Arkib Tag: Skyline GT-R

Nissan Skyline GT-R R34 Paul Walker bakal dilelong

KITA semua tahu bahawa Nissan Skyline GT-R R34 adalah kereta sport JDM yang istimewa namun unit yang ditampilkan ini lebih istimewa berbanding yang lain kerana ia dispesifikasikan dan pernah dipandu oleh mendiang Paul Walker.

Dan buat pertama kalinya, peminat francais Fast & Furious berpeluang untuk memiliki kereta penuh sejarah ini kerana ia akan dilelong oleh Bonhams pada satu acara lelongan yang akan diadakan dari 28 April hingga 5 Mei depan.

Harga pembukaan tidak dinyatakan namun ia sudah pasti mencecah enam atau tujuh angka memandangkan kereta ini telah diubah suai mengikut cita rasa Walker sendiri.

Bukan itu sahaja, unit berwarna TV2 Bayside Blue ini juga merupakan satu-satunya GT-R R34 asli yang muncul dalam filem Fast & Furious 4 yang dikeluarkan pada 2009. Nombor casisnya adalah BNR34-400109.

Menurut Bonhams, beberapa buah Skyline lain yang digunakan untuk penggambaran filem tersebut sebenarnya adalah model GT-T yang telah diubah suai dengan kit badan.

Tambah syarikat itu lagi, kereta ini dibeli di Jepun dan dibawa masuk ke Amerika Syarikat tanpa enjin oleh Kaizo Industries. Syarikat itu berjaya mendapatkan sebuah enjin RB26 dan kereta ini kemudiannya didaftarkan dengan pihak berkuasa.

Modifikasi yang telah dilakukan pada GT-R R34 ini memang bukan calang-calang. Antara ‘barang’ yang telah dimasukkan adalah intercooler Turbonetics, set spring Nismo, strut titanium ARC, rim Volk Racing RE30 19 inci, brek Rotora dan sistem ekzos Nismo NE-1. Boost juga telah dinaikkan bagi membolehkan enjin menjana 550 hp.

Di dalam, anda akan menemui roll cage kustom, stereng Momo dengan balutan Alcantara, pedal Nismo V-Spec, paparan head-up kustom dan kerusi OMP dengan tali pinggang keledar lima poin. Tempat duduk belakang telah dikeluarkan.

Apa yang menarik, setelah penggambaran selesai, kereta ini disita oleh pihak berkuasa kerana ia tidak pernah diimport secara rasmi ke Amerika Syarikat. Pada 2012, ia telah dilepaskan dan kemudiannya dieksport ke Jerman dan berada di sana sehingga ke hari ini.

Kereta ini jarang dipandu dan hanya menjadi bahan pameran di Munich Motorworld. Menurut Bonhams, ia masih boleh dipandu namun bakal pemilik baharunya dinasihatkan untuk membuat servis terlebih dahulu sebelum ‘melenjan’.

Nissan Skyline GT-R R34 milik Brian O’Conner diabadikan dalam bentuk Lego Speed Champions

LEGO Speed Champions menyediakan alternatif yang lebih mampu milik kepada mereka yang mungkin tidak mampu mengeluarkan belanja yang tinggi untuk set Lego Technic.

Ia tidak begitu terperinci seperti Technic namun kualiti set yang dibawakan oleh Speed Champions sudah cukup  untuk bagus untuk kanak-kanak dan juga orang dewasa.

Kini, barisan Speed Champions menambah satu lagi model ke koleksinya dan ia pasti akan membuat peminat francais Fast and Furious begitu teruja.

Ini kerana set terbaru itu menampilkan kereta yang paling ikonik dari filem 2 Fast 2 Furious iaitu Nissan Skyline GT-R (R34) milik Brian O’Conner yang dimainkan oleh mendiang Paul Walker.

Mengandungi 319 kepingan Lego, perincian set ini tidak kurang hebatnya. Seperti jentera sebenar, Skyline GT-R R34 itu memakai kit badan dan didatangkan dalam warna kelabu dengan grafik biru pada bahagian bonet, pintu dan spoiler.

Apa yang menarik, ia juga didatangkan dengan figura mini Brian O’Conner yang boleh diletakkan pada tempat duduk pemandu.

Menurut laporan, set Nissan Skyline GT-R (R34) 2 Fast 2 Furious ini boleh ditempah mulai 3 Januari 2023 dengan harga anggaran 24.99 euro (RM115).