Arkib Tag: SST

Perodua ‘pulun’ 25,100 tempahan pada 30 Jun 2022!

PERODUA berjaya mencatatkan 25,100 tempahan pada 30 Jun 2022 lepas, iaitu jumlah tempahan tertinggi mereka dalam sejarah untuk satu hari.

Ini berikutan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh pendaftaran kenderaan kepada 31 Mac 2023 untuk kenderaan yang ditempah sehingga 30 Jun 2022, sebelum cukai SST dikenakan semula bermula 1 Julai.

“Tempahan kenderaan secara tergesa-gesa dilihat ketara terutama sekali apabila kerajaan melanjutkan tempoh pendaftaran kepada 31 Mac 2023 dan kami amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana memilih Perodua sebagai jenama pilihan mereka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Bercakap tentang pengecualian cukai jualan; pada hari terakhir inisiatif itu, Perodua menyaksikan tempahan harian tertinggi pada 30 Jun 2022 dengan 25,100 tempahan kenderaan telah diambil,” katanya.

“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan ianya bukti potensi pertumbuhan industri automotif Malaysia dengan pemberian insentif yang betul.”

Perodua Axia

“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan kerana telah melanjutkan tarikh akhir penghantaran kepada 31 Mac 2022 dan kami amat memerlukan tempoh itu untuk memenuhi permintaan yang ada setakat ini,” kata Dato’ Zainal.

Selain daripada inisiatif pengecualian cukai jualan yang berakhir pada 30 Jun 2022, faktor utama lain yang menyumbang kepada prestasi ini ialah pendaftaran kenderaan yang rendah pada Jun tahun lepas disebabkan penutupan kali kedua dalam mengurangkan kes jangkitan Covid-19.

Sebagai perbandingan, untuk bulan Jun 2021, Perodua hanya mencatatkan 1,009 unit, manakala pada Jun 2022, kami menjual 21,164 unit. Pada perbandingan bulan ke bulan, prestasi jualan Perodua meningkat 10.7 peratus daripada 18,901 unit yang didaftarkan pada Mei 2022.

Pengecualian cukai SST tamat 30 Jun ini, tapi boleh daftar kenderaan hingga 31 Mac 2023

TARIKH akhir bagi pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi tempahan kenderaan baharu kekal 30 Jun ini, umum Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Beliau bagaimanapun berkata tempoh pendaftaran kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi pembeli yang membuat tempahan sehingga 30 Jun dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.

“Ini bagi membolehkan pembeli yang membuat tempahan kenderaan sehingga 30 Jun terus menikmati insentif pengecualian cukai jualan,” kata Zafrul.

Katanya, lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan ini merupakan penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pasca-pandemik bagi memastikan kebajikan rakyat serta kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara.

Katanya, sehingga kini sebanyak 264,000 unit kenderaan yang ditempah di dalam tempoh pengecualian itu masih belum siap pemasangan dan tidak dapat dibekalkan kepada pembeli ekoran gangguan kepada rantai bekalan global membabitkan industri automotif.

Bagaimanapun katanya, sejak pengecualian itu diperkenalkan, sebanyak 868,422 unit kenderaan terjual dan rakyat mendapat manfaat pengecualian cukai jualan berjumlah RM4.7 bilion.

Inisiatif pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) bagi model pemasangan tempatan (CKD) dan import sepenuhnya (CBU) diperkenalkan oleh kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin pada 5 Jun 2020.

Ia merangkumi pengecualian cukai jualan 100 peratus bagi model CKD dan 50 peratus bagi model CBU.

Sejak ia diumumkan, kerajaan juga beberapa kali mengumumkan lanjutan pengecualian cukai terbabit dimana terbaharu sehingga 30 Jun ini.

Tarikh pelaksanaan SST semakin hampir, jualan kenderaan makin rancak

SEKTOR automotif negara dijangka mencatatkan angka jualan yang lebih baik pada suku kedua tahun ini.

Ia susulan majoriti pembuat kereta berlumba-lumba melakukan penghantaran produk masing-masing sebelum tamatnya pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada Jun.

