Arkib Tag: solar

Peluang menangi Tesla Model Y dengan memasang panel solar di rumah

SYARIKAT solar kediaman terkemuka, Verdant Solar telah mengumumkan pemberian hadiah berupa sebuah Tesla Model Y bernilai RM204,000 untuk rakyat Malaysia yang memasang panel solar di kediaman mereka.

Menurut syarikat itu, pemberian hadiah tersebut adalah bertujuan untuk menggalakkan lagi penggunaan tenaga solar PV di peringkat kediaman.

Sehingga 2023, Verdant Solar telah memasang panel solar melebihi 18 megawatt puncak (MWp), jumlah yang boleh menguasakan 2,000 isi rumah.

Pencapai mengagumkan ini menyumbang kepada pengurangan karbon dioksida sebanyak 15,700 tan setahun dan penjimatan kos elektrik melebihi RM12 juta.

Berikut adalah langkah-langkah penyertaan untuk pengguna baharu:

Pengguna sedia ada juga berpeluang untuk memenangi Tesla Model Y dengan mengikut langkah-langkah berikut:

  • Rujuk rakan yang berminat untuk memasang panel solar di kediaman
  • Sekiranya rakan tersebut mendaftar dengan Verdant, anda layak untuk menyertai kempen ini
  • Peluang untuk menang bergantung kepada jumlah rujukan yang dibuat

Kempen ini berlangsung sehingga 31 Disember 2023 dan tertakluk kepada terma dan syarat.

Shell komited kurangkan pelepasan karbon, guna tenaga solar di stesen miliknya

Shell Malaysia telah berjaya mencapai satu lagi kejayaan dalam usahanya untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam operasi mobilitinya.

Sejajar dengan usaha dan komitmen ke arah itu, Shell telah mengambil inisiatif berkerjasama dengan Cleantech Solar dalam menggunakan tenaga solar di stesen minyak miliknya.

Panel solar yang dipasang di stesen Shell.

Sejumlah 22,505 kepingan panel photovoltaic dengan kapasiti 10.12 megawatt (MW) telah dipasang di 216 buah stesen miliknya. Ini sebagai sebahagian usaha dan komitmen dalam mengurangkan pelepasan karbon, selain mengurangkan kebergantungan terhadap pembekal kuasa elektrik tempatan.

Menurut Shell, panel solar yang dipasang pada stesen Shell itu mampu menjana tenaga elektrik sebanyak 12,939 MWh. Sebagai perbandingan, tenaga ini cukup untuk membekalkan kuasa kepada kira-kira 3,740 isi rumah selama satu tahun.

Seow Lee Ming, Pengurus Besar Mobility Shell berkata, “Matlamat kami adalah untuk memudahkan peralihan ke arah masa depan karbon rendah dalam operasi syarikat.

“Setakat ini, kami telah memasang panel solar di 216 buah stesen, dan ia dijangka meningkat kepada 350 buah stesen menjelang akhir tahun ini,” tambahnya lagi.

Sehingga kini, Shell telah menerima persijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI) bagi lima buah stesen termasuk Shell Taman Connaught, Shell Damansara Jaya, Shell Mint Hotel, Shell Tangkak Layby, dan Shell Alor Pongsu.

Seiring dengan matlamat dunia, Kumpulan Shell menetapkan sasaran untuk menjadi perniagaan tenaga dengan pelepasan sifar menjelang 2050.

Sono Motors Sion kenderaan elektrik dengan kemampuan mengecas solar

DENGAN perkembangan pesat segmen kenderaan elektrik yang menyaksikan pelbagai jenis model muncul saban tahun, setiap pengeluar perlu mencari keunikan atau niche tersendiri bagi memastikan produk mereka menonjol apabila ia memasuki pasaran.

Bagi Sono Motors, sebuah syarikat startup dari Jerman, rekaan mereka yang dinamakan sebagai Sion ini mungkin kelihatan tidak seberapa namun ia mempunyai satu ciri unik iaitu kemampuan untuk mengecas baterinya menggunakan dengan tenaga solar. Ini menjadikannya antara kenderaan elektrik solar (SEV) terawal yang dibangunkan untuk pasaran massa.

Walaupun masih dalam peringkat prototaip, tempahan untuk Sion telah pun dibuka di Eropah dan setakat ini, syarikat itu telah menerima lebih 14,000 tempahan dari negara-negara seperti Jerman, Austria, Switzerland, Itali, Sepanyol, Portugal, Finland serta Mauritius.

Dari jauh, Sion tampak seperti sebuah MPV kompak dengan badan berwarna hitam. Namun, jika diperhatikan dengan lebih dekat, hampir keseluruhan panel badannya terdiri daripada ratusan sel solar yang diintegrasikan ke dalam panel polimer. Menurut Sono Motors, ia mempunyai 248 sel solar kesemuanya.

Secara asasnya, sel-sel solar tersebut boleh menukarkan cahaya matahari kepada tenaga elektrik, yang kemudiannya akan disimpan di dalam pek bateri lithium-ion fosfat (LFP) berkapasiti 54 kWh. Satu cas penuh memberikan SEV ini jarak pemanduan sejauh kira-kira 306 km, manakala teknologi solar tersebut pula memberikan jarak pemanduan tambahan sehingga 245 km seminggu.

Namun, teknologi solar itu tidak direka untuk menggantikan pengecasan konvesional sepenuhnya. Sion masih boleh dicas menerusi plug seperti kenderaan elektrik yang lain. Malah, setiap pembelian akan didatangkan dengan wallbox yang boleh mengecas bateri tersebut sepenuhnya dalam masa lima jam.

Sion juga menyokong pengecasan pantas (DC) 75 kW di stesen-stesen pengecasan awam, di mana 80 peratus tahap kuasa boleh dicapai dalam masa hanya 35 minit. Lebih menarik lagi, baterinya boleh digunakan sebagai sumber kuasa untuk kediaman ketika dalam keadaan kecemasan seperti terputus bekalan elektrik, misalnya.

Selain itu, ia menampilkan pelbagai teknologi yang sepatutnya ada pada sebuah EV moden. Ini termasuklah skrin sentuh berukuran 10 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta kluster instrumen digital tujuh inci. Satu ciri unik yang mungkin tidak akan dijumpai pada mana-mana EV lain adalah lumut organik yang dikatakan mampu meningkatkan kualiti udara di dalam kabin serta membekalkan pencahayaan ambien.

Menurut Sono Motors, Sion akan dipasang di bekas kilang SAAB di Trollhattan, Sweden. Harganya dikatakan bermula serendah 21,429 Euro (RM103,932).