Arkib Tag: sl

Mercedes-AMG GT 2024 kini dengan konfigurasi 2+2 dan AWD – Masih V8, 577hp

MERCEDES-AMG sebelum ini dikhabarkan sedang membangunkan SL dan GT Coupe bersama, dan ramai peminat tegar mengkritik jenama itu, katanya GT akan menjadi lebih ‘lembut’ dan tidak begitu sporti.

Tetapi mari kita lihatkan bersama. Adakah Mercedes-AMG GT masih sporti dan dinamik, atau telah menjadi semakin lembut dan selesa.

Perkenalkan Mercedes-AMG GT 2024, jentera prestasi tinggi ini telah menjadi lebih praktikal dengan tempat duduk 2+2 dan mendapat pacuan semua roda 4Matic+.

Buat masa ini, ia ditawarkan dengan varian 63 dan 55 yang dipacu enjin V8. Versi tertinggi AMG GT 63 Coupe hadir dengan 577hp dan 800Nm tork dari enjin 4.0 V8 twin-turbo, sama dengan SL63. Pecutan 0-100 boleh dibuat dalam 3.1 saat.

AMG GT 55 Coupe pula dipacu enjin sama, tetapi dengan output 469hp dan 700Nm, juga sama dengan SL55. Pecutan 0-100 ialah 0.7 saat lebih ‘perlahan’, iaitu 3.8 saat.

Kelajuan maksima pula adalah 315km/j untuk GT 63 dan 295km/j untuk GT 55. Kotak gear ialah automatik 9-kelajuan dengan klac jenis basah untuk mula bergerak.

Seperti disebut tadi, AMG GT kini mendapat sistem pacuan semua-roda 4Matic+ yang boleh mengagihkan kuasa antara tayar depan dengan belakang, sama ada 50:50 atau sepenuhnya ke belakang.

Ciri lain termasuklah cakera brek komposit, LSD, sistem stereng roda belakang, dan suspensi sports dengan penstabil olengan hidraulik semi-aktif bersama penyerap hentak adaptif. Suspensi ini juga menampilkan sistem lif depan yang boleh dinaikkan sehingga 30mm.

Mercedes-AMG GT akan mula dipasarkan pada suku pertama 2024 dan kami jangka ia dilancarkan di Malaysia pada suku kedua.

Mercedes SL 2022 serba baharu dilancarkan secara global, varian AMG sahaja, hingga 577hp

DENGAN sejarah sehingga 70 tahun, Mercedes SL-Class menjadi nama model paling lama untuk jenama Three-Pointed Star itu.

Kini, Mercedes memperkenalkan generasi terbaharu untuk roadster mewah ini dengan beberapa perubahan penting. Generasi R232 ini bukan lagi model Benz, tetapi hadir sebagai model AMG sahaja.

Ia kekal menggunakan konfigurasi roadster mewah dengan tempat duduk 2+2, tetapi kini menggunakan bumbung fabrik menjadikannya 21kg lebih ringan. Tiada lagi bumbung besi lipat seperti sebelum ini.

Dari segi rupa, Mercedes SL 2022 mendapat gril Panamericana yang garang dengan sirip menegak, diapit oleh sepasang lampu depan LED tajam seperti CLS.

Bahagian sisi kini lebih kemas dengan pemegang pintu elektronik jenis pop-up seperti pada S-Class terbaharu. Dengan menggunakan bumbung fabrik lebih ringan, secara langsung titik graviti SL ini lebih rendah, menjadikannya lebih dinamik untuk dipandu.

Di bahagian belakang, identiti AMG dapat dilihat dari ekzos quad dan diffuser besar. Spoiler belakang pula diintegrasi dengan but dan akan dinaikkan mengikut mod dan situasi pemanduan.

Untuk lebih aerodinamik, terdapat pilihan Aerodynamic Package yang hadir dengan dengan bampar, underbody dan diffuser lebih agresif.

Buat masa ini, Mercedes SL boleh didapati dengan varian SL55 dan SL63. Kedua-dua varian menggunakan enjin 4.0-liter V8 twin-turbo dimana SL55 menjana 469hp dan 700Nm tork, manakala SL63 menghamburkan sehingga 577hp dan 800Nm tork.

Output disalurkan melalui kotak gear automatik 9-kelajuan dengan buat pertama kali, SL dilengkapi dengan 4Matic+, menjadikannya jentera all-wheel drive.

Ciri lain adalah rear-wheel steering untuk belokan lebih tajam serta LSD elektronik untuk kestabilan apabila memecut keluar selekoh.

Bahagian kabin SL ini kekal sporti dan padat dengan teknologi terkini. Ini merangkumi tempat duduk AMG, stereng AMG, skrin besar 11.9-inci di tengah, paparan instrumen 12.3-inci, pemanas Airscarf, dan sistem MBUX terkini.