Bernama melaporkan, Kenanga Investment Bank Bhd menjangkakan pemulihan memberangsangkan dalam jualan kereta apabila terdapat peningkatan jumlah tempahan daripada para pelanggan.

Industri automotif diharap terus tumbuh dengan pesat di sebalik beberapa kekangan termasuk isu kekurangan cip semikonduktor. – Foto hiasan ihsan Porsche

Perkara ini juga dapat dilihat apabila para pengeluar kenderaan bijak menangani masalah pengeluaran akibat daripada kekurangan bekalan cip semikonduktor.

“Pembuat kenderaan telah mengutamakan penggunaan sumber yang terhad seperti mengalihkan semikonduktor berharga mereka ada kepada kenderaan paling menguntungkan,” katanya.

Selain itu, kenderaan elektrik bateri atau BEV dijangka akan dirangsang oleh beberapa insentif menarik kepada pengguna.

Volvo merupakan antara pengeluar kenderaan yang berlumba-lumba menghasilkan kenderaan elektrik (EV). – Foto ihsan Volvo

Antara insentif tersebut termasuk pengecualian penuh duti import dan eksais, cukai jualan dan cukai jalan untuk menyokong pembangunan industri EV tempatan.

Bagaimanapun, bagi model tertentu pemulihan pengeluaran kereta mungkin dihadkan oleh kekangan global yang berterusan membabitkan bekalan cip semikonduktor.

Oleh demikian, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap industri dengan sasaran jumlah volum industri (TIV) 2022 sebanyak 600,000 unit.

Toyota dedah harga baharu Vios termasuk cukai SST

HARGA bagi model Vios facelift didedahkan kepada orang ramai dan mula berkuatkuasa hari ini.

UMW Toyota menetapkan harga Vios 1.5J pada RM77,600 sementara, model Vios 1.5E sekitar RM85,600.

Model Vios 1.5G pula berharga RM90,400 dan Vios GR-S 1.5 paling tinggi dengan harga lebih RM98,100.

Foto ihsan Toyota

Harga bagi Vios ini adalah termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) memandangkan kesemua tempahan hanya dapat diserahkan kepada pembeli pada penghujung Jun nanti.

Ketika ini, Vios 1.5J dijual pada harga RM74,623 manakala, Vios 1.5E (RM82,593) memandangkan SST masih belum dikenakan kepada pembeli.

Sementara itu, Vios 1.5G tanpa SST adalah RM87,584 dan Vios GR Sport (95,284).

Foto ihsan Toyota

Kesemua model facelift Vios tidak mengalami perubahan spesifikasi atau mekanikal.

Justeru, ini bermaksud ia masih didatangkan dengan enjin empat silinder 1.5 liter Dual VVT-i 2NR-FE bersama transmisi CVT.

Kuasa dimiliki pula adalah sekitar 107 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork pada 4,200 rpm.

Diskaun ‘kaw-kaw’ daripada Honda Malaysia khas bagi bulan Ogos

BERITA baik kepada individu bercadang mendapatkan kereta keluaran Honda!

Honda Malaysia mengumumkan promosi terbaharu pada bulan ini yang mana terdapat pengurangan harga bagi beberapa model tertentu.

Antara model terlibat dalam kempen ini termasuk Jazz, BR-V, City, Civic, HR-V, CR-V dan Accord.

Honda memberikan diskaun RM3,000 dari pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi Honda Jazz 1.5 S.

Harga Jazz pada bulan ini adalah RM69,511 berbanding RM72,511 sebelumnya.

Manakala bagi City, ia ditawarkan dari RM72,191 sementara Civic 1.8 S (RM107,326).

Model Accord CKD pula berharga RM172,203 untuk 1.5 TC.

Untuk model ini, ia mencecah diskaun lebih RM6,000 menjadikan harga terkini RM178,203 berbanding sebelumnya (RM185,900).

BR-V 1.5 E ditawarkan dengan harga dari RM82,726, HR-V 1.8. E (RM101,500) dan CR-V 2.0 2WD adalah RM137,912.

Semua diskaun ini adalah berbeza bagi setiap varian.

Perlu diingat juga, promosi ini juga hanya sah sepanjang bulan Ogos sahaja.