, mod manual lapan kelajuan dengan nisbah pratetap serta sistem SI-Drive dengan mod Intelligent dan Sport.

Kemasan dan Warna

Bahan kemasan dalaman untuk Impreza 2027 turut ditambah baik menerusi jahitan baharu pada konsol tengah dan bahan panel pintu yang dikemas kini.

Impreza ditawarkan dalam pilihan warna Crystal Black Silica, Crystal White Pearl, Ice Silver Metallic, Magnetite Gray Metallic, Sapphire Blue Pearl dan Ignition Red (baharu).

Cat premium Citron Yellow Pearl pula ditawarkan pada harga tambahan AS$395 (RM1,610).

Harga Subaru Impreza 2027

Impreza 2027 dipasang di Gunma, Jepun dan akan tiba di pengedar Subaru di AS pada penghujung 2026.

  • Impreza: CVT, AS$24,595 (RM100,324)
  • Impreza RS: CVT, AS$29,495 (RM120,479)

Pakej pilihan Impreza RS berharga AS$2,070 (RM8,447)

Subaru bawa 3 model hebat – LEVORG STI, WRX S4 STI, IMPREZA ST-H STI ke TAS 2026!

Subaru Corporation bersama subsidiari permotoran, Subaru Tecnica International (STI) bakal membawa sejumlah model hebat ke Tokyo Auto Salon (TAS) 2026 pada Januari depan.

Melalui pameran ini, Subaru meneruskan aspirasi untuk kekal sebagai jenama yang berbeza melalui dua tema utama iaitu Performance Scene dan Adventure Scene.

Performance Scene menampilkan keseronokan pemanduan, manakala Adventure Scene pula menekankan keterujaan pengembaraan.

Di Tokyo Auto Salon 2026, fokus utama gerai SUBARU/STI adalah kepada dunia Performance Scene, dengan menampilkan model produksi dan jentera perlumbaan yang mencerminkan DNA prestasi Subaru.

Model pameran yang ditampilkan adalah berasaskan model pasaran Jepun iaitu Levorg, WRX S4 dan Impreza.

LEVORG STI Sport R-Black Limited II STI Performance

Model ini dibangunkan berasaskan Levorg STI Sport EX (model pasaran Jepun) dan tampil dengan warna badan eksklusif Sunrise Yellow.

Penampilan luaran diperkemaskan dengan pelbagai komponen berwarna hitam bagi menyerlahkan karakter prestasi.

Antara ciri luaran utama termasuk:

  • Rim aloi 18 inci kemasan hitam kusam
  • Bahagian muka hadapan berwarna hitam
  • Cermin sisi dan antena bumbung berwarna hitam

Ruang dalaman pula menonjolkan ciri eksklusif melalui:

  • Kerusi hadapan RECARO® dengan balutan berlubang rona kuning
  • Panel instrumen kemasan suede
  • Padanan aksesori tulen Subaru dan komponen prestasi STI tambahan

Gabungan ini bukan sahaja meningkatkan kehadiran visual, malah mengukuhkan identiti prestasi Levorg versi STI.

WRX S4 STI Sport R-Black Limited II STI Performance

Berasaskan WRX S4 STI Sport R EX (model Jepun), varian ini turut menggunakan warna badan Sunrise Yellow yang sama, menekankan kesinambungan identiti eksklusif siri R-Black Limited II.

Ciri luaran utama merangkumi:

  • Rim aloi 18 inci kemasan hitam kusam
  • Cermin sisi hitam
  • Antena bumbung hitam

Untuk ruang dalaman, WRX S4 dilengkapi:

  • Kerusi hadapan RECARO® dengan balutan berlubang warna kuning
  • Panel instrumen kemasan suede
  • Aksesori tulen Subaru serta komponen prestasi STI

Keseluruhan pakej ini direka bagi meningkatkan kehadiran visual dan rasa istimewa, sejajar dengan imej prestasi WRX.

IMPREZA ST-H STI Performance Edition with Plus Package

Model ini diasaskan daripada Impreza ST-H (model Jepun), yang menggabungkan reka bentuk sporti namun kasual dengan prestasi pemanduan yang mantap serta praktikaliti.

Dilengkapi komponen prestasi STI yang dibangunkan hasil pengalaman Subaru dalam dunia perlumbaan, model ini menampilkan:

  • Reka bentuk lebih agresif
  • Dinamik pemanduan yang dipertingkatkan
  • Keselesaan tunggangan yang lebih anjal
  • Kestabilan pengendalian yang lebih tinggi

Edisi ini memperlihatkan bagaimana Impreza boleh diposisikan sebagai model harian yang kekal menyerlah dari sudut prestasi dan kawalan.

Subaru Impreza WRX STI 22B unit 000/400 akan dilelong, bermula RM2.37 juta sahaja

SATU cebisan sejarah automotif moden yang cukup bermakna dan penting akan dilelong dalam satu acara tidak lama lagi. Cebisan sejarah yang dimaksudkan ialah Subaru Impreza WRX STI 22B 1998 yang pernah menjadi milik mendiang Colin McRae.

Buat adik-adik generasi Tiktok, AI, dan sunatlaser, Colin McRae ialah seorang pemandu lagenda rali kelahiran British dan pernah menjadi warga British pertama memenangi World Rally Championship (WRC). Beliau juga membawa Subaru menjadi juara pengeluar WRC bagi 1995, 1996, dan 1997.

Baik, berkenaan Subaru Impreza 22B ini pula, ia merupakan satu dari tiga prototaip yang pernah dihasilkan, dari 425 unit pengeluaran kesemuanya. Tetapi unit yang akan dilelong ini merupakan yang terawal, dengan plak 000/400!

Impreza 22B hanya hadir dalam bentuk badan coupe 2-pintu, tidak seperti Impreza biasa dengan 4-pintu. Ia dikeluarkan sempena meraikan ulang tahun ke-40 Subaru dan juga kejuaraan ketiga berturut-turut mereka dalam WRC.

Colin McRae dan pembantunya Nicky Grist diberikan prototaip 22B ini dengan nombor binaan serupa 000/400.

22B milik McRae menggunakan nombor pendaftaran S447YOX, manakala 22B milik Grist menggunakan nombor S446YOX.

Di bawah hud dengan skop udara itu ialah enjin 2.2-liter 4-silinder bentangan Boxer yang menghasilkan 280PS dan sekitar 363Nm tork. Ia dipadankan dengan transmisi manual 5-kelajuan dan klac plat berkembar serta pacuan semua roda.

Unit Subaru Impreza 22B ini akan dilelong dalam acara Silverstone Auctions pada 26 Ogos depan. Harga ditawarkan adalah antara £400,000 hingga  £500,000 (antara RM2.37 juta hingga RM3 juta). Anda boleh lihat jentera yang akan dilelong itu di sini.