Arkib Tag: statistik

Kualiti jalan Malaysia lebih baik dari Australia, UK, New Zealand, duduki tempat ke-21 di dunia

KUALITI jalan raya di Malaysia dikatakan lebih baik dari sesetengah negara termasuk Australia, United Kingdom (UK), dan New Zealand. Perkara ini adalah berdasarkan indeks global yang dijalankan oleh portal statistik antarabangsa, The Global Economy.

Menurut laporan portal itu, Malaysia menduduki tempat ke-21 di dunia, mungkin menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa jalan raya kita begitu teruk?

Foto oleh: Malay Mail

Berdasarkan data tersebut, tahap jalan raya negara ini adalah antara terbaik iaitu 5.3 mata daripada julat keseluruhan tujuh mata untuk posisi tertinggi dan satu mata untuk posisi paling rendah.

Contoh lebuh raya di Sweden. Imej oleh: IFSEC Global

Singapura muncul tempat pertama untuk kualiti jalan di dunia iaitu 6.5 mata diikuti Belanda, Switzerland, Hong Kong, Jepun, Austria, Portugal, Emiriah Arab Bersatu, Korea Selatan dan Oman.

Sementara itu, jalan di Chad meraih posisi terburuk di dunia iaitu 1.9 mata disusuli Mauritania, Madagascar, Yaman, Haiti, Kongo, Angola, Mozambique, Guatemala, Cameroon dan Nigeria.

Menurut portal itu lagi, tahap jalan di Malaysia pula adalah lebih baik berbanding Sweden (ke-23), Kanada (ke-31), Australia (ke-33), UK (ke-37), New Zealand (ke-48) dan Rusia (ke-99).

Di rantau Asia Tenggara, Malaysia di posisi kedua selepas Singapura serta di atas Brunei (ke-30), Thailand (ke-56), Indonesia (ke-59), Laos (ke-86), Filipina (ke-87) dan Vietnam (ke-104).

Bagaimanapun, statistik itu yang turut dikongsi warganet tertentu sebenarnya data pada 2019 lalu, manakala perangkaan terbaharu untuk tahun 2020 dan 2021 belum pun lagi diterbitkan.

Kedudukan tangga ke-21 yang diraih negara ini sebetulnya agak sederhana kerana kualiti jalan raya di Malaysia pernah mencapai situasi paling baik pada 2007 iaitu tempat ke-14.

Setahun sebelumnya, ketika indeks mula diterbitkan, Malaysia di posisi ke-15 dan selepas itu makin teruk dengan pernah mencecah kedudukan yang terendah iaitu ke-27 pada 2012 lalu. Mutu jalan raya di negara ini kemudiannya beransur baik pada tahun-tahun yang berikutnya iaitu ke-23 (2013), ke-19 (2014), ke-15 (2015), ke-18 (2016), ke-23 (2017) dan ke-19 (2018).

Pentadbir The Global Economy dalam kenyataannya menjelaskan bahawa data tahunan diperoleh itu berdasarkan komponen kualiti jalan yang diterbitkan oleh Indeks Daya Saing Global.

Ia turut memetik sumber sahih daripada kajian eksekutif melibatkan sejumlah lebih 14,000 tokoh dari 144 negara yang menyertai Forum Ekonomi Dunia berpusat di Davos, Switzerland.

Justeru, maklumat dipaparkan dalam senarai indeks tersebut juga telah mengambil kira laporan mengenai lebih 64,000 jalan berlubang yang ditampal di seluruh Malaysia setiap tahun.

Jumlah kereta lebih dari populasi Malaysia, statistik dari zaman British?

SATU laporan baru-baru ini yang menyatakan jumlah kenderaan berdaftar di negara ini sebanyak 33 juta adalah keterlaluan dan tidak memberi gambaran sebenar populasi kenderaan semasa.

Ini kerana angka yang dilaporkan merangkumi kenderaan berdaftar sejak zaman penjajahan British.

Ragu-ragu dengan laporan itu, bekas Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai berkata, beliau pasti jumlah kenderaan di jalan awam tidak melebihi jumlah penduduk.

“Tajuk (laporan media) sangat mengelirukan. Tidak mungkin jumlah kenderaan melebihi jumlah penduduk Malaysia,” katanya.

Tahun lepas, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Zailani Hashim menyatakan bahawa jabatan itu telah mentadbir 33.05 juta kenderaan dalam tempoh 75 tahun sejak ia diperbadankan pada 1 April 1946 sebagai Pendaftar dan Pemeriksa Kenderaan Bermotor (RIMV).

Liow menggesa kerajaan memberi penjelasan mengenai perkara itu.

“Mereka mesti meletakkan fakta dalam perspektif yang betul bagi mengelakkan sebarang kekeliruan,” tambah Liow.

“JPJ boleh menggunakan rekod pembaharuan cukai jalan terkini untuk mengesahkan angka tersebut.”

Liow turut mencadangkan JPJ mengeluarkan “sijil kematian” bagi kenderaan yang tidak aktif.

“Ini supaya kita dapat tahu dengan tepat jumlah kenderaan aktif di negara ini,” kata bekas presiden MCA itu.

Tidak seperti di banyak negara maju, tiada polisi “akhir hayat” bagi kenderaan di Malaysia.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Abd Ghafar Yusof berkata, menjadi kelaziman untuk statistik yang diwarisi sejak zaman sebelum merdeka digunakan untuk menggambarkan jumlah kenderaan di seluruh negara.

“Amalan menggunakan angka besar, termasuk yang dikumpulkan sejak zaman British, diterapkan sehingga hari saya bersara. Saya tak faham kenapa ia masih digunakan hari ini,” katanya.

“Angka besar ini sering digunakan untuk menggambarkan representasi dan nisbah kematian di jalan raya berbanding jumlah kenderaan di negara ini.

“Sebagai contoh, ia akan menentukan bilangan ‘x’ kematian berbanding jumlah kenderaan yang didaftarkan pada masa tertentu atau sepanjang tahun.”

Ghafar berkata, kaedah sedemikian tidak memberikan gambaran yang tepat mengenai indeks keselamatan jalan raya negara.