Arkib Tag: stinger

Kia Stinger ucap selamat tinggal dengan Tribute Edition

Pada 2017, Kia memperkenalkan Stinger sebagai taruhannya untuk mencabar sedan-sedan prestasi dari Jerman. Namun entah di mana silapnya, sambutan yang diterima tidak seperti yang diharapkan.

Keadaan ini memaksa Kia mengambil keputusan untuk menamatkan produksi Stinger setelah hanya lima tahun berada dalam pasaran. Sebagai penawaran terakhir, syarikat itu akan menawarkan 1,000 unit Stinger Tribute Edition untuk pasaran global.

Menggunakan model GT yang dikuasakan oleh enjin 3.3-liter twin-turbo V6, Stinger Tribute Edition boleh didapati dalam warna Ascot Green yang sedia ada atau warna baharu Moonscape matte. Ia disudahkan dengan kemasan hitam pada cermin sisi, angkup brek Brembo dan rim 19 inci.

Ruang dalaman pula dihiasi dengan upholsteri kulit Terracotta pada tempat duduk sport, stereng, trim pintu dan pemegang pintu, serta kemasan efek karbon pada konsol tengah dan panel pintu.

Selain itu, model ini didatangkan dengan sentuhan eksklusif berbentuk logo tebuan pada perehat kepala yang diinspirasikan daripada nama Stinger itu sendiri. Ia juga mempunyai nombor siri pengeluaran pada ambang pintu.

Dari segi prestasi, enjin twin-turbo V6 tersebut masih menghasilkan 368 hp pada 6,000 rpm dan 510 Nm dari 1,300 hingga 4,500 rpm. Ia digandingkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.

Sayang betul! Kia Stinger bakal berkubur?

JIKA anda berkira-kira untuk menyambar Kia Stinger, baik berbuat demikian cepat. Ini kerana tiada khabar mengenai Stinger generasi akan datang, mungkin kerana jualannya yang agak ‘suam-suam kuku’.

Menurut laporan media antarabangsa, jangka hayat Stinger mungkin berakhir pada musim bunga tahun depan. Kia telah mendedahkan pelan produksi untuk kilang pengeluarannya di Korea Selatan pada 16 Julai lepas.

Stinger dipasang di kilang itu yang terletak di Sohari Plant, Gwangmyeong, tetapi menurut Korean Car Blog, kilang itu akan diubah untuk persediaan mengeluarkan kenderaan elektrik secara besar-besaran, terutamanya Carnival hibrid.

Ubah suai dan rombakan kilang itu akan bermula awal tahun depan, dan pengeluaran Stinger dijangka berakhir pada separuh masa kedua 2022.

Walaubagaimanapun, Kia ada melancarkan Stinger facelift pada Ogos tahun lepas yang kemudiannya diperkenalkan di pasaran-pasaran eksport awal tahun ini. Jika sedan sports rear-wheel drive ini tidak dihentikan pun, kemungkinan jumlah pengeluarannya akan dikurangkan.

Kia Stinger facelift ditawarkan dengan tiga pilihan enjin petrol, tambahan kepada dua pilihan sebelum ini.

  • 2.5-liter turbo Smartstream – 304hp @ 5,800rpm, 420Nm @ 1,650-4,000rpm (enjin baharu)
  • 3.3-liter turbo V6 T-GDi – 373hp @ 6,000rpm, 510Nm @ 1,300-4,500rpm
  • 2.0-liter Theta – 255hp @ 6,200rpm, 353Nm @ 1,400-4,000rpm

Kesemua enjin digandingkan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan, dengan RWD atau AWD. Stinger turut dilengkapi dengan paparan infotainmen yang dikemaskini, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, serta Bluetooth.

Semasa dilancarkan di Malaysia pada 2018, Kia Stinger berharga RM240k hingga RM310k dan bersaing dengan sedan sports seperti Mercedes-AMG C43 4Matic.

Kami sejujurnya berharap Kia akan terus menawarkan Stinger kepada pasaran kerana ia satu model yang cukup sporti dan berbeza dari model-model lain jenama itu. Ia juga menerima pujian dari penguji-penguji yang telah memandunya.