Arkib Tag: SKVE

Saksi diseru tampil bantu kes Bezza langgar orang, lawan arus di SKVE

SAKSI kemalangan di Kilometer 30.1 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) menghala Bandar Saujana Putra diminta tampil membantu siasatan polis.

Polis berkata, individu menyaksikan insiden tersebut diharap tampil dengan segera bagi memudahkan siasatan kes.

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi penyiasat Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 011-18539115 atau 03-31872222.

Jelas pihak polis, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kenderaan Perodua Bezza dipercayai melawan arus dan melanggar penunggang motosikal di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) . – Foto tangkap layar video tular di Facebook

Terdahulu, seorang lelaki memandu secara melawan arah dan disyaki melanggar dua penunggang motosikal di SKVE ditahan polis.

Memetik laporan Bernama, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan selepas mendapatkan rawatan ekoran kecederaan bahagian kepala di Hospital Banting, semalam.

Kejadian jam 2 petang semalam menyaksikan pemandu Perodua Bezza itu melanggar seorang penunggang motosikal.

Pemandu kereta itu kemudian bergerak secara melawan arus di lorong kecemasan dan melanggar seorang lagi penunggang motosikal.

Susulan pelanggaran tersebut kedua-dua mangsa cedera dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut.

Cadangan kurang kadar tol masih dalam kajian, kata menteri

KERAJAAN masih mengkaji langkah terbaik berhubung cadangan pengurangan kadar tol seluruh negara.

Menteri (Kanan) Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kajian meliputi pelbagai aspek termasuk bebanan kewangan kerajaan serta impak kepada ekonomi.

Memetik laporan Berita Harian,kerajaan turut mengadakan perbincangan bersama syarikat konsesi lebuh raya bagi mencapai keputusan terbaik.

“Kerajaan bersama syarikat konsesi lebuh raya sedang mengkaji pelbagai inisiatif dan kaedah boleh dipertimbangkan bagi mengurangkan kadar tol lebuh raya di negara ini.

“Kementerian Kerja Raya juga membenarkan syarikat konsesi lebuhraya mencadangkan kaedah penstrukturan semula kewangan bagi tujuan pengurangan kadar tol,” katanya.

Turut terlibat dalam perbincangan termasuk Kementerian Kewangan, Unit Kerjasama Awam dan Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri dan beberapa agensi berkaitan.

Fadillah berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, semalam.

Menteri (Kanan) Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof. – Foto ihsan Malay Mail

Sebelum ini, kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol di tiga lebuhraya tahun depan.

Konsesi lebuhraya yang dimaksudkan adalah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Penangguhan kenaikan kadar tol selepas mengambil kira kesan ekonomi akibat daripada pandemik Covid-19.

Kerajaan tangguh kenaikan kadar tol Kesas, SKVE dan LPT2

KERAJAAN tidak bercadang melaksanakan kenaikan kadar tol bagi tiga lebuh raya tahun ini.

Tiga lebuh raya berkenaan adalah Lebuh raya Shah Alam (Kesas), Lebuh raya Lembah Kelang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Keputusan dibuat atas dasar prihatin terhadap peningkatan kos sara hidup rakyat kesan penularan wabak Covid-19.

Selain itu, kerajaan terus menangguhkan kenaikan kadar tol semua kelas kenderaan melibatkan 21 lebuh raya dan satu plaza tol.

Antara lebuh raya dimaksudkan adalah Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya KL – Putrajaya (MEX).

Penangguhan menyaksikan kerajaan perlu menanggung kos pampasan sebanyak RM2.25 bilion.

Anggaran pampasan dibuat berdasarkan formula pengiraan yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.

Jumlah sebenar bayaran pampasan tol akan ditentukan selepas proses verifikasi trafik dilakukan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